Menjana Kebangkitan Rakyat - Ucaptema DPPNJ Tahun 2006

MENJANA KEBANGKITAN RAKYAT
UCAPAN TEMA
MUKTAMAR TAHUNAN DEWAN PEMUDA PAS NEGERI JOHOR KALI KE-34

Oleh
SDR KHAIRUL FAIZI BIN AHMAD KAMIL
KETUA DEWAN PEMUDA PAS NEGERI JOHOR

6 Mei 2006

Tajuk
MENJANA KEBANGKITAN RAKYAT

PEMBUKA BICARA

Allah SWT telah berfirman:

"Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan."

(al-Maidah: 8)

Alhamdulillah, pada malam yang gemilang ini, marilah kita merafakkan rasa syukur kehadrat Allah S.W.T. kerana dengan izin dan inayahnya maka kita dipertemukan dalam perjumpaan tahunan Dewan Pemuda PAS Negeri Johor, bukan sekadar untuk bertemu tetapi untuk membicarakan dan bermuhasabah setahun perjalanan aktiviti kita.

Dengan penuh kerendahan diri saya yang diamanahkan sebagai Ketua DPPNJ sejak setahun yang lalu mengalu-alukan kehadiran para perwakilan dan para jemputan sekelian. Malam ini tercatatlah satu sejarah tersendiri apabila buat julung kalinya muktamar DPPNJ diadakan bermula pada sebelah malam sebagai acara perasmiannya dan akan disambung perbahasan pada esok harinya. Perubahan ini dilakukan dengan hasrat memberikan ruang dan peluang yang sebaik mungkin kepada para perwakilan untuk memberikan pandangan, teguran dan buah fikiran dalam membantu memperbaiki segala kelemahan sepanjang setahun yang sebelum DPPNJ melabuhkan tirainya.

Saya berharap kemeriahan muktamar yang bermula malam ini mampu menganjak semula gelora perjuangan kita, untuk terus bangkit menjulang Islam ke martabatnya yang agung.

Terlebih dahulu, saya bagi pihak seluruh kepemimpinan Dewan Pemuda PAS Negeri Johor ingin mengalungkan ucapan jutaan terima kasih kepada PAS Kawasan Muar dan Dewan Pemuda PAS Kawasan Muar, khususnya Panitia Muktamar yang bekerja keras menjayakan sidang muktamar kali ini dengan memastikan keberkesanan dan kelancarannya.

Mudah-mudahan sumbangan yang dicurahkan dalam muktamar ini akan dinilai oleh Allah SWT sebagai amal kebajikan yang bermanfaat di dunia dan akhirat, Insya Allah.

MELIHAT KE DALAM, MENOLEH KE BELAKANG

Para hadirin dan hadirat sekelian,

Saya ingin memperingatkan kepada diri saya serta teman-teman seperjuangan dalam medan kepemudaan ini bahawa dengan penuh sedar kita perlu akui bahawa tiada yang lebih murni dan mulia daripada mendaulatkan Islam. Tiada apa yang kita mahukan dalam kehidupan kita sebagai pejuangan Islam selain daripada melihat Islam terus dimuliakan.

Atas nama Islam kita harus berada di tahap yang terbaik. Atas nama Islam juga, setiap mata rantai yang menggerakkan jentera gerakan Islam mesti berada di tahap yang terbaik. Atas nama Islam juga, ilmu kemahiran, keupayaan dan tahap kebersediaan memikul tugas dan tanggung jawab mesti berada di tahap terbaik. Akhirnya atas nama Islam juga, komitmen, penglibatan, pengorbanan, mestilah sejajar dengan gambaran komitmen yang dijelmakan melalui perjuangan khulafaurrasyidin, para sahabat dan tabiin-tabiin termasuk para mujahiddin Islam mukhtahir.

Sedarlah bahawa orang-orang yang benar menggabungkan dirinya dengan Islam menganggap dunia ini sebagai medan untuk mereka berbakti mentaati Allah dan memperolehi keredaan-Nya. Setiap kerja yang kita lakukan di atas muka bumi ini termasuklah perniagaan, harta kekayaan, rumah tangga, masa dan waktu serta pemikiran kesemuanya dicurahkan untuk tujuan mentaati Allah. Sebaliknya golongan kebendaan menggunakan segala kurniaan tersebut demi untuk memuaskan kerasukan nafsu dan keinginan syahwat.

Kerana itu, kita harus sedar bahawa urusan menang atau kalah adalah urusan Allah SWT, seperti mana yang dilalui oleh Rasulullah SAW dan para sahabat di dalam perang Uhud.

Firman Allah SWT:

“Dan janganlah kamu merasa lemah dan janganlah berdukacita, padahal kamulah yang paling mulia (di sisi Allah) sekiranya kamu golongan beriman. Sekiranya kamu ditimpa kesakitan, maka (ketahuilah) musuh-musuh kamu juga turut ditimpa kesakitan yang serupa. Demikianlah kami menggilirkan hari-hari kemenangan antara manusia, supaya (dengannya) akan jelas perbezaan bagi Allah mereka yang benar-benar beriman dan supaya Allah memilih dari kalangan kamu syuhada. Dan Allah tidak menyukai orang-orang yang zalim. Dan agar Allah membersihkan orang-orang yang beriman dan membinasakan orang-orang kafir”.
(Ali Imran: 139-141)

MENJANA KEBANGKITAN RAKYAT

Sidang muktamirin yang dihormati sekalian,

Saya memilih tema bertajuk Menjana Kebangkitan Rakyat kerana saya ingin membayangkan betapa tingginya tuntutan kepada gerakerja pemuda masa kini khususnya Pemuda PAS di seluruh negeri Johor. Tema ini juga diharapkan agar dapat menyuntik semangat juang yang berkobar-kobar bukan hanya terhad kepada seruan takbir ketika ceramah sahaja tetapi merujuk juga kepada pembinaan kekuatan dalaman untuk melahirkan semangat istiqamah dalam perjuangan.

Ianya tidak menyimpang daripada visi DPPNJ sesi 2005/2007 iaitu “Menjana Kebangkitan Rakyat Johor”. Malah, kesepakatan Pemuda BA Johor juga telah bersetuju memilih “Membina Perpaduan, Menjana Kebangkitan” sebagai tema konvensyen Pemuda BA Johor yang telah dilaksanakan pada 2 April 2006 yang lalu. Bermakna, Menjana Kebangkitan Rakyat mempunyai satu hasrat yang sangat tinggi nilainya kepada kepemudaan kita dan para perwakilan mestilah menyedari bahawa betapa besarnya peranan kita dalam arus perjuangan ini.

Namun, proses untuk melaksanakan hasrat ini memerlukan beberapa persediaan yang harus dilihat secara serius. Persiapan yang saya maksudkan adalah membina kekuatan sebenar kita. Kekuatan yang bukan hanya bergantung kepada semangat semata-mata tetapi saya memfokuskan kepada pembinaan jati diri pemuda Islam yang sebenar dan pengukuhan organisasi. Bertepatanlah dengan firman Allah,

“Sessungguhnya Allah menyukai kereka yang berjuang di jalan Allah dalam saff yang tersusun seperti bangunan yang kukuh”
(As-Saff : 4)

Justeru, saya mengharapkan para perwakilan DPPK agar memberikan perhatian yang serius terhadap keutamaan terhadap proses pembinaan kekuatan ini.

MEMBINA KEKUATAN SEBENAR PEMUDA PAS

Sidang muktamirin yang dihormati sekalian,

Saya mengambil ruang yang agak luas di dalam muktamar pada tahun ini untuk memberikan penekanan terhadap kepentingan kita membina kekuatan sebenar. Malam ini, saya ingin mengimbas kembali saat-saat kegemilangan ahli-ahli pemuda PAS di seluruh negeri Johor yang tidak gentar untuk mempertahankan ceramah-ceramah kita apabila digempur. Ada yang dipukul, diketuk, dibelasah, ditangkap, dan dilokap. Namun, pemuda-pemuda PAS Johor memperlihatkan semangat juang yang tinggi sehingga sanggup menggadaikan diri mereka. Mana mungkin kita dapat melupakan peristiwa pemuda mempertahankan ceramah Almarhum Dato’ Presiden PAS di Parit Warijo, membuat benteng rantaian manusia Datuk Sri Tuan Guru Haji Abd Hadi Awang di Kampung Air Panas, Labis dan penangkapan ratusan pimpinan dan penyokong PAS di seluruh negeri Johor beberapa tahun yang lalu.

Namun begitu, realitinya kita dapat melihat bahawa pemuda-pemuda yang kita harapkan agar terus memberikan komitmen mereka terhadap perjuangan ini semakin lama semakin hilang daripada pandangan. Di manakah mereka sekarang? Persoalan ini perlu dijawab dengan penuh ketelusan dan kejujuran oleh kita. Adakah kita telah berjaya dalam erti kata sebenarnya melahirkan pemuda yang benar mempunyai ciri-ciri kepemudaan yang memahami perjuangan Islam serta sanggup berkorban untuk agama.

Para perwakilan sekalian,

Apabila memperkatakan tentang membina kekuatan sebenar pemuda ini, saya ingin menggariskan 2 perkara utama yang perlu diberikan perhatian dan tindakan di semua peringkat.

1. Pengukuhan tarbiyah

Para perwakilan sekelian,

Sebagai pendokong gerakan Islam, kita harus menyedari bahawa tarbiyah Islamiah memainkan peranan yang sangat penting dalam memberikan kefahaman yang benar dan jitu tentang Islam . Sewajarnya Islam perlu difahami dengan fahaman yang syamil dan meliputi semua aspek kehidupan manusia dengan ianya dinnul manhaj (دين المنهج) yang diturunkan untuk menjaga kemaslahatan hidup manusia dunia dan akhirat. Dalam usaha untuk menepati kehendak yang suci lagi murni ini tersebut maka fikrah tarbiyah Islamiah syamilah itu sepatutnya dimanfaatkan oleh pemuda-pemuda PAS yang meletakkan Allah sebagai Khaliqnya dan Rasulullah sebagai kudwah (قدوة ) . Kefahaman yang telah meresap ke dalam jiwa ini, sewajarnya dapat kita alirkan dan sebarkan ke dalam masyarakat dengan bertujuan untuk mengajak mereka ke arah memberi al-‘Ubudiyyah dan wala ‘ hanya kepada Allah semata-mata .

Saya mengharapkan agar Lajnah Tarbiyah dan Kepimpinan akan memfokuskan program tarbiyah sebagai perkara yang paling penting dalam membentuk keperibadian pemuda PAS khususnya di Johor ini. Keseriusan untuk memantapkan lagi program pentarbiyahan ini juga dibuktikan dengan perlantikan tiga anggota exco DPPNJ terlibat secara langsung di dalam lujnah tarbiyah dan latihan kepimpinan. Program-program tarbiyyah yang akan diwujudkan pada masa akan datang mestilah memenuhi 2 matlamat yang sangat besar :

i. Pengabdian diri kepada Allah berdasarkan apa yang disampaikan oleh Baginda Rasulullah S.A.W

Firman Allah Ta’ala :

“Tidaklah Aku jadikan jin dan manusia melainkan untuk melakukan ibadah kepadaKu”
(Az-Zariyat : 56)

ii. Menjadi khalifah Allah di muka bumi

Firman Allah Ta’ala :

“Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat; "Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi". Mereka bertanya (tentang hikmat ketetapan Tuhan itu dengan berkata): "Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal kami sentiasa bertasbih dengan memujiMu dan mensucikanMu?". Tuhan berfirman: "Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya".”

(Al-Baqarah : 30)

Cabaran serta halangan dalam perjalanan hidup tidak dapat dielakkan kerana ianya telah menjadi Sunnatullah dalam kehidupan manusia. Pemuda yang tahan dalam cabaran ini mestilah dibentuk serta diasaskan dengan mempunyai ikatan yang kukuh dengan Allah. Pemuda yang sentiasa menjalinkan hubungan dengan Allah inilah yang dikatakan sebagai Pemuda Rabbani. Ada setengah daripada kita tidak ada mempunyai asas ini tapi mereka boleh bertahan dalam perjuangan Islam, namun perlu diingat ia masih belum menepati kehendak tarbiyah yang sebenar. Perlu diingat setiap amal soleh yang kita kerjakan memerlukan “roh sokongan” yang datang daripada Allah. Tanpa “Nusrah” daripada Allah mana mungkin perjuangan Islam mampu mencapai kemenangan serta kegemilangan. Ketahuilah bahawa bantuan itu tidak akan datang kecuali hanya daripada Allah. Oleh itu, saya mengharapkan agar usaha untuk mewujudkan Madrasah Tarbiyah DPPNJ dapat disegerakan bagi mencapai hasrat melahirkan pemuda Rabbani ini.

2. Pengukuhan Organisasi Pemuda

Untuk kita mencapai hasrat membina satu sistem pengurusan yang kukuh serta tersusun rapi ini, kita perlukan proses perancangan, pengorganisasian, pengawalan dan kepimpinan yang berkualiti. Pengurusan berasaskan objektif (MBO) bukanlah perkara baru dalam Pemuda PAS kerana DPP Pusat telah pun berjaya memperkenalkan budaya kerja ini semenjak 1992. DPPNJ juga telah menerbitkan sebanyak dua kali Manual Prosedur Kerja dan Fail Meja (MPKFM) pada tahun 2003 dan 2005. Namun, bila melihat kepada realitinya, kita perlu mengakui bahawa tahap keberkesanannya masih belum memuaskan. Sebahagian besar daripada kita masih jauh untuk menghayati sistem pengurusan yang berkesan ini. Hasilnya, sistem pemfailan menjadi lemah dan carca-merba, keahlian pemuda di peringkat negeri dan kawasan-kawasan serta cawangan-cawangan masih ditahap rendah dan maklumat seringkali lambat untuk disampaikan serta kerap kali hilang ditengah jalan.

Kedapatan pejabat Pemuda di peringkat kawasan-kawasan masih lagi berada di rumah setiausahanya. Jika adapun pejabat pengoperasian pun belum tentu ia dilengkapi dengan peralatan yang lengkap seperti komputer, mesin faks dan telefon. Jika pejabat pengoperasian lengkap dengan peralatan, belum tentu ia dipergunakan dengan semaksimum mungkin.

Saya ingin mempertegaskan bahawa perancangan ialah fungsi pertama dalam pengurusan yang turut melibatkan pengorganisasian, kepimpinan dan kawalan. Ingatlah kepada kata-kata “Jika kita gagal merancang, maka kita merancang untuk gagal”. Melalui perancanganlah maka kita dapat memberikan tumpuan dan kefleksibelan, melalui perancangan jugalah kita dapat meningkatkan penyelarasan setiap aktiviti yang kita dan melalui perancanganlah kita dapat memperbaiki pengurusan masa dengan tersusun.

Selain keupayaan menguruskan pejabat, keupayaan mengendalikan sumber manusia dengan cekap juga amat penting. Sebagai organisasi politik yang bersifat suka rela, keupayaan kita menguruskan sumber-sumber secara maksimum akan meningkatkan lagi keberkesanan gerakan kita.

Sasaran utama kita ialah untuk mengukuhkan keahlian Dewan Pemuda PAS di peringkat kawasan dan cawangan. DPPP sebelum ini telah menetapkan bahawa di setiap cawangan kita mestilah mempunyai sekurang-kurangnya 5 orang ahli yang aktif. Saya berharap Unit Kerja Jamaah (UKJ) dapat bergerak dengan lebih berkesan untuk menganalisa keperluan-keperluan organisasi di peringkat kawasan dan cawangan, mengklasifikasikan cawangan-cawangan untuk tujuan pemulihan dan pembangunan, mengatur program-program pemuda cawangan serta membina fikrah ahli-ahli di peringkat terbawah.

Muktamar yang akan datang kita harapkan agar hasil daripada tindakan ini akan mewujudkan sebuah pejabat DPPK yang lengkap di setiap kawasan, senarai ahli pemuda DPP yang lengkap dan sistem pengurusan kerja yang tersusun. Dengan memberikan memberikan tumpuan dan penekanan terhadap dua aspek ini, diharapkan agar satu anjakan baru dapat dijana untuk membina kekuatan sebenar pemuda PAS di negeri Johor. Bagi merealisasikan hasrat ini, lawatan kerja ke DPP Kawasan-kawasan akan dilaksanakan selepas muktamar ini, Insya Allah.

MEMBINA GENERASI MASA DEPAN KEPEMIMPINAN PEMUDA

Sidang muktamirin yang dihormati sekalian,

Kalau dilihat daripada kelibat exco-exco DPPNJ, mereka terdiri daripada pelbagai latar belakang yang banyak membantu membina kekuatan DPPNJ pada sesi ini. Buat pertama kalinya DPPNJ mempunyai 4 anggota exco ‘ulama muda’ yang berlatar belakang pendidikan daripada Universiti Al-Azhar Mesir. Begitu juga yang pernah mengikut sistem tarbiyah di madrasah dan di pusat pengajian tinggi.

Namun kita tidak boleh hanya bergantung kepada apa yang telah ada tetapi perlu menggerakkan usaha untuk membina generasi kepimpinan masa hadapan Pemuda PAS di semua peringkat. Satu usaha untuk meneruskan agenda ini mesti dibuat dengan lebih teratur. Kepemimpinan mesti dibina secara berperancangan bagi melahirkan pemimpin yang berjaya. Sekarang bukan masanya untuk kita membiarkan kepemimpinan terbentuk dengan sendiri tetapi mestilah dirancang dengan tersusun.

Kita mahu melahirkan pemimpin-pemikir yang memiliki ketegasan prinsip, berupaya mengatur tindakan kontemporari dan sentiasa berperancangan berkehadapan. Kita juga ingin melahirkan pemuda PAS yang berkualiti, cemerlang dan dinamis. Kursus-kursus kepimpinan mestilah diadakan secara intensif. Kita berhasrat untuk melahirkan pemuda-pemuda Islam yang memiliki keperkasaan jiwa, keteguhan jihad, ketinggian ilmu dan kecemerlangan kepemimpinan. Selain daripada tamrin-tamrin qiyadi untuk memantapkan aqidah dan jati diri para pimpinan pelapis, kursus-kursus kemahiran bersiri akan diwajibkan kepada setiap pemimpin pelapis untuk membolehkan mereka mempersiapkan diri sebagai pemimpin yang akan mengambil alih kepemimpinan Dewan Pemuda PAS kelak.

Saya menyeru kepada barisan kepimpinan pemuda termasuk yang sedia ada disemua peringkat agar berusaha untuk mengikuti modul-modul yang disediakan oleh ILHAM termasuk Diploma Tasawwur Islam (DTI), kursus Pengurusan dan Organisasi (ILPO) serta kursus Visi dan Kefahaman (ILVK). Dengan mengikuti semua kursus ini secara intensif kita dapat menghasil pemimpin baru memiliki ketaqwaan kepada Allah, ketinggian akhlak, kemantapan ilmu dan kecekapan pengurusan.

Saya mengharapkan agar Lajnah Tarbiyah dan Kepemimpinan, Jabatan Pembangunan Pelajar dan Jabatan Pembangunan Remaja perlu digerakkan dengan lebih proaktif untuk menjayakan hasrat ini.

MENDEKATI GOLONGAN MUDA

Sidang muktamirin yang dihormati sekalian,

Kita tidak boleh menafikan bahawa pengundi muda sudah semakin jauh daripada kita. Kehilangan negeri Trengganu dan beberapa kerusi Parlimen/DUN di seluruh negara dipegaruhi oleh perubahan sikap gologan ini. Persoalan ini mesti dipandang serius oleh Dewan Pemuda PAS, khususnya untuk mencari punca dan pendekatan menanganinya.

Secara umumnya, ini dapat dilihat sebagai kejayaan UMNO/BN menarik minat golongan ini kepada UMNO/BN. Selepas pilihan raya 1999, Umno/BN telah melancarkan gerakan besar-besaran untuk merampas semula pengaruh yang terlepas ke tangan PAS/BA. Mereka tidak henti-henti mengatur strategi sehingga penyalahgunaan jentera kerajaan, menyekat saluran-saluran maklumat kepada rakyat, mengekang kebebasan kakitangan awam, membudayakan kehidupan hedonisme kepada muda mudi dan mengokongan pemikiran muda-mudi. Mereka juga dengan bersungguh-sungguh menggerakkan Pemuda dan Puteri serta Putera Umno untuk menawan semula hati pengundi muda. Ternyata strategi mereka membuahkan hasil apabila PAS/BA gagal mempertahankan keutuhan pengaruhnya.

Jika sebelum ini kita dapat bagaimana kelantangan anak-anak muda kita menyuarakan sikap mereka terhadap kelemahan dan kegagalan pemerintah, kini mereka sedang dirobotkan untuk menerima apa sahaja yang dilakukan oleh kerajaan walaupun hakikatnya mereka sendiri tidak dapat menerimanya. Keruntuhan akhlak dan moral mahasiswa/i sudah seolah-olahnya sudah tidak dapat dibendung lagi sehingga mereka terjebak ke kancak maksiat yang terlampau.

Tugas untuk menarik pengundi muda kepda PAS/BA adalah terletak kepada peranan Dewan Pemuda PAS. Lajnah Sukan dan Kebajikan serta Jabatan AMAL mestilah melipatgandakan usaha dan aktiviti yang meyakinkan golongan muda untuk kembali menyokong perjuangan kita.

MENCEGAH KEMUNGKARAN

Para perwakilan sekelian,

Begitu juga agak sukar untuk kita melupakan bagaimana dalam XPDC Dakwah Perdana pada malam sambutan tahun baru 2006 yang berlangsung di Dataran Danga Bay memperlihatkan kelonggaran kerajaan UMNO/BN dalam mencegah kemungkaran. Tanpa memperdulikan tegahan agama, anak-anak muda ini tanpa segan silu berpelukan, berciuman malah ada yang dengan rasa penuh kehebatan meneguk arak dihadapan orang ramai. Laporan polis terpaksa dibuat untuk mendesak pihak keselamatan menyuraikan pesta ini.

Mengapa Penguakuasa Jabatan Agama Johor tidak melakukan serbuan sedangkan jarak Danga Bay tidak jauh daripada pejabat mereka? Rupa-rupanya, harapkan pagar, pagar tidak boleh harap. Ini disebabkan bilangan pegawai penguat kuasa JAJ ketika ini hanya seramai 76 orang berbanding jumlah penduduk Islam di Johor iaitu seramai lebih 2.1 juta. Inilah sebenarnya perjuangan kerajaan Islam Hadhari.

Kerana itulah,kita tidak boleh mendiamkan diri terhadap kemungkaran ini dan pemuda perlu memainkan peranan yang telah kita mulakan sejak beberapa tahun yang lalu iaitu XPDC Dakwah. Ini bertepatan dengan firman Allah,

“Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang - orang yang berjaya.”

(Ali Imran 104)

Menyedari kewajipan ini, saya menegaskan bahawa setiap DPPK agar tidak meninggalkan tanggungjawab ini. Saya masih teringat kepada pesanan mantan Ketua DPPNJ, saudara Mazlan Bin Aliman supaya XPDC Dakwah ini djadikan sebagai aktiviti yang perlu dilakukan secara praktikal selepas setiap kali kita mengadakan usrah.

NEGERI JOHOR SEMAKIN HANCUR, HIDUP RAKYAT SEMAKIN TERTEKAN

Sidang hadirin sekalian,

Setahun terakhir ini, kita dapat melihat betapa rakyat khususnya di negeri Johor semakin lama semakin hidup dalam keadaan tertekan dan menderita. UMNO/BN dilihat sedang mengambil kesempatan di atas penaklukkan semula 90 peratus kerusi Parlimen dan 98 peratus kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor. Lihatlah betapa sepanjang pemerintahan UMNO/BN sejak pilihanraya umum ke 11 yang lalu, kenaikan harga harga minyak petrol telah dinaikkan sebanyak 4 kali dengan jumlah RM 0.55 dan kenaikan sebanyak RM 0.82 sen sebanyak 6 kali untuk diesel bagi setiap liter penjualan memperlihatkan kerakusan dan kezaliman terlampau parti pemerintah.

Bagi menjernihkan kegusaran rakyat serta untuk mengizinkan tindakan mereka, pelbagai alasan dicipta dan direka untuk menghalalkan tindakan kerajaan, yang pentingnya kenaikan harga minyak mesti dilakukan.

Hakikatnya, rakyat semakin tertekan. Gabungan Rakyat Membantah Kenaikan Harga Minyak Negeri Johor (BANTAH) dengan dianggotai oleh Parti Islam SeMalaysia (PAS), Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Tindakan Demokratik (DAP), Badan-badan bukan kerajaan dan beberapa persatuan-persatuan telah ditubuhkan dengan harapan dapat memberikan kesedaran kepada rakyat betapa tindakan kerajaan yang memerintah pada hari ini semakin zalim.

Memorandum rakyat telah diserahkan kepada wakil Menteri Besar Johor pada 3 Mac 2006 melalui pintu pagar Bukit Timbalan memperlihatkan keengganan kerajaan mendengar pandangan rakyat yang semakin tertekan dalam kehidupan.

Kes pembunuhan anak-anak yang tidak berdosa seperti yang telah dialami oleh Allahyarham Syafiqah Borhan dan Nurulhuda Abd Ghani menambahkan mimpi ngeri rakyat Johor. Laporan kejadian pergaduhan di sekolah-sekolah di Johor seperti yang dilaporkan dalam sidang DUN Johor menambahkan lagi kebimbangan ini.

Dalam masa yang sama, penjualan VCD haram/lucah seperti sudah tidak dapat dibendung lagi khususnya di kawasan Bandaraya Johor Bahru sehingga Menteri Besar Johor terpaksa membidas sendiri pegawai-pegawai kerajaan di bawahnya. Ini secara tidak langsung menunjukkan betapa lemahnya kerajaan UMNO/BN Johor yang tidak mampu mengawal penjualan VCD lucah ini.

Penyalahgunaan dadah semakin ketara. Semakin hari semakin bertambah penagih dadah dan yang paling menyedihkan, majoritinya adalah dikalangan kaum melayu. Krisis bekalan air terutama yang melibatkan Daerah Batu Pahat dan Kluang berlarutan panjang sehingga telah memberikan kesan buruk kepada rakyat. Pencemaran air sungai serta krisis air takungan empangan sehingga pencatuan air terpaksa dilakukan menyebabkan rakyat mengalami kesulitan yang berpanjangan.

Hutang kerajaan negeri Johor kepada kerajaan Pusat semakin bertambah. Kali terakhir didedahkan adalah berjumlah RM 932 juta. Ini tidak termasuk dengan kerugian Johor Cooperation (JoCorp) dan Kumpulan Prasarana Rakyat Johor (KPRJ). Isu pembuangan sisa toksik secara besar-besaran yang berlaku di Johor mendedahkan kelemahan kerajaan UMNO/BN dengan penemuan 12,000 tan bahan sisa buangan industri di Simpang Renggam serta penemuan 386 kontena yang menyimpan bahan itu, yang dipercayai dibawa masuk dari Taiwan, di Pelabuhan Pasir Gudang pada 2004. Ditambah lagi dengan penemuan lebih 5000 tan sisa toksik di Kampung Sungai Gatom yang menjadikan Johor telah menjadi pusat buangan sisa toksik secara HARAM yang terulung dan terkemuka di Malaysia dan di dunia.

Persoalannya, sejauh manakah tindakan yang kita lakukan berjaya menyedarkan rakyat bahawa betapa lemah dan korupnya UMNO/BN memerintah negeri dan negara ini?. Apakah penerangan kita telah sampai ke telinga-telinga rakyat untuk mereka membuat penilaian dan pertimbangan?. Justeru, Unit Pusat Penyelidikan dan Pembangunan serta Lajnah Penerangan dan dakwah perlu merangka strategi dan perancangan untuk kita memastikan proses menjana kebangkitan rakyat akan dapat direalisasikan.

PEMUDA BARISAN ALTERNATIF NEGERI JOHOR

Para Perwakilan yang saya kasihi sekelian,

Siapa sangka dan mampu menduga, Pemuda Barisan Alternatif (BA) Negeri Johor berjaya mengadakan Konvensyen Pertamanya pada 2 April 2006 yang lalu. Malah ia adalah konvensyen pertama kalinya diadakan dalam sejarah Pemuda BA diseluruh negara. Konvensyen yang telah menggariskan enam resolusi yang perlu diteliti, difahami dan dilaksanakan ini seharusnya membangkitkan usaha kita untuk terus menjana usaha yang lebih tinggi. Tidak salah rasanya untuk menyatakan bahawa dasar perjuangan PAS dan PKR adalah berbeza tetapi matlamatnya sama. Namun, hambatan-hambatan inilah yang mesti dihapuskan demi mencapai kesepaduan yang lebih kolektif.

Apabila berbicara soal perpaduan BA, saya suka memetik kata-kata Almarhum Datuk Haji Fadzil Bin Mohd Noor di dalam ucapan dasar PAS kali ke 46 yang mana almarhum pernah menyatakan bahawa :

“Sesungguhnya PAS mempunyai potensi cukup besar untuk membuktikan kepada dunia bahawa Islam mampu memerintah dengan pendekatan yang disenangi rakyat, bahkan orang bukan Islam sekalipun. PAS dengan gandingan BA sekaligus mampu membuktikan bahawa satu paradigma baru dalam melahirkan suatu tamadun baru mampu dicetus dalam abad ke 21 Masehi.”

Justeru pandangan almarhum yang mengutamakan perpaduan di dalam BA, saya mengharapkan perpaduan dan kerjasama yang telah ditunjukkan oleh seluruh anggota Pemuda BA Johor selama ini dapat diteruskan dan dipertingkatkan malah dapat dicontohi oleh rakan-rakan BA diseluruh negara.

Saya yakin dan percaya bahawa kerjasama yang diwujudkan ini bersama Angkatan Pemuda Keadilan Negeri Johor (AMKJ) mampu membantu kita untuk membangkitkan kesedaran rakyat di negeri Johor ini.

PENUTUP BICARA

Sidang muktamirin sekalian,

Dikesempatan ini, saya ingin merakamkan ucapan jutaan terima kasih kepada semua Exco DPPNJ kerana telah memberikan kerjasama yang sebaiknya sepanjang setahun saya diamanahkan sementara sebagai Ketua DPPNJ. Saya juga ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada mantan Ketua DPPNJ, Sdr Mazlan Bin Aliman yang banyak memberikan tunjuk ajar selama 6 tahun sebagai Exco DPPNJ di bawah beliau.

Dikesempatan ini juga, saya ingin mengucapkan selamat kembali berjuang kepada Ust Nor Ashid Bin Haji Sakib, bekas exco DPPNJ yang yang sebelum ini telah ditahan di bawah ISA (tahanan terhad) selama empat tahun. Beberapa minggu sebelum beliau dibebaskan, beliau telah berjanji bahawa sekiranya beliau dibebaskan, maka tidak lain yang beliau akan lakukan adalah untuk meneruskan perjuangan yang telah tertangguh selama 4 tahun kerana penantian selama itu sememangnya menyeksakan. Apabila himpunan aman menentang penghinaan terhadap Rasulullah yang berlangsung di Masjid Batu Pahat cuba untuk diganggu oleh polis, saya melihat beliau terus bergegas menaiki pentas himpunan untuk memastikan pimpinan PAS Johor tidak diapa-apakan. Inilah di antara contoh pemuda yang ingin lahirkan dalam medan perjuangan ini, yang sanggup mati untuk menegakkan kalimah Allah di muka bumi ini.

Perjuangan suci ranjau berduri,
Hadapi tekanan tidak terperi,
Namun segalanya tiada dipeduli,
Hanya mengharap redha Ilahi.


Firman Allah :

“Sesungguhnya mereka itu orang-orang muda yang beriman kepada Tuhan mereka, dan kami tambahi mereka dengan hidayah petunjuk. Dan Kami kuatkan hati mereka (dengan kesabaran dan keberanian), semasa mereka bangun (menegaskan tauhid) lalu berkata: "Tuhan kami ialah Tuhan yang mencipta dan mentadbirkan langit dan bumi; kami tidak sekali-kali akan menyembah Tuhan yang lain dari padanya; jika kami menyembah yang lainnya bermakna kami memperkatakan dan mengakui sesuatu yang jauh dari kebenaran."
(Al-Kahfi : 13 & 14)

Akhir kata, saya bagi pihak seluruh ahli Dewan Pemuda PAS Negeri Johor sekali lagi mengucapkan jutaan terima kasih kepada YB Datuk Paduka Haji Husam Bin Musa yang sudi merasmikan muktamar kita pada malam ini, dan terima kasih juga kepada semua tetamu kita yang memberikan komitmen menjayakan majlis ini.

Marilah sama-sama kita memasang tekad dan azam untuk terus bangkit menjana kebangkitan rakyat bagi meneruskan kelangsungan api jihad yang dibakar oleh Rasulullah SAW. Berazamlah dengan sepenuh keyakinan untuk kita membina kekuatan sebenar yang mampu membentuk jati diri pemuda Islam yang beriman dengan perancangan yang tersusun rapi. Semoga Allah SWT berkenan memberikan kekuatan dan kesabaran kepada kita dalam memacu perjuangan ini.

Sekian, wassalam.

Allahu Akbar! Allahu Akbar! Allahu Akbar
!

0 comments: