Mendepani Cabaran, Melangkah Kehadapan



MUQADDIMAH


Yang Berbahagia Pengerusi Majlis,
Yang Berbahagia Datuk Mustafa Bin Ali, Setiausaha Agong PAS selaku Perasmi Muktamar,
Ybrs Datuk Dr Mahfodz Bin Mohamed, Pesuruhjaya PAS Negeri Johor,
Ybrs Timbalan-timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Johor,
Ybsr Ketua Dewan Ulama’ PAS Negeri Johor serta jawatankuasanya,
Ybrs Ketua Dewan Muslimat Negeri Johor serta jawatankuasanya,
Yang Dikasihi Timbalan dan Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Johor,
Ybrs Setiausaha Dewan Pemuda PAS Negeri Johor merangkap Pengarah Panitia Muktamar kali ke 38 ini,
Ybrs Ahli Jawatankuasa Dewan Pemuda PAS Negeri Johor,
Para perwakilan dan tetamu yang saya hormati sekelian.

Firman Allah yang bermaksud,

“Sesungguhnya mereka itu orang-orang muda yang beriman kepada Tuhan mereka, dan kami tambahi mereka dengan hidayah petunjuk. Dan Kami kuatkan hati mereka (dengan kesabaran dan keberanian), semasa mereka bangun (menegaskan tauhid) lalu berkata: "Tuhan kami ialah Tuhan yang mencipta dan mentadbirkan langit dan bumi; kami tidak sekali-kali akan menyembah Tuhan yang lain dari padanya; jika kami menyembah yang lainnya bermakna kami memperkatakan dan mengakui sesuatu yang jauh dari kebenaran."

Surah Al-Kahfi : 13 & 14

Pertamanya, saya melahirkan rasa kesyukuran yang tinggi ke hadrat Allah S.W.T kerana dengan keizinanNya kita dapat bertemu di dalam perasmian muktamar DPPNJ kali yang ke 38 pada hari ini.

Saya ingin mengajak para perwakilan untuk melihat kepada lima isu yang sedang berlaku di sekeliling kita. Bagi saya, lima isu ini adalah perkara yang perlu kita fahami dan sedari betapa ianya memberikan kesan langsung kepada perjuangan kita.

Mendepani Cabaran

Isu 1 : Ketidaktentuan politik

Sepanjang setahun yang lalu, kita telah dihidangkan dengan pelbagai episod suka duka dalam perkembangan politik negara. Adakalanya ia memberikan lonjakan kekuatan tetapi ada juga yang seakan-akan meracuni semangat juang kita. Harapan untuk melihat kerajaan Perak akan dipimpin kembali oleh Datuk Seri Nizar Jamaluddin bersama Pakatan Rakyat dimusnahkan oleh keputusan Mahkamah Persekutuan yang mengiktiraf bahawa Datuk Zambery adalah merupakan Menteri Besar Perak yang sah sehingga beliau digelar sebagai Menteri Besar Mahkamah 1.

Kita juga dikejutkan dengan adegan lompat-melompat Ahli Parlimen dan Adun daripada Pakatan Rakyat keluar daripada PR dan mengisytihar mereka adalah wakil rakyat bebas 2. Bukan sekadar itu sahaja malah mereka bertindak menyerang kembali PR dengan pelbagai skrip yang hampir sama sektsanya tetapi mampu menggugat keyakinan penyokong PR di peringkat akar umbi.

Malah, Barisan Nasional juga berterusan berhadapan dengan masalah dalaman khususnya masalah yang melibatkan pergolakan di dalam parti-parti komponennya. Kemelut kepimpinan dalam PPP, MCA, MIC dan parti komponen yang lain semakin tidak dapat dibendung lagi 3.

Ketidaktentuan politik bukan sahaja menyeramkan parti politik yang lain tetapi penyakit ini juga menyusup ke dalam PAS dalam keadaan sedar dan juga kurang sedar. PAS dilihat sedang berhadapan dengan krisis dalaman khususnya apabila wujudnya kesukaran untuk menerima keputusan yang telah dicapai oleh Lembaga Disiplin parti 4. Rasa tidak senang dengan pimpinan-pimpinan tertentu dalam PAS dinyatakan secara terbuka dalam laman sesawang dan seumpamanya tanpa mengunakan saluran parti yang telah sedia ada.

Isu 2 : Cabaran terhadap Islam dan masa depannya

Keputusan mahkamah Tinggi membenarkan Majalah mingguan Katolik, The Herald menggunakan perkataan "Allah" dalam penerbitannya telah menimbulkan pelbagai konflik dalam negara 5. Pelbagai pihak telah membuat bantahan demi bantahan sehingga ada yang mengambil tindakan yang lebih radikal dengan membakar dan merosakkan beberapa buah gereja 6.

Pelbagai NGO dan kumpulan-kumpulan tertentu yang secara tiba-tiba muncul untuk dilihat terkehadapan membela kalimah Allah. Saya teringat bagaimana sebuah media cetak yang cuba mengangkat kehebatan kumpulan ini sehingga digambarkan bahawa takbir mereka dikatakan lebih kuat daripada takbir pemuda PAS 7. Bagaimana mereka bertakbir?

Jawatankuasa antara agama telah diwujudkan sehingga pelbagai pihak khususnya institusi agama turut melahirkan bantahan dengan keputusan tersebut 8. Perjuangan menentang gejala murtad sudah tidak lagi kedengaran. Bukan bermakna ianya tidak berlaku tetapi isu ini sudah dipandang sepi. Dimanakah perginya kumpulan-kumpulan yang ditubuhkan pada satu ketika dahulu untuk mencegah gejala murtad daripada terus berlaku? Dimanakah juga kesensitivitian pemuda PAS yang satu ketika dahulu sanggup berhadapan dengan apa jua risiko demi mempertahankan akidah umat Islam?

Isu 3 : Masa depan anak muda

Kita tentu pernah dengar pepatah yang menyebut bahawa “Pemuda harapan bangsa, Pemudi tiang Agama”. Namun, hari ini kita berhadapan dengan generasi anak muda yang telah mula hilang identiti sama ada mereka hilang identiti bangsa ataupun agama 9. Bagaimana perkara ini boleh terjadi? Mereka hanyut dengan keseronokan dunia dan hiburan melampau serta lupa tanggungjawab kepada diri sendiri, keluarga, agama dan tanahair.

Firman Allah yang bermaksud ;

“Dan tidak (dinamakan) kehidupan dunia melainkan permainan yang sia-sia dan hiburan yang melalaikan: dan Demi sesungguhnya negeri akhirat itu lebih baik bagi orang-orang yang bertaqwa. oleh itu, tidakkah kamu mahu berfikir?”

Surah Al-An’am : 32

Generasi muda terus hanyut dengan keseronokkan duniawi sehingga statistik anak luar nikah terus meningkat dan bayi yang tidak berdosa yang lahir daripada hubungan penzinaan terus dibuang ke dalam longkang, tong sampah, semak dan lubang tandas dan tanpa perlu kita berselindung kita perlu mengakui bahawa majoriti daripada mereka adalah terdiri daripada kalangan anak-anak Melayu. 10

Statistik kes pembuangan anak dan anak luar nikah semakin tinggi adalah hasil daripada anak muda. Berlakunya banyak kes rogol adalah hasil penglibatan anak muda. Penzinaan juga adalah kerja buat anak muda, kes membakar surau di Muar juga adalah hasil daripada penglibatan anak muda. Bukannya bermakna semua anak muda telah rosak dan dirosakkan tetapi jumlah penglibatan anak muda dalam kemelut ini semakin membimbangkan.

Maka, menjadi tanggungjawab kita untuk menyelamatkan anak muda kita!

Isu 4 : Perpaduan kaum @ Isu perkauman

Konsep 1Malaysia yang katanya dicipta oleh Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menyatupadukan rakyat Malaysia berbilang kaum tidaklah sehebat konsep Islam Hadhari yang telah ditasbihkan oleh mantan Perdana Menteri yang terdahulu. Kalau dahulunya Islam Hadhari telah berjaya mengubah sokongan umat Melayu kepada UMNO/BN percaya dan terpedaya bahawa Islam akan dimartabatkan di bumi Malaysia oleh kerajaan pimpinan Pak Lah maka konsep 1Malaysia di bawah kepimpinan DS Najib dilihat pula sebagai senjata untuk menarik kembali sokongan rakyat khususnya bukan Melayu kepada BN.

Kerana keterdesakan untuk menarik sokongan daripada bukan Melayu kepada pemerintah maka wujudlah satu suasana tidak harmoni di dalam negara kita sehinggakan persoalan berkaitan dengan kaum menjadi isu utama di dalam politik negara. Kita lihat bagaimana wujudnya PERKASA dan pelbagai kumpulan pro Melayu wujud untuk menjadi benteng masa depan Melayu. Himpunan mengenang 13 Mei cuba diadakan di Trengganu bagi membangkitkan semangat perkauman.

Hilangnya semangat toleransi di antara kaum dilihat semakin terhakis kononnya gara-gara BN kehilangan beberapa buah negeri dan hilang banyak kerusi di peringkat Parlimen dan Dun. Secara tiba-tiba isu perkauman muncul dengan mendadak seolah-olahnya retak yang menanti belah. Bagi menarik sokongan Melayu kepada UMNO/BN maka rakyat diberikan gambaran negatif terhadap PR, PKR dilabelkan sebagai parti pemecahbelah rakyat, DAP disamakan dengan komunis sehinggakan Ketua Menteri Pulau Pinang dilemparkan dengan pelbagai tuduhan termasuklah sedang berusaha menghapuskan Islam dan Melayu di Pulau Pinang manakala PAS pula, yang selama ini diperlihatkan sebagai parti kampung, parti tok lebai dan pelbagai lagi nama kini dikatakan menjadi parti pak turut yang tidak mampu membela nasib Islam dan Melayu.

Maka, jika dibiarkan perkara ini berterusan saya bimbang ia akan terus membarah sehingga mewujudkan konflik yang akan membawa kepada pergaduhan dan rusuhan di antara kaum seperti mana yang telah terjadi pada tahun 1969.

Isu 5 : Masa depan Melayu dan Bumiputera di Malaysia

UMNO/BN sering mendabik dada dan mendakwa bahawa mereka adalah pejuang nasib Melayu tapi sebenarnya secara halus merekalah yang mengusir Melayu dari tanahair sendiri. Buktinya, tanah-tanah dan rumah-rumah orang melayu dirampas di Johor seperti Kampung Pelentong, Denai Pinggiran 11 dan penempatan lain di atas nama pembangunan. Nasib peneroka Melayu Felda yang tertipu selama ini sehingga tenaga mereka terus diperah untuk kesenangan pemerintah dan penguasa sepertimana yang telah didedahkan dan diperjuangkan oleh ANAK. 12. Bukan itu sahaja, Kaum Orang Asli atau Kaum Orang Asal juga menghantar memorandum kepada PM baru-baru ini untuk menuntut hak mereka 13.

Melangkah Kehadapan

Melihat kepada lima perkara ini maka saya mengariskan sepuluh tindakan yang kita akan fokuskan sepanjang setahun yang akan datang.

Fokus 1 : Gerakerja Pilihanraya

Kita sebenarnya telah dua tahun meninggalkan detik kegemilangan dengan mencapai keputusan yang luar biasa di dalam PRU ke 12. Namun, kita juga perlu sedar bahawa PRU ke 13 juga semakin hampir dengan kita. Persoalannya, berapa peratus sebenarnya gerakerja yang telah kita lakukan setakat ini dalam usaha menawan negeri Johor? Kita telah mengenalpasti Dun berpotensi, mengenalpasti calon pemuda yang berwibawa dan menggandakan gerakerja mendaftarkan pengundi baru namun pendaftarannya masih lagi di tahap yang minima jika ingin dibandingkan dengan jumlah pengundi yang layak di Johor tetapi masih belum mendaftarkan diri sebagai pemilih.

Justeru selain meningkatkan lagi usaha pendaftaran pengundi baru di kalangan anak muda, fasa kedua gerakerja pilihanraya perlu disegerakan. Gerakerja tersebut termasuklah melaksanakan segera program PTA Pilihanraya ke semua DUN-DUN sasaran DPPNJ, membantu penubuhan PAR di kawasan-kawasan, mengenalpasti dan melaksanakan aktiviti yang bersuaian dengan DUN sasaran khususnya yang berkaitan dengan anak muda.

Fokus 2 : Menggarap isu-isu terpilih

Muktamar pada hari ini mengucapkan ‘tahniah’ kepada Menteri Besar Johor yang telah beberapa kali memberikan respon balas terhadap beberapa isu yang telah kita dedahkan. Paling mengejutkan apabila beliau telah menafikan bahawa Johor tidak akan muflis pada tahun 2012 14. DPPNJ berikrar akan mendedahkan lebih banyak lagi penyelewengan yang dilakukan oleh kerajaan UMNO/BN Johor. DPPNJ juga telah bersetuju untuk memberikan tumpuan kepada beberapa isu dan telahpun dibentuk jawatankuasa khas yang melibatkan kedudukan ekonomi Johor negeri Johor, isu yang melibatkan rumah pangsa dan peneroka bandar, isu yang melibatkan FELDA dan projek pembangunan Iskandar Malaysia.

Fokus 3 : Mengeratkan lagi hubungan dengan masyarakat bukan Melayu

Lonjakan undian daripada kaum bukan Melayu kepada PAS cukup dirasai di semua peringkat termasuklah kemenangan PAS di Dun Maharani dan DUN Sungai Abong namun kita sebenarnya masih di tahap minima mengadakan aktiviti bersama golongan ini. Hari ini, Dewan Perhimpunan Penyokong PAS Pusat sebagai sayap ke empat PAS dirasmikan di Klang Selangor sebagai satu pengiktirafan kepada Kelab Penyokong PAS yang telah bersungguh-sungguh untuk bersama-sama memperjuangkan wadah kita. Bersama-sama jawatankuasa Dewan Perhimpunan Penyokong PAS Negeri Johor yang telah dilancarkan pada 8 Mei yang lalu, kita akan bergerak seiringan untuk menyantuni masyarakat bukan Melayu di Johor.

Selain daripada itu, Pemuda juga perlu menggandakan usaha menggerakkan NGO kita bersama masyarakat bukan Melayu dan menjuarai isu-isu yang berkaitan dengan kaum bukan Melayu. Pendekatan Program Citrawarna 3 Budaya yang telah berjaya dilakukan di peringkat DPPP perlu diperluaskan di Johor pada masa akan datang.

Fokus 4 : Mendekati Anak Muda

Bagi merealiasikan gerakerja mendekati anak muda di Johor dan menyahut seruan slogan “Anak Muda Geng Kita”, DPPNJ akan melancarkan “Sahabat Pemuda” yang akan melibatkan pelbagai aktiviti seperti Sahabat Industri, Sahabat Sukan dan Rekreasi, Sahabat Seni, Sahabat Maya, Sahabat Masjid dan Sahabat Motor 15. Kemunculan anak-anak muda daripada pelbagai latar belakang untuk bersama kita di Johor, saya mahu melihat lebih banyak aktiviti dan pendekatan kita terjemahkan di dalam gerakerja pemuda yang benar-benar bersifat kepemudaan. Tempoh setahun yang lalu, pemuda telah memperkenalkan pelbagai aktiviti sukan seperti boling dan memanah ke dalam pemuda dan kini diteruskan di pelbagai peringkat selain daripada penerusan aktiviti seperti futsal.

Kemenangan pelumba kita dengan kepakaran mekanik daripada kalangan pemuda kita daripada kawasan Ledang di dalam ‘Sprint Test’di Pasir Gudang sebenarnya adalah ruang yang terbentang luas kepada kita untuk mendekati golongan ‘mat rempit’ dan ‘mat motor’ yang semakin bertambah di dalam negara kita. Pemuda juga perlu berani untuk mempelbagaikan aktiviti lasak yang saya percaya ia sudah tentu ada mad’unya di kalangan anak muda di Johor seperti aktiviti cabaran ‘off road’.

Keberkesanan media maya yang telah kita gerakan selama ini perlu dipertingkatkan. Fasa pertama mewujudkan medan facebook DPPNJ telah berjaya maka fasa kedua untuk melebarkan jaringan kepada sekurang-kurangnya tiga puluh puluh ribu jaringan facebook anak-anak muda di Johor perlu dipertingkatkan.

Kita juga telah menerokai medium hiburan alternatif dengan kewujudan sebuah kumpulan kugiran iaitu Alternative Band’s Club (ABC) yang telah mula diterima oleh masyarakat. Kita juga telah berjaya melahirkan Juara Akademi Nasyid TV9 dan juga kita telah ada anak muda yang cenderong kepada dunia puisi dan kesasteraan. Pendekatan-pendekatan ini adalah di antara pendekatan yang telah dimanfaatkan oleh Parti Keadilan Sejahtera (PKS) di Indonesia untuk menyantuni anak muda dan seterusnya mendokong perjuangan mereka di sana. Justeru program Diskusi Muzik dan Seni dalam Islam untuk mengupas tentang hiburan mengikut perspektif Islam akan kita adakan.

Pemuda juga perlu mengambil ruang di mana-mana masjid dan surau dengan kerjasama jawatankuasa masjid yang ada di Johor untuk mengadakan proram anak muda Islam walaupun kita menyedari bahawa halangan dan sekatan sudah pasti menanti kita kerana ada pihak yang akan menghalang usaha murni ini. Dalam usaha mendekati anak muda, DPPNJ akan mengadakan forum yang membincangkan tentang anak muda yang lebih bersantai dan telah dimulakan di semasa Kembara Muda DPPP ke Johor di Kempas iaitu Chit-Chat Anak Muda dan akan diadakan di seluruh kawasan secara berkala 16.

Fokus 5 : Melahirkan kepimpinan baru Pemuda PAS Johor

Kita bakal kehilangan ramai kepimpinan yang membarisi organisasi kita. Saudara Abdul Hamid Bin Jamah, saudara Za’aba Bin Ibrahim, saudara Norazid Bin Mohd Noh, Tuan Haji Mohd Mohzit bin Mohit dan seramai lapan Ketua DPPK akan pergi meninggalkan kita di atas faktor umur yang sudah sampai kepada kemuncaknya. Walaupun telah muncul beberapa muka baru dalam barisan kepimpinan DPPNJ dan DPPK namun ia tidak bererti bahawa kita hanya perlu membiarkan sahaja tunas-tunas baru tumbuh tanpa disirami dan dibaja dengan sempurna.

Justeru proses melahirkan kepimpinan perlu dipergiatkan lagi. Tamrin Tarbawi yang telah diadakan di Mersing baru-baru ini untuk mengumpulkan kepimpinan baru di peringkat kawasan-kawasan. Modul Kepimpinan AKP seperti mana yang telah dilancarkan mesti segera dilaksanakan di Johor. Kepimpinan baru akan didedahkan dengan silibus yang dilaksanakan oleh AKP. Melahirkan pemimpin muda melalui program ala Mentor-Protégé bagi melahirkan pemimpin yang mampu menjadi juara bicara rakyat, mahir dalam soal pengurusan dan mempunyai ketahanan diri 17.

Fokus 6 : Kembara Anak Muda

Bagi merangsang kepimpinan dan aktiviti di peringkat DPPK, program Kembara Anak Muda ke seluruh negeri Johor akan diadakan. Program yang telah diperkenalkan di peringkat DPPP melalui Kembara Muda Berkeretapi ke Johor ini akan melibatkan beberapa kawasan dalam satu masa dan KAM ini akan melibatkan pertemuan diantara DPPNJ dan DPPK serta mengadakan lawatan ke dalam masyarakat dan isu-isu setempat 18. Saya mencadangkan daerah Muar akan menjadi perintis kepada KAM yang pertama nanti.

Fokus 7 : Program mendekati pelajar sekolah

Gejala negatif yang sedang melanda remaja di peringkat sekolah dengan pelbagai masalah disiplin dan dipalitkan dengan aktiviti maksiat semakin membarah 19. Sebagai organisasi yang berkaitan dengan anak muda, ia menjadi satu tugas yang perlu kita pikul bersama. Pertemuan dan perbincangan bersama agensi kerajaan yang berkaitan perlu kita atur bagi melahirkan pandangan dan memberikan komitmen untuk berkerjasama dalam menangani gejala ini.

Pemuda perlu kembali mengaktifkan aktiviti yang berkaitan dengan pelajar sekolah sepertimana yang telah dilaksanakan sebelum ini seperti kem motivasi, kem cuti musim panas, kem cuti sekolah dan kem anak soleh. Justeru Jabatan Perkaderan Pelajar akan diwujudkan selepas muktamar ini dan menggerakkan aktiviti dan program bersama pelajar berpandukan kepada modul-modul yang telah disusun di peringkat pusat.

Fokus 8 : Himpunan Perdana Anak Felda Johor

Kemunculan NGO seperti ANAK telah berjaya membantu menanamkan kesedaran di kalangan peneroka Felda khususnya generasi kedua FELDA terhadap keperluan golongan ini memperjuangkan hak mereka 20. Kita tidak menafikan bahawa FELDA telah diwujudkan untuk menjalankan dan melaksanakan projek pembangunan tanah dan telah memberikan rumah serta tanah kepada warga negara tetapi kita juga tidak mahu peneroka FELDA akan berterusan dijadikan alat untuk mengkayakan pemimpin dan pengurusan tertentu. Kita tidak wajar membiarkan nasib peneroka berterusan seperti ini khususnya yang melibatkan masa depan anak-anak peneroka 21.

Maka, bagi kita mendekati dan menyelami permasalahan peneroka Felda dan generasi keduanya, satu perhimpunan generasi ke dua FELDA akan diadakan dan kita akan bekerjasama dengan NGO ANAK dan mana-mana NGO yang bersedia untuk bekerjasama bagi menyempurnakan sasaran ini.

Fokus 9 : Melahirkan kumpulan ‘Pemuda Prihatin’

Saya melahirkan rasa bangga apabila melihat ramai sahabat kepimpinan pemuda terkehadapan dalam menangani isu-isu rakyat di Johor. Ia secara tidak langsung dapat membantu PAS untuk memenangi hati rakyat Johor. Namun, saya juga masih merasakan bahawa masih terdapat ramai pemuda yang seakan-akan masih belum bersedia untuk dilihat sebagai juara rakyat.

PAS telah mewujudkan Pusat Aduan Rakyat (PAR) di negeri Johor dan ianya semakin diiktiraf oleh kelompok masyarakat. PAR terbukti dapat diterima oleh rakyat seperti mana yang telah dilaksanakan di PAR Permas, PAR Kempas, PAR Buluh Kasap, PAR Pinang Sebatang, PAR Nusajaya dan PAR Mahkota dan hampir kesemua PAR ini diselia oleh kepimpinan Pemuda 22. PAR secara tidak langsung telah menjadi satu medium yang sangat berkesan untuk PAS duduk bersama rakyat setelah pelbagai usaha lain kita jelmakan.

Bermula muktamar pada hari ini, saya berhasrat untuk melahirkan kepimpinan ‘Pemuda Prihatin’ khususnya di peringkat DPP Kawasan yang mempunyai sensitiviti yang tinggi terhadap masalah rakyat setempat melalui aktiviti rakyat yang dijalankan di PAR yang aktif di Johor. “Pemuda Prihatin” juga akan menjadi satu slogan khas untuk menjana rasa tanggungjawab di dalam hati kepimpinan pemuda di semua peringkat.

Fokus 10 : Memperkukuhkan hubungan PAS dengan masyarakat Melayu.

Dasar perjuangan PAS adalah Islam dan ia termaktub di dalam Perlembagaan parti sejak daripada tahun 1951 lagi. Perjuangan PAS adalah bertunjangkan kepada Islam tanpa mengira kaum dan agama. Slogan ‘PAS For All’ sudah sinonim dengan masyarakat yang mahu melihat PAS adalah parti untuk semua kaum. PAS perlu konsisten untuk membela nasib semua kaum dan kesungguhan PAS dibuktikan dengan tertubuhnya satu dewan yang akan memberikan fokus terhadap permasalahan kaum bukan Melayu di dalam negara kita.

Kebimbangan yang melanda kaum Melayu pada hari ini yang merupakan kaum majoriti adalah tempat mereka akan bergantung harap sedangkan UMNO yang sebelum ini diberikan kepercayaan sudah semakin tenggalam dengan barah kronisme, nepotisme dan rasuah 23. Doktrin perkauman yang telah ditanam oleh UMNO/BN terhadap kaum Melayu sudah berakar umbi sejak sekian lama sehinggakan lahirnya rasa takut untuk melakukan perubahan terhadap senario politik sedangkan mereka sedar bahawa UMNO adalah sebuah parti yang korup sehingga busuknya sudah sampai ke usus 24 hanya menanti hari matinya sahaja.

Justeru melalui muktamar ini saya menghulurkan tangan kepada seluruh masyarakat Melayu khususnya di Johor dengan hati yang ikhlas menyeru untuk bersama dengan perjuangan PAS dan Pakatan Rakyat. PAS bersedia untuk menjadi galang ganti memegang amanah untuk membela kaum Melayu dalam kerajaan yang baru nanti.

Bagi merealisasikan hasrat ini, pemuda akan menganjurkan satu kajian dan diskusi ilmiah serta mengadakan lebih banyak lagi ‘engagement’ dengan pemimpin UMNO dan badan-badan organisasi berteraskan Melayu di Johor.

Kita Adalah Satu

Kata pepatah “Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh”. Jika diibaratkan kita adalah sebuah kapal maka sayalah nakhodanya, jika diibaratkan kita adalah sebuah pasukan bolasepak maka sayalah ketua pasukannya dan jika diibaratkan kita adalah sebuah pasukan perang maka sayalah panglimanya. Titanic tenggelam kerana di antara puncanya disebabkan oleh kealpaan anak kapal, kalahnya pasukan bolasepak kadangkala disebabkan engkarnya pemain untuk mematuhi arahan ketua pasukannya dan kalahnya tentera Islam di dalam medan perang kerana kegagalan pasukan memanah mematuhi perintah panglima tentera supaya tidak meninggalkan Bukit Uhud.

Kita berada di dalam satu pasukan yang mempunyai seorang ketua, seorang timbalan ketua, seorang naib ketua dan dibantu oleh jawatankuasa kerja dan disokong oleh pemuda PAS di peringkat kawasan. Ada dua senario bayangan yang ingin saya berikan kepada saudara perwakilan. Jika saudara mahu melihat organisasi kita kukuh dan kuat, saudara berilah komitmen yang terbaik untuk mencapai matlamat dan hasrat murni ini. Setiap daripada saudara adalah kekuatan kepada saya dan rakan-rakan DPPNJ yang lain. Kita bekerja sebagai satu pasukan yang membawa makna kita perlu bekerja bersama-sama. Kata orang tua, “Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing”. Tetapi jika saudara ingin melihat kita lemah dan ditenggelamkan maka bertindaklah sebaliknya.

Kita perlu belajar bagaimana rosaknya UMNO disebabkan perpecahan dalaman mereka sehingga kepentingan perjuangan diketepikan hanya semata-mata mengutamakan kepentingan peribadi dan kroni. Jangan biarkan ia menyusup masuk ke dalam organisasi kita dan menghancurkan kita daripada dalam kerana yang ruginya adalah masa depan PAS dan masa depan Islam.

Sedarlah sahabat-sahabat sekelian bahawa pada hari ini kita telahpun mempunyai lebih daripada dua puluh ribu keahlian bukan Islam di dalam Dewan Perhimpunan Penyokong PAS. Nama-nama seperti Huu Phang Chow, Balasubramaniam, Vincent Lee, Kumutha Raman, Balendran, Nadarajan dan Rajendra adalah di antara nama-nama pemimpin DPPP yang hari ini turut berjuang bersama di dalam parti kita. Ketua Penerangan DPPP Negeri Perak, mendiang Siva Pandiyan adalah di antara mereka yang telah bersungguh-sungguh bekerja untuk memastikan PAS menang di Perak dan di seluruh negara sehinggalah akhirnya beliau mati ditembak oleh pembunuh yang masih belum dikenalpasti lagi 25.

Justeru saya menyeru kepada para perwakilan untuk mempertingkatkan usaha dan pengorbanan dalam perjuangan ini. Pertautkan ukhuwwah di semua peringkat untuk membina satu suara, satu kekuatan dan satu perjuangan.

Penutup

Di kesempatan ini, saya ingin merakamkan ucapan jutaan terima kasih kepada semua exco DPPNJ dan kepimpinan DPPK kerana telah memberikan kerjasama yang sebaiknya sepanjang saya diamanahkan sementara sebagai Ketua DPPNJ. Tempoh setahun yang lalu sebenarnya telah banyak mengajar saya betapa setiap saat yang kita lalui sebagai seorang pemimpin adalah terlalu berharga dan ia tidak wajar dibiarkan berlalu tanpa dimanfaatkan dengan sebaik mungkin walaupun kadangkala kita melalui saat yang paling getir dan diasak oleh kesempitan yang pelbagai pada ketika itu.

Firman Allah yang bermaksud,

“Pergilah kamu beramai-ramai (untuk berperang pada jalan Allah), sama ada Dengan keadaan ringan (dan mudah bergerak) ataupun Dengan keadaan berat (disebabkan berbagai-bagai tanggungjawab); dan berjihadlah Dengan harta benda dan jiwa kamu pada jalan Allah (untuk membela Islam). Yang demikian amatlah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui.”
Surah At-Taubah :41

Perbaharuilah tekad kita untuk memastikan bahawa Pemuda akan mampu mendepani segala bentuk cabaran untuk terus melangkah gagah kehadapan serta seterusnya menjulang PAS dan Pakatan Rakyat sebagai kerajaan yang baru memimpin kerajaan negeri Johor.

Sekian.

---------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Nota kaki

1. Zambry sah MB Perak, http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0210&pub=utusan_malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=mh_01.htm&arc=hive

2. Lompat parti proses pembersihan dalam Pakatan,
http://www.pas.org.my/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=2731:lompat-parti-proses-pembersihan-dalam-pakatan-mahfuz&catid=1:terkini&Itemid=2

3. Kemelut MCA, MIC bakal runtuhkan BN,
http://www.keadilanrakyat.org/index.php?option=com_content&view=article&id=375%3Akemelut-mca-mic-bakal-runtuhkan-bn&catid=109%3Anews-latest&Itemid=304〈=en

4. Peguam PAS gesa CC buka balik kes hasan-khalid, http://www.themalaysianinsider.com/index.php/bahasa/52885-peguam-pas-gesa-cc-buka-balik-kes-hasan-khalid- dan JK Disiplin : Ikut saluran, bukan kritik terbuka, http://www.harakahdaily.net/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=24873:jk-disiplin-ikut-saluran-bukan-kritik-terbuka&catid=1:utama&Itemid=50

5. Mahkamah Putuskan Majalah Katolik Herald Boleh Guna Perkataan 'Allah 'http://www.bernama.com/bernama/v3/bm/news_lite.php?id=465452

6. http://www.themalaysianinsider.com/index.php/bahasa/48890-gereja-di-pinggir-di-ibu-negara-dibakar-tengah-malam-tadi

7. Takbir Pemuda UMNO lebih kuat daripada pemuda PAS, http://www.tranungkite.net/v10/modules.php?name=News&file=article&sid=1493

8. Jawatankuasa Fatwa Perak Bantah Tubuh Jawatankuasa Antara Agama, http://mstar.com.my/berita/cerita.asp?file=/2010/4/12/mstar_berita/20100412223056&sec=mstar_berita

9 Remaja Terus Diwarnai Krisis Moral
http://www.sinarharian.com.my/rencanaView.asp?whichpage=33&pagesize=2&dt=

10. 17,303 anak luar nikah didaftar 2009
http://www.bharian.com.my/bharian/articles/17_303anakluarnikahdidaftar2009/Article/

11. Roboh rumah: Penduduk buat rayuan di Parlimen, http://www.malaysiakini.com/news/127793

12. Anak minta Suhakam siasat dakwaan Felda tindas peneroka, http://www.harakahdaily.net/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=25175:anak-minta-suhakam-siasat-dakwaan-felda-tindas-peneroka&catid=41:utama-muka-depan&Itemid=125

13. 'Kami serah memo, bukan melancong ke Putrajaya', http://www.malaysiakini.com/news/126923

14. MB Johor nafi kerajaan negeri muflis 2012
http://www.bharian.com.my/bharian/articles/MBJohornafikerajaannegerimuflis2012/Article/

15. Sahabat Pemuda sebenarnya telah dilancarkan pada tahun 2007 tetapi ia tidak dapat digerakkan secara berkesan kerana beberapa kekangan yang telah berlaku.

16. Cit cat anak muda bersama dppp, http://episodeperjuangan.blogspot.com/2010/01/cit-cat-anak-muda-bersama-dppp.html

17. Program ini akan berterusan selama satu tahun dengan harapan ia bakal melahirkan pelapes baru daripada peringkat pemuda kawasan. Peserta dicadangkan oleh DPPK dan akan dilatih oleh kepimpinan pemuda negeri.

18. Kembara muda berkeretapi Dewan Pemuda PAS Pusat, http://minda-kembara.com/v2008/?p=2264

19. Disiplin sekolah semakin merosot, http://pmr.penerangan.gov.my/index.php?option=com_content&view=article&id=5668:disiplin-sekolah-semakin-merosot&catid=385:info-ringkas

20. Mazlan Aliman, Anak akan terus perjuangkan nasib peneroka,
http://www.harakahdaily.net/index.php?option=com_content&task=view&id=12491&Itemid=99999999

21. Penubuhan dan Matlamat Felda, http://www.felda.net.my/feldav2/bm/about/penubuhan

22. Temuramah Pesuruhjaya PAS Johor berkaitan dengan PAR mendekatkan PAS dengan rakyat Johor, rujuk harakah cetak 21-23 Ogos 2009

23. Rakyat tuntut perubahan, http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0316&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_02.htm

24. UMNO, http://chedet.co.cc/chedetblog/2009/11/umno.html

25. Teruskan perjuangan Siva Pandian, http://harakah.hizbi.org/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=25639:teruskan-perjuangan-mendiang-siva&catid=1:utama&Itemid=50

-----------------------------------------------------------------
Latar belakang Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Johor

KHAIRUL FAIZI BIN AHMAD KAMIL dilahirkan pada 11 Januari 1973 di Kampung Masjid Lama, Kluang Johor. Mendapat pendidikan di Sekolah Kebangsaan Simpang Renggam (1980) Sekolah Kebangsaan Kampung Melayu Kluang (1981-1985) Sekolah Tuanku Abdul Rahman, Ipoh (1986-1990). Memperolehi Diploma Kejuruteraan Elektrik Perhubungan di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Diploma Tasawur Islam daripada Institut Latihan Perkaderan (ILHAM). Ketika ini, beliau sedang mengikuti pengajian dalam bidang Sains Kemanusiaan (Sains Politik) daripada sebuah universiti tempatan di peringkat Sarjana Muda. Telah mendirikan rumah tangga dengan Puan Monaliza Musa dan telah dikurniakan seramai lima orang cahayamata.

Pernah berkhidmat sebagai Juruteknik Kanan, Penolong Jurutera dan Jurutera Muda di Samsung Electron Devices (Seremban) dan Asahi Industries (M) Sdn Bhd (Kluang) selama lima tahun dan mula menceburi bidang politik sepenuh masa bermula pada 23 Mac 2000 apabila dilantik sebagai Exco Dewan Pemuda PAS Negeri Johor dan Pengarah Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) Negeri Johor.

Mendaftarkan diri sebagai ahli Parti Islam SeMalaysia (PAS) pada bulan Januari 1997 dan terus bergerak aktif bersama PAS sebagai Ketua Jawatankuasa Pemuda PAS cawangan Kampung Melayu Kluang dan Setiausaha Dewan Pemuda PAS Kawasan Kluang.

Diamanahkan sebagai Setiausaha PAS Kawasan Kluang (1999-2001), Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Kluang (2001-2005), Naib Yang Di Pertua PAS Kawasan Kluang (2005-2007) dan Ketua Penerangan PAS Kawasan Kluang (2007-2008). Pernah diamanahkan sebagai Setiausaha Dewan Pemuda PAS Negeri Johor (2001-2005).

Beliau terlibat aktif dengan PASTI sebagai Pengarah PASTI Johor (2000-2005) Pengerusi Bahagian Penaziran PASTI Pusat (2003-2005) Setiausaha PASTI Pusat (2005-2006) dan Timbalan Ketua Pengarah Sektor Pengurusan PASTI Pusat (2006-2007). Pernah diamanahkan oleh Jabatan PASTI Pusat sebagai pembentang kertas kerja dalam Seminar Pra-Sekolah peringkat Kebangsaan anjuran Kementerian Pelajaran Malaysia di Maktab Perguruan Sultan Mizan, Trengganu (2005).

Pernah diamanahkan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pemuda Barisan Alternatif (BA) Negeri Johor (2005-2008) dan Pengerusi Lajnah Pengguna dan Alam Sekitar PAS Johor (2005 –2009). Pernah diamanahkan sebagai calon PAS dalam Pilihanraya Umum ke 11 dan ke 12 bagi kerusi DUN Mahkota, Johor.

Beliau adalah seorang yang aktif dalam sukan dan persatuan sejak daripada bangku sekolah lagi. Pernah mewakili pasukan Hoki Negeri Perak ke peringkat MSSM dan menjadi Pengurus/Pemain Pasukan Bola Baling UTM. Pernah diamanahkan sebagai Timbalan Presiden Majlis Perwakilan Pelajar UTM.

Kini, diamanahkan sebagai Setiausaha Lembaga Penasihat Dewan Perhimpunan Penyokong PAS Pusat (2010 – sekarang), Penolong Setiausaha 1 Dewan Pemuda PAS Pusat (2009 – sekarang), Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional Dewan Pemuda PAS Pusat (2007 – sekarang), Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Johor (2005 – sekarang) dan Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional BPPNJ (2009 – sekarang).

Beliau juga adalah merupakan seorang blogger (www.minda-kembara.com) sejak tahun 2005 dan facebooker (www.facebook.com/khairul.faizi1) sejak tahun 2008. Ketika ini terlibat di dalam NGO iaitu sebagai Presiden Ikatan Perpaduan Rakyat Malaysia (2009 – sekarang) dan Penyelia Pusat Aduan Rakyat (PAR) zon Mahkota (2008 –sekarang).

;;