Sekitar Muktamar DPPNJ Kali Ke 34 - 2006





MENJANA KEBANGKITAN RAKYAT
UCAPAN TEMA
MUKTAMAR TAHUNAN DEWAN PEMUDA PAS NEGERI JOHOR KALI KE-34

Oleh
SDR KHAIRUL FAIZI BIN AHMAD KAMIL
KETUA DEWAN PEMUDA PAS NEGERI JOHOR

6 Mei 2006

Tajuk
MENJANA KEBANGKITAN RAKYAT

PEMBUKA BICARA

Allah SWT telah berfirman:

"Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan."

(al-Maidah: 8)

Alhamdulillah, pada malam yang gemilang ini, marilah kita merafakkan rasa syukur kehadrat Allah S.W.T. kerana dengan izin dan inayahnya maka kita dipertemukan dalam perjumpaan tahunan Dewan Pemuda PAS Negeri Johor, bukan sekadar untuk bertemu tetapi untuk membicarakan dan bermuhasabah setahun perjalanan aktiviti kita.

Dengan penuh kerendahan diri saya yang diamanahkan sebagai Ketua DPPNJ sejak setahun yang lalu mengalu-alukan kehadiran para perwakilan dan para jemputan sekelian. Malam ini tercatatlah satu sejarah tersendiri apabila buat julung kalinya muktamar DPPNJ diadakan bermula pada sebelah malam sebagai acara perasmiannya dan akan disambung perbahasan pada esok harinya. Perubahan ini dilakukan dengan hasrat memberikan ruang dan peluang yang sebaik mungkin kepada para perwakilan untuk memberikan pandangan, teguran dan buah fikiran dalam membantu memperbaiki segala kelemahan sepanjang setahun yang sebelum DPPNJ melabuhkan tirainya.

Saya berharap kemeriahan muktamar yang bermula malam ini mampu menganjak semula gelora perjuangan kita, untuk terus bangkit menjulang Islam ke martabatnya yang agung.

Terlebih dahulu, saya bagi pihak seluruh kepemimpinan Dewan Pemuda PAS Negeri Johor ingin mengalungkan ucapan jutaan terima kasih kepada PAS Kawasan Muar dan Dewan Pemuda PAS Kawasan Muar, khususnya Panitia Muktamar yang bekerja keras menjayakan sidang muktamar kali ini dengan memastikan keberkesanan dan kelancarannya.

Mudah-mudahan sumbangan yang dicurahkan dalam muktamar ini akan dinilai oleh Allah SWT sebagai amal kebajikan yang bermanfaat di dunia dan akhirat, Insya Allah.

MELIHAT KE DALAM, MENOLEH KE BELAKANG

Para hadirin dan hadirat sekelian,

Saya ingin memperingatkan kepada diri saya serta teman-teman seperjuangan dalam medan kepemudaan ini bahawa dengan penuh sedar kita perlu akui bahawa tiada yang lebih murni dan mulia daripada mendaulatkan Islam. Tiada apa yang kita mahukan dalam kehidupan kita sebagai pejuangan Islam selain daripada melihat Islam terus dimuliakan.

Atas nama Islam kita harus berada di tahap yang terbaik. Atas nama Islam juga, setiap mata rantai yang menggerakkan jentera gerakan Islam mesti berada di tahap yang terbaik. Atas nama Islam juga, ilmu kemahiran, keupayaan dan tahap kebersediaan memikul tugas dan tanggung jawab mesti berada di tahap terbaik. Akhirnya atas nama Islam juga, komitmen, penglibatan, pengorbanan, mestilah sejajar dengan gambaran komitmen yang dijelmakan melalui perjuangan khulafaurrasyidin, para sahabat dan tabiin-tabiin termasuk para mujahiddin Islam mukhtahir.

Sedarlah bahawa orang-orang yang benar menggabungkan dirinya dengan Islam menganggap dunia ini sebagai medan untuk mereka berbakti mentaati Allah dan memperolehi keredaan-Nya. Setiap kerja yang kita lakukan di atas muka bumi ini termasuklah perniagaan, harta kekayaan, rumah tangga, masa dan waktu serta pemikiran kesemuanya dicurahkan untuk tujuan mentaati Allah. Sebaliknya golongan kebendaan menggunakan segala kurniaan tersebut demi untuk memuaskan kerasukan nafsu dan keinginan syahwat.

Kerana itu, kita harus sedar bahawa urusan menang atau kalah adalah urusan Allah SWT, seperti mana yang dilalui oleh Rasulullah SAW dan para sahabat di dalam perang Uhud.

Firman Allah SWT:

“Dan janganlah kamu merasa lemah dan janganlah berdukacita, padahal kamulah yang paling mulia (di sisi Allah) sekiranya kamu golongan beriman. Sekiranya kamu ditimpa kesakitan, maka (ketahuilah) musuh-musuh kamu juga turut ditimpa kesakitan yang serupa. Demikianlah kami menggilirkan hari-hari kemenangan antara manusia, supaya (dengannya) akan jelas perbezaan bagi Allah mereka yang benar-benar beriman dan supaya Allah memilih dari kalangan kamu syuhada. Dan Allah tidak menyukai orang-orang yang zalim. Dan agar Allah membersihkan orang-orang yang beriman dan membinasakan orang-orang kafir”.
(Ali Imran: 139-141)

MENJANA KEBANGKITAN RAKYAT

Sidang muktamirin yang dihormati sekalian,

Saya memilih tema bertajuk Menjana Kebangkitan Rakyat kerana saya ingin membayangkan betapa tingginya tuntutan kepada gerakerja pemuda masa kini khususnya Pemuda PAS di seluruh negeri Johor. Tema ini juga diharapkan agar dapat menyuntik semangat juang yang berkobar-kobar bukan hanya terhad kepada seruan takbir ketika ceramah sahaja tetapi merujuk juga kepada pembinaan kekuatan dalaman untuk melahirkan semangat istiqamah dalam perjuangan.

Ianya tidak menyimpang daripada visi DPPNJ sesi 2005/2007 iaitu “Menjana Kebangkitan Rakyat Johor”. Malah, kesepakatan Pemuda BA Johor juga telah bersetuju memilih “Membina Perpaduan, Menjana Kebangkitan” sebagai tema konvensyen Pemuda BA Johor yang telah dilaksanakan pada 2 April 2006 yang lalu. Bermakna, Menjana Kebangkitan Rakyat mempunyai satu hasrat yang sangat tinggi nilainya kepada kepemudaan kita dan para perwakilan mestilah menyedari bahawa betapa besarnya peranan kita dalam arus perjuangan ini.

Namun, proses untuk melaksanakan hasrat ini memerlukan beberapa persediaan yang harus dilihat secara serius. Persiapan yang saya maksudkan adalah membina kekuatan sebenar kita. Kekuatan yang bukan hanya bergantung kepada semangat semata-mata tetapi saya memfokuskan kepada pembinaan jati diri pemuda Islam yang sebenar dan pengukuhan organisasi. Bertepatanlah dengan firman Allah,

“Sessungguhnya Allah menyukai kereka yang berjuang di jalan Allah dalam saff yang tersusun seperti bangunan yang kukuh”
(As-Saff : 4)

Justeru, saya mengharapkan para perwakilan DPPK agar memberikan perhatian yang serius terhadap keutamaan terhadap proses pembinaan kekuatan ini.

MEMBINA KEKUATAN SEBENAR PEMUDA PAS

Sidang muktamirin yang dihormati sekalian,

Saya mengambil ruang yang agak luas di dalam muktamar pada tahun ini untuk memberikan penekanan terhadap kepentingan kita membina kekuatan sebenar. Malam ini, saya ingin mengimbas kembali saat-saat kegemilangan ahli-ahli pemuda PAS di seluruh negeri Johor yang tidak gentar untuk mempertahankan ceramah-ceramah kita apabila digempur. Ada yang dipukul, diketuk, dibelasah, ditangkap, dan dilokap. Namun, pemuda-pemuda PAS Johor memperlihatkan semangat juang yang tinggi sehingga sanggup menggadaikan diri mereka. Mana mungkin kita dapat melupakan peristiwa pemuda mempertahankan ceramah Almarhum Dato’ Presiden PAS di Parit Warijo, membuat benteng rantaian manusia Datuk Sri Tuan Guru Haji Abd Hadi Awang di Kampung Air Panas, Labis dan penangkapan ratusan pimpinan dan penyokong PAS di seluruh negeri Johor beberapa tahun yang lalu.

Namun begitu, realitinya kita dapat melihat bahawa pemuda-pemuda yang kita harapkan agar terus memberikan komitmen mereka terhadap perjuangan ini semakin lama semakin hilang daripada pandangan. Di manakah mereka sekarang? Persoalan ini perlu dijawab dengan penuh ketelusan dan kejujuran oleh kita. Adakah kita telah berjaya dalam erti kata sebenarnya melahirkan pemuda yang benar mempunyai ciri-ciri kepemudaan yang memahami perjuangan Islam serta sanggup berkorban untuk agama.

Para perwakilan sekalian,

Apabila memperkatakan tentang membina kekuatan sebenar pemuda ini, saya ingin menggariskan 2 perkara utama yang perlu diberikan perhatian dan tindakan di semua peringkat.

1. Pengukuhan tarbiyah

Para perwakilan sekelian,

Sebagai pendokong gerakan Islam, kita harus menyedari bahawa tarbiyah Islamiah memainkan peranan yang sangat penting dalam memberikan kefahaman yang benar dan jitu tentang Islam . Sewajarnya Islam perlu difahami dengan fahaman yang syamil dan meliputi semua aspek kehidupan manusia dengan ianya dinnul manhaj (دين المنهج) yang diturunkan untuk menjaga kemaslahatan hidup manusia dunia dan akhirat. Dalam usaha untuk menepati kehendak yang suci lagi murni ini tersebut maka fikrah tarbiyah Islamiah syamilah itu sepatutnya dimanfaatkan oleh pemuda-pemuda PAS yang meletakkan Allah sebagai Khaliqnya dan Rasulullah sebagai kudwah (قدوة ) . Kefahaman yang telah meresap ke dalam jiwa ini, sewajarnya dapat kita alirkan dan sebarkan ke dalam masyarakat dengan bertujuan untuk mengajak mereka ke arah memberi al-‘Ubudiyyah dan wala ‘ hanya kepada Allah semata-mata .

Saya mengharapkan agar Lajnah Tarbiyah dan Kepimpinan akan memfokuskan program tarbiyah sebagai perkara yang paling penting dalam membentuk keperibadian pemuda PAS khususnya di Johor ini. Keseriusan untuk memantapkan lagi program pentarbiyahan ini juga dibuktikan dengan perlantikan tiga anggota exco DPPNJ terlibat secara langsung di dalam lujnah tarbiyah dan latihan kepimpinan. Program-program tarbiyyah yang akan diwujudkan pada masa akan datang mestilah memenuhi 2 matlamat yang sangat besar :

i. Pengabdian diri kepada Allah berdasarkan apa yang disampaikan oleh Baginda Rasulullah S.A.W

Firman Allah Ta’ala :

“Tidaklah Aku jadikan jin dan manusia melainkan untuk melakukan ibadah kepadaKu”
(Az-Zariyat : 56)

ii. Menjadi khalifah Allah di muka bumi

Firman Allah Ta’ala :

“Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat; "Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi". Mereka bertanya (tentang hikmat ketetapan Tuhan itu dengan berkata): "Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal kami sentiasa bertasbih dengan memujiMu dan mensucikanMu?". Tuhan berfirman: "Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya".”

(Al-Baqarah : 30)

Cabaran serta halangan dalam perjalanan hidup tidak dapat dielakkan kerana ianya telah menjadi Sunnatullah dalam kehidupan manusia. Pemuda yang tahan dalam cabaran ini mestilah dibentuk serta diasaskan dengan mempunyai ikatan yang kukuh dengan Allah. Pemuda yang sentiasa menjalinkan hubungan dengan Allah inilah yang dikatakan sebagai Pemuda Rabbani. Ada setengah daripada kita tidak ada mempunyai asas ini tapi mereka boleh bertahan dalam perjuangan Islam, namun perlu diingat ia masih belum menepati kehendak tarbiyah yang sebenar. Perlu diingat setiap amal soleh yang kita kerjakan memerlukan “roh sokongan” yang datang daripada Allah. Tanpa “Nusrah” daripada Allah mana mungkin perjuangan Islam mampu mencapai kemenangan serta kegemilangan. Ketahuilah bahawa bantuan itu tidak akan datang kecuali hanya daripada Allah. Oleh itu, saya mengharapkan agar usaha untuk mewujudkan Madrasah Tarbiyah DPPNJ dapat disegerakan bagi mencapai hasrat melahirkan pemuda Rabbani ini.

2. Pengukuhan Organisasi Pemuda

Untuk kita mencapai hasrat membina satu sistem pengurusan yang kukuh serta tersusun rapi ini, kita perlukan proses perancangan, pengorganisasian, pengawalan dan kepimpinan yang berkualiti. Pengurusan berasaskan objektif (MBO) bukanlah perkara baru dalam Pemuda PAS kerana DPP Pusat telah pun berjaya memperkenalkan budaya kerja ini semenjak 1992. DPPNJ juga telah menerbitkan sebanyak dua kali Manual Prosedur Kerja dan Fail Meja (MPKFM) pada tahun 2003 dan 2005. Namun, bila melihat kepada realitinya, kita perlu mengakui bahawa tahap keberkesanannya masih belum memuaskan. Sebahagian besar daripada kita masih jauh untuk menghayati sistem pengurusan yang berkesan ini. Hasilnya, sistem pemfailan menjadi lemah dan carca-merba, keahlian pemuda di peringkat negeri dan kawasan-kawasan serta cawangan-cawangan masih ditahap rendah dan maklumat seringkali lambat untuk disampaikan serta kerap kali hilang ditengah jalan.

Kedapatan pejabat Pemuda di peringkat kawasan-kawasan masih lagi berada di rumah setiausahanya. Jika adapun pejabat pengoperasian pun belum tentu ia dilengkapi dengan peralatan yang lengkap seperti komputer, mesin faks dan telefon. Jika pejabat pengoperasian lengkap dengan peralatan, belum tentu ia dipergunakan dengan semaksimum mungkin.

Saya ingin mempertegaskan bahawa perancangan ialah fungsi pertama dalam pengurusan yang turut melibatkan pengorganisasian, kepimpinan dan kawalan. Ingatlah kepada kata-kata “Jika kita gagal merancang, maka kita merancang untuk gagal”. Melalui perancanganlah maka kita dapat memberikan tumpuan dan kefleksibelan, melalui perancangan jugalah kita dapat meningkatkan penyelarasan setiap aktiviti yang kita dan melalui perancanganlah kita dapat memperbaiki pengurusan masa dengan tersusun.

Selain keupayaan menguruskan pejabat, keupayaan mengendalikan sumber manusia dengan cekap juga amat penting. Sebagai organisasi politik yang bersifat suka rela, keupayaan kita menguruskan sumber-sumber secara maksimum akan meningkatkan lagi keberkesanan gerakan kita.

Sasaran utama kita ialah untuk mengukuhkan keahlian Dewan Pemuda PAS di peringkat kawasan dan cawangan. DPPP sebelum ini telah menetapkan bahawa di setiap cawangan kita mestilah mempunyai sekurang-kurangnya 5 orang ahli yang aktif. Saya berharap Unit Kerja Jamaah (UKJ) dapat bergerak dengan lebih berkesan untuk menganalisa keperluan-keperluan organisasi di peringkat kawasan dan cawangan, mengklasifikasikan cawangan-cawangan untuk tujuan pemulihan dan pembangunan, mengatur program-program pemuda cawangan serta membina fikrah ahli-ahli di peringkat terbawah.

Muktamar yang akan datang kita harapkan agar hasil daripada tindakan ini akan mewujudkan sebuah pejabat DPPK yang lengkap di setiap kawasan, senarai ahli pemuda DPP yang lengkap dan sistem pengurusan kerja yang tersusun. Dengan memberikan memberikan tumpuan dan penekanan terhadap dua aspek ini, diharapkan agar satu anjakan baru dapat dijana untuk membina kekuatan sebenar pemuda PAS di negeri Johor. Bagi merealisasikan hasrat ini, lawatan kerja ke DPP Kawasan-kawasan akan dilaksanakan selepas muktamar ini, Insya Allah.

MEMBINA GENERASI MASA DEPAN KEPEMIMPINAN PEMUDA

Sidang muktamirin yang dihormati sekalian,

Kalau dilihat daripada kelibat exco-exco DPPNJ, mereka terdiri daripada pelbagai latar belakang yang banyak membantu membina kekuatan DPPNJ pada sesi ini. Buat pertama kalinya DPPNJ mempunyai 4 anggota exco ‘ulama muda’ yang berlatar belakang pendidikan daripada Universiti Al-Azhar Mesir. Begitu juga yang pernah mengikut sistem tarbiyah di madrasah dan di pusat pengajian tinggi.

Namun kita tidak boleh hanya bergantung kepada apa yang telah ada tetapi perlu menggerakkan usaha untuk membina generasi kepimpinan masa hadapan Pemuda PAS di semua peringkat. Satu usaha untuk meneruskan agenda ini mesti dibuat dengan lebih teratur. Kepemimpinan mesti dibina secara berperancangan bagi melahirkan pemimpin yang berjaya. Sekarang bukan masanya untuk kita membiarkan kepemimpinan terbentuk dengan sendiri tetapi mestilah dirancang dengan tersusun.

Kita mahu melahirkan pemimpin-pemikir yang memiliki ketegasan prinsip, berupaya mengatur tindakan kontemporari dan sentiasa berperancangan berkehadapan. Kita juga ingin melahirkan pemuda PAS yang berkualiti, cemerlang dan dinamis. Kursus-kursus kepimpinan mestilah diadakan secara intensif. Kita berhasrat untuk melahirkan pemuda-pemuda Islam yang memiliki keperkasaan jiwa, keteguhan jihad, ketinggian ilmu dan kecemerlangan kepemimpinan. Selain daripada tamrin-tamrin qiyadi untuk memantapkan aqidah dan jati diri para pimpinan pelapis, kursus-kursus kemahiran bersiri akan diwajibkan kepada setiap pemimpin pelapis untuk membolehkan mereka mempersiapkan diri sebagai pemimpin yang akan mengambil alih kepemimpinan Dewan Pemuda PAS kelak.

Saya menyeru kepada barisan kepimpinan pemuda termasuk yang sedia ada disemua peringkat agar berusaha untuk mengikuti modul-modul yang disediakan oleh ILHAM termasuk Diploma Tasawwur Islam (DTI), kursus Pengurusan dan Organisasi (ILPO) serta kursus Visi dan Kefahaman (ILVK). Dengan mengikuti semua kursus ini secara intensif kita dapat menghasil pemimpin baru memiliki ketaqwaan kepada Allah, ketinggian akhlak, kemantapan ilmu dan kecekapan pengurusan.

Saya mengharapkan agar Lajnah Tarbiyah dan Kepemimpinan, Jabatan Pembangunan Pelajar dan Jabatan Pembangunan Remaja perlu digerakkan dengan lebih proaktif untuk menjayakan hasrat ini.

MENDEKATI GOLONGAN MUDA

Sidang muktamirin yang dihormati sekalian,

Kita tidak boleh menafikan bahawa pengundi muda sudah semakin jauh daripada kita. Kehilangan negeri Trengganu dan beberapa kerusi Parlimen/DUN di seluruh negara dipegaruhi oleh perubahan sikap gologan ini. Persoalan ini mesti dipandang serius oleh Dewan Pemuda PAS, khususnya untuk mencari punca dan pendekatan menanganinya.

Secara umumnya, ini dapat dilihat sebagai kejayaan UMNO/BN menarik minat golongan ini kepada UMNO/BN. Selepas pilihan raya 1999, Umno/BN telah melancarkan gerakan besar-besaran untuk merampas semula pengaruh yang terlepas ke tangan PAS/BA. Mereka tidak henti-henti mengatur strategi sehingga penyalahgunaan jentera kerajaan, menyekat saluran-saluran maklumat kepada rakyat, mengekang kebebasan kakitangan awam, membudayakan kehidupan hedonisme kepada muda mudi dan mengokongan pemikiran muda-mudi. Mereka juga dengan bersungguh-sungguh menggerakkan Pemuda dan Puteri serta Putera Umno untuk menawan semula hati pengundi muda. Ternyata strategi mereka membuahkan hasil apabila PAS/BA gagal mempertahankan keutuhan pengaruhnya.

Jika sebelum ini kita dapat bagaimana kelantangan anak-anak muda kita menyuarakan sikap mereka terhadap kelemahan dan kegagalan pemerintah, kini mereka sedang dirobotkan untuk menerima apa sahaja yang dilakukan oleh kerajaan walaupun hakikatnya mereka sendiri tidak dapat menerimanya. Keruntuhan akhlak dan moral mahasiswa/i sudah seolah-olahnya sudah tidak dapat dibendung lagi sehingga mereka terjebak ke kancak maksiat yang terlampau.

Tugas untuk menarik pengundi muda kepda PAS/BA adalah terletak kepada peranan Dewan Pemuda PAS. Lajnah Sukan dan Kebajikan serta Jabatan AMAL mestilah melipatgandakan usaha dan aktiviti yang meyakinkan golongan muda untuk kembali menyokong perjuangan kita.

MENCEGAH KEMUNGKARAN

Para perwakilan sekelian,

Begitu juga agak sukar untuk kita melupakan bagaimana dalam XPDC Dakwah Perdana pada malam sambutan tahun baru 2006 yang berlangsung di Dataran Danga Bay memperlihatkan kelonggaran kerajaan UMNO/BN dalam mencegah kemungkaran. Tanpa memperdulikan tegahan agama, anak-anak muda ini tanpa segan silu berpelukan, berciuman malah ada yang dengan rasa penuh kehebatan meneguk arak dihadapan orang ramai. Laporan polis terpaksa dibuat untuk mendesak pihak keselamatan menyuraikan pesta ini.

Mengapa Penguakuasa Jabatan Agama Johor tidak melakukan serbuan sedangkan jarak Danga Bay tidak jauh daripada pejabat mereka? Rupa-rupanya, harapkan pagar, pagar tidak boleh harap. Ini disebabkan bilangan pegawai penguat kuasa JAJ ketika ini hanya seramai 76 orang berbanding jumlah penduduk Islam di Johor iaitu seramai lebih 2.1 juta. Inilah sebenarnya perjuangan kerajaan Islam Hadhari.

Kerana itulah,kita tidak boleh mendiamkan diri terhadap kemungkaran ini dan pemuda perlu memainkan peranan yang telah kita mulakan sejak beberapa tahun yang lalu iaitu XPDC Dakwah. Ini bertepatan dengan firman Allah,

“Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang - orang yang berjaya.”

(Ali Imran 104)

Menyedari kewajipan ini, saya menegaskan bahawa setiap DPPK agar tidak meninggalkan tanggungjawab ini. Saya masih teringat kepada pesanan mantan Ketua DPPNJ, saudara Mazlan Bin Aliman supaya XPDC Dakwah ini djadikan sebagai aktiviti yang perlu dilakukan secara praktikal selepas setiap kali kita mengadakan usrah.

NEGERI JOHOR SEMAKIN HANCUR, HIDUP RAKYAT SEMAKIN TERTEKAN

Sidang hadirin sekalian,

Setahun terakhir ini, kita dapat melihat betapa rakyat khususnya di negeri Johor semakin lama semakin hidup dalam keadaan tertekan dan menderita. UMNO/BN dilihat sedang mengambil kesempatan di atas penaklukkan semula 90 peratus kerusi Parlimen dan 98 peratus kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor. Lihatlah betapa sepanjang pemerintahan UMNO/BN sejak pilihanraya umum ke 11 yang lalu, kenaikan harga harga minyak petrol telah dinaikkan sebanyak 4 kali dengan jumlah RM 0.55 dan kenaikan sebanyak RM 0.82 sen sebanyak 6 kali untuk diesel bagi setiap liter penjualan memperlihatkan kerakusan dan kezaliman terlampau parti pemerintah.

Bagi menjernihkan kegusaran rakyat serta untuk mengizinkan tindakan mereka, pelbagai alasan dicipta dan direka untuk menghalalkan tindakan kerajaan, yang pentingnya kenaikan harga minyak mesti dilakukan.

Hakikatnya, rakyat semakin tertekan. Gabungan Rakyat Membantah Kenaikan Harga Minyak Negeri Johor (BANTAH) dengan dianggotai oleh Parti Islam SeMalaysia (PAS), Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Tindakan Demokratik (DAP), Badan-badan bukan kerajaan dan beberapa persatuan-persatuan telah ditubuhkan dengan harapan dapat memberikan kesedaran kepada rakyat betapa tindakan kerajaan yang memerintah pada hari ini semakin zalim.

Memorandum rakyat telah diserahkan kepada wakil Menteri Besar Johor pada 3 Mac 2006 melalui pintu pagar Bukit Timbalan memperlihatkan keengganan kerajaan mendengar pandangan rakyat yang semakin tertekan dalam kehidupan.

Kes pembunuhan anak-anak yang tidak berdosa seperti yang telah dialami oleh Allahyarham Syafiqah Borhan dan Nurulhuda Abd Ghani menambahkan mimpi ngeri rakyat Johor. Laporan kejadian pergaduhan di sekolah-sekolah di Johor seperti yang dilaporkan dalam sidang DUN Johor menambahkan lagi kebimbangan ini.

Dalam masa yang sama, penjualan VCD haram/lucah seperti sudah tidak dapat dibendung lagi khususnya di kawasan Bandaraya Johor Bahru sehingga Menteri Besar Johor terpaksa membidas sendiri pegawai-pegawai kerajaan di bawahnya. Ini secara tidak langsung menunjukkan betapa lemahnya kerajaan UMNO/BN Johor yang tidak mampu mengawal penjualan VCD lucah ini.

Penyalahgunaan dadah semakin ketara. Semakin hari semakin bertambah penagih dadah dan yang paling menyedihkan, majoritinya adalah dikalangan kaum melayu. Krisis bekalan air terutama yang melibatkan Daerah Batu Pahat dan Kluang berlarutan panjang sehingga telah memberikan kesan buruk kepada rakyat. Pencemaran air sungai serta krisis air takungan empangan sehingga pencatuan air terpaksa dilakukan menyebabkan rakyat mengalami kesulitan yang berpanjangan.

Hutang kerajaan negeri Johor kepada kerajaan Pusat semakin bertambah. Kali terakhir didedahkan adalah berjumlah RM 932 juta. Ini tidak termasuk dengan kerugian Johor Cooperation (JoCorp) dan Kumpulan Prasarana Rakyat Johor (KPRJ). Isu pembuangan sisa toksik secara besar-besaran yang berlaku di Johor mendedahkan kelemahan kerajaan UMNO/BN dengan penemuan 12,000 tan bahan sisa buangan industri di Simpang Renggam serta penemuan 386 kontena yang menyimpan bahan itu, yang dipercayai dibawa masuk dari Taiwan, di Pelabuhan Pasir Gudang pada 2004. Ditambah lagi dengan penemuan lebih 5000 tan sisa toksik di Kampung Sungai Gatom yang menjadikan Johor telah menjadi pusat buangan sisa toksik secara HARAM yang terulung dan terkemuka di Malaysia dan di dunia.

Persoalannya, sejauh manakah tindakan yang kita lakukan berjaya menyedarkan rakyat bahawa betapa lemah dan korupnya UMNO/BN memerintah negeri dan negara ini?. Apakah penerangan kita telah sampai ke telinga-telinga rakyat untuk mereka membuat penilaian dan pertimbangan?. Justeru, Unit Pusat Penyelidikan dan Pembangunan serta Lajnah Penerangan dan dakwah perlu merangka strategi dan perancangan untuk kita memastikan proses menjana kebangkitan rakyat akan dapat direalisasikan.

PEMUDA BARISAN ALTERNATIF NEGERI JOHOR

Para Perwakilan yang saya kasihi sekelian,

Siapa sangka dan mampu menduga, Pemuda Barisan Alternatif (BA) Negeri Johor berjaya mengadakan Konvensyen Pertamanya pada 2 April 2006 yang lalu. Malah ia adalah konvensyen pertama kalinya diadakan dalam sejarah Pemuda BA diseluruh negara. Konvensyen yang telah menggariskan enam resolusi yang perlu diteliti, difahami dan dilaksanakan ini seharusnya membangkitkan usaha kita untuk terus menjana usaha yang lebih tinggi. Tidak salah rasanya untuk menyatakan bahawa dasar perjuangan PAS dan PKR adalah berbeza tetapi matlamatnya sama. Namun, hambatan-hambatan inilah yang mesti dihapuskan demi mencapai kesepaduan yang lebih kolektif.

Apabila berbicara soal perpaduan BA, saya suka memetik kata-kata Almarhum Datuk Haji Fadzil Bin Mohd Noor di dalam ucapan dasar PAS kali ke 46 yang mana almarhum pernah menyatakan bahawa :

“Sesungguhnya PAS mempunyai potensi cukup besar untuk membuktikan kepada dunia bahawa Islam mampu memerintah dengan pendekatan yang disenangi rakyat, bahkan orang bukan Islam sekalipun. PAS dengan gandingan BA sekaligus mampu membuktikan bahawa satu paradigma baru dalam melahirkan suatu tamadun baru mampu dicetus dalam abad ke 21 Masehi.”

Justeru pandangan almarhum yang mengutamakan perpaduan di dalam BA, saya mengharapkan perpaduan dan kerjasama yang telah ditunjukkan oleh seluruh anggota Pemuda BA Johor selama ini dapat diteruskan dan dipertingkatkan malah dapat dicontohi oleh rakan-rakan BA diseluruh negara.

Saya yakin dan percaya bahawa kerjasama yang diwujudkan ini bersama Angkatan Pemuda Keadilan Negeri Johor (AMKJ) mampu membantu kita untuk membangkitkan kesedaran rakyat di negeri Johor ini.

PENUTUP BICARA

Sidang muktamirin sekalian,

Dikesempatan ini, saya ingin merakamkan ucapan jutaan terima kasih kepada semua Exco DPPNJ kerana telah memberikan kerjasama yang sebaiknya sepanjang setahun saya diamanahkan sementara sebagai Ketua DPPNJ. Saya juga ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada mantan Ketua DPPNJ, Sdr Mazlan Bin Aliman yang banyak memberikan tunjuk ajar selama 6 tahun sebagai Exco DPPNJ di bawah beliau.

Dikesempatan ini juga, saya ingin mengucapkan selamat kembali berjuang kepada Ust Nor Ashid Bin Haji Sakib, bekas exco DPPNJ yang yang sebelum ini telah ditahan di bawah ISA (tahanan terhad) selama empat tahun. Beberapa minggu sebelum beliau dibebaskan, beliau telah berjanji bahawa sekiranya beliau dibebaskan, maka tidak lain yang beliau akan lakukan adalah untuk meneruskan perjuangan yang telah tertangguh selama 4 tahun kerana penantian selama itu sememangnya menyeksakan. Apabila himpunan aman menentang penghinaan terhadap Rasulullah yang berlangsung di Masjid Batu Pahat cuba untuk diganggu oleh polis, saya melihat beliau terus bergegas menaiki pentas himpunan untuk memastikan pimpinan PAS Johor tidak diapa-apakan. Inilah di antara contoh pemuda yang ingin lahirkan dalam medan perjuangan ini, yang sanggup mati untuk menegakkan kalimah Allah di muka bumi ini.

Perjuangan suci ranjau berduri,
Hadapi tekanan tidak terperi,
Namun segalanya tiada dipeduli,
Hanya mengharap redha Ilahi.


Firman Allah :

“Sesungguhnya mereka itu orang-orang muda yang beriman kepada Tuhan mereka, dan kami tambahi mereka dengan hidayah petunjuk. Dan Kami kuatkan hati mereka (dengan kesabaran dan keberanian), semasa mereka bangun (menegaskan tauhid) lalu berkata: "Tuhan kami ialah Tuhan yang mencipta dan mentadbirkan langit dan bumi; kami tidak sekali-kali akan menyembah Tuhan yang lain dari padanya; jika kami menyembah yang lainnya bermakna kami memperkatakan dan mengakui sesuatu yang jauh dari kebenaran."
(Al-Kahfi : 13 & 14)

Akhir kata, saya bagi pihak seluruh ahli Dewan Pemuda PAS Negeri Johor sekali lagi mengucapkan jutaan terima kasih kepada YB Datuk Paduka Haji Husam Bin Musa yang sudi merasmikan muktamar kita pada malam ini, dan terima kasih juga kepada semua tetamu kita yang memberikan komitmen menjayakan majlis ini.

Marilah sama-sama kita memasang tekad dan azam untuk terus bangkit menjana kebangkitan rakyat bagi meneruskan kelangsungan api jihad yang dibakar oleh Rasulullah SAW. Berazamlah dengan sepenuh keyakinan untuk kita membina kekuatan sebenar yang mampu membentuk jati diri pemuda Islam yang beriman dengan perancangan yang tersusun rapi. Semoga Allah SWT berkenan memberikan kekuatan dan kesabaran kepada kita dalam memacu perjuangan ini.

Sekian, wassalam.

Allahu Akbar! Allahu Akbar! Allahu Akbar
!


Tajuk"Membina Keyakinan, Menjana Kemenangan"

Allah SWT telah berfirman:

Wahai orang-orang Yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang Yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. dan bertaqwalah kepada Allah, Sesungguhnya Allah Maha mengetahui Dengan mendalam akan apa Yang kamu lakukan.(al-Maidah: 8)

Pembuka Bicara

Pertamanya, saya ingin merakamkan rasa syukur ke hadrat Allah kerana dengan limpah kurnia dan inayahNya maka kita dapat bertemu dalam Muktamar DPPNJ untuk kali yang ke 35 pada malam ini.Saya mengalu-alukan kehadiran perasmi muktamar pada malam ini, Tuan Haji Mahfuz Bin Omar yang saya kira bukanlah calang-calang pimpinan kerana beliau adalah mantan Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat yang pernah membina dan menjana pemuda PAS di seluruh negara dalam era kebangkitan rakyat.
Sudah semestinya sesuatu pandangan dan buah fikiran beliau pada malam ini sangat dinanti-nantikan oleh kita semua.


Saya juga mengalu-alukan kehadiran pimpinan PAS Negeri Johor, pimpinan Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat, pimpinan Badan Bukan Kerajaan (NGO), para perwakilan dan pemerhati yang saya hormati sekelian.


Terlebih dahulu, saya bagi pihak seluruh kepemimpinan Dewan Pemuda PAS Negeri Johor ingin merakamkan penghargaan kepada Panitia Muktamar yang bekerja keras menjayakan sidang muktamar kali ini dengan memastikan keberkesanan dan kelancarannya.


Mudah-mudahan sumbangan yang dicurahkan dalam muktamar ini akan dinilai oleh Allah SWT sebagai amal kebajikan yang bermanfaat di dunia dan akhirat, Insya Allah.


Menyingkap Tabir Semalam


Para muktamirin sekelian,


Getar dan gementar mengiringi saya untuk memulakan bicara pada malam ini kerana bicara pada malam ini terlalu penting untuk kita semua sama-sama muhasabah diri terhadap apa yang telah kita sama-sama lalui sepanjang setahun yang lalu.


Ruangan yang tersedia ini perlu kita gapai bagi membina kelangsungan perjuangan Pemuda PAS di Johor. 35 tahun Pemuda PAS Johor telah berjaya melayari batera perjuangan dengan penuh perit jerih. Pengorbanan pimpinan terdahulu yang merasai keperitan yang terlalu jauh daripada apa yang kita lalui ketika ini perlu diambil iktibar sebagai sejarah yang telah mematangkan Pemuda PAS Johor.


Para perwakilan sekelian,


Kita perlu jujur pada diri kita apakah sekian tahun kita bermuktamar selama ini, kita telah benar-benar menyelami hasrat dan harapan DPPNJ dengan sebenar-benarnya. Ataupun, kehadiran kita ke muktamar sekadar memenuhi kehendak dan arahan.


Merenung sejenak muktamar kita pada tahun lalu dengan tema Menjana Kebangkitan Rakyat dan itulah pertama kali dalam sejarah DPPNJ buku ucaptema telah disediakan bersama dan diedarkan kepada perwakilan untuk dijadikan panduan sebagai gerakerja di peringkat kawasan.


Penekanan terhadap beberapa perkara telah digariskan untuk memudahkan tindakan dapat dijelmakan. Tahun lalu fokus utama yang telah dinyatakan adalah bagaimana perlunya untuk kita membina kekuatan sebenar pemuda iaitu kekuatan tarbiyah dan kekuatan organisasi.


Lajnah Tarbiyah dan Latihan kepimpinan telah berjaya menyiapkan sebuah Manual Tarbiyah DPPNJ dan ini adalah satu langkah yang amat membanggakan sebagai usaha memantapkan tarbiyah namun apalah ertinya kita berbangga sedangkan manual dan panduan tarbiyah ini hanya disimpan sebagai barang perhiasan sahaja.


Persoalannya, berapa kerap kalikah usrah dapat dijalankan, berapa kalikah tamrin dapat dilaksanakan, berapa kalikah diskusi ilmu dapat dilaksanakan dan berapa kalikah muqayyam dapat dianjurkan. Ini adalah persoalan yang perlu kita lihat secara mendalam terhadap kesediaan kita untuk melaksanakan hasrat perjuangan kita.


Saudara sekelian,


Tanpa kemantapan dan pengukuhan tarbiyah dalam diri dan jamaah ini akan memudahkan kita terpesong daripada landasan sebenar perjuangan. Sejarah perjuangan Islam telah membuktikan bahawa tarbiyah dapat melahirkan pejuang Islam yang tahan lasak dan sanggup bekorban segala-segalanya untuk Islam.


Bukan itu sahaja, terasa bagaikan tidak berbaloi apabila kita telah melantik tiga EXCO DPPNJ yang pulang daripada lepasan Universiti Al-Azhar Mesir untuk menggerakkan lajnah Tarbiyah dan Latihan Kepimpinan tetapi mengapa peranan mereka ini tidak digarap dengan sebaik mungkin.


Dalam membicarakan soal pengorbanan, tidak keterlaluan rasanya sekiranya pada malam ini saya cuba mengimbas kembali dan menyebut beberapa nama yang dianggap tokoh dalam membina keupayaan pemuda PAS Johor sejak ditubuhkan kira-kira 35 tahun yang lalu. Mana mungkin kita boleh menafikan sejarah pengorbanan pimpinan yang terdahulu yang pernah mengemudi bahtera perjuangan gerakan ini sehingga kita mampu berdiri megah sebagai penyambung perjuangan. Mantan-mantan Ketua Dewan Pemuda PAS Johor seperti Tuan Haji Hasan Bin Hussien, Allahyarham Haji Abd Hamid Bin Abdul Rahim, Tuan Haji Ismail Bin Ibrahim, Sdr Salahudin Bin Ayub dan Saudara Mazlan Bin Aliman telah berjaya mencorakkan Pemuda PAS Johor seperti yang ada pada hari ini. Nama-nama ini telah berjaya memimpin gerakan pemuda Islam di Johor walaupun terlalu banyak mehnah dan tribulasi yang terpaksa ditempohi.


Kita mungkin tidak pernah merasai cemuhan dan cacian seperti kepimpinan terdahulu, kita mungkin tidak pernah diboikot oleh masyarakat setempat, kita juga mungkin tidak pernah merasai keperitan menjelajahi seluruh pelusuk negeri Johor dengan kepayahan tetapi ‘abang-abang’ kita ini tetap gagah merentasi halangan-halangan ini.


Inilah dia sifat pemuda Islam yang tidak ragu dan bimbang terhadap apa yang telah dijanjikan Allah.Sejarah perjuangan Islam telah membuktikan bahawa pemuda-pemudalah yang menjadi harapan dalam membawa kegemilangan Islam.


Keyakinan yang seharusnya dibina dalam diri pemuda terhadap perjuangan Islam ini dapat digambarkan melalui firmanNya ;.


Kami ceritakan kepadamu (Wahai Muhammad) perihal mereka Dengan benar; Sesungguhnya mereka itu orang-orang muda Yang beriman kepada Tuhan mereka, dan Kami tambahi mereka Dengan hidayah petunjuk. Dan Kami kuatkan hati mereka (dengan kesabaran dan keberanian), semasa mereka bangun (menegaskan tauhid) lalu berkata: "Tuhan Kami ialah Tuhan Yang mencipta dan mentadbirkan langit dan bumi; Kami tidak sekali-kali akan menyembah Tuhan Yang lain dari padanya; jika Kami menyembah Yang lainnya bermakna Kami memperkatakan dan mengakui sesuatu Yang jauh dari kebenaran."


(Al-Kahfi : 13 & 14)


Sifat pemuda Islam yang sanggup mati demi menegakkan agama Allah tidak akan tercapai melainkan dengan adanya pengorbanan, kerahan tenaga ,harta dan masa dalam jihad fisabilillah. Dengan adanya pengorbanan inilah sejarah dan ketamadunan Islam terbina dan tersergam indah di mata dunia dan keagungangnya menjadi kegerunan musuh Allah .


Firman Allah Taala dalam surah al-Baqarah ayat 214 yang berbunyi :


Adakah patut kamu menyangka Bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti Yang telah berlaku kepada orang-orang Yang terdahulu daripada kamu? mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan hartabenda) dan serangan penyakit, serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang Yang beriman Yang ada bersamanya: Bilakah (datangnya) pertolongan Allah?" ketahuilah Sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada ugama Allah).

(Al Baqarah 214)


Muktamar Peluang Kita Muhasabah


Sahabat perwakilan yang saya hormati sekelian,Di dalam muktamar ini juga kita berpeluang untuk mengkoreksi diri kita sepanjang setahun kita bersama. Di sebalik kemampuan kita menguruskan Jawatankuasa Banjir dan menggerakkan jentera Unit AMAL Johor ataupun ketika ini sononim dengan gelaran ‘tentera merah’ sebenarnya masih terdapat lompang yang cukup ketara secara keseluruhannya jentera DPPNJ dalam mencapai hasrat visi dan misi DPPNJ.


Apakah kita telah berjaya menggarapkan peranan kita dalam menangani masalah sosial yang melanda golongan belia dan remaja ketika ini yang seharusnya dilakukan oleh Lajnah Sukan dan Kebajikan serta Jabatan Pembangunan Remaja? Bagaimana pula dengan pendekatan kita terhadap masyarakat melayu dan bukan melayu yang sepatutnya diambil peranan oleh Lajnah Penerangan dan Lajnah Perpaduan Nasional?


Apakah kita masih berharap kewangan DPPNJ berterusan dihulurkan daripada dermawan-dermawan sedangkan Lajnah ekonomi masih berlegar-legar menanti hasil yang tidak kunjung pasti?. Mampukah kita menangani masalah pengguna sekiranya tindakan kita hanya di sekitar kawasan ruang lingkup yang sama?


Saya menyebut tentang beberapa Lujnah dan Jabatan ini bukan untuk menuding jari kepada mana-mana EXCO yang sudah tentu dilihat seolah-olahnya tidak menjalankan amanah yang diberikan tetapi saya melihat perkara ini sebagai satu proses muhasabah secara total kepada kita semua bahawa kita perlu bekerja sebagai sebuah pasukan yang mantap di setiap sudut seperti mana yang telah di sebut di dalam Al-Quran :


Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang Yang berperang untuk membela ugamaNya, Dalam barisan Yang teratur rapi, seolah-olah mereka sebuah bangunan Yang tersusun kukuh.(As-Saff : 4)


Peluang dan ruang yang terbentang luas di dalam muktamar ini mestilah dipergunakan dengan sebaik mungkin bukan nawaitunya untuk menghentam mana-mana pihak tetapi semuanya dijuruskan kepada pemerkasaan DPPNJ pada masa akan datang.


Negeri Johor Menuju Kehancuran


Para perwakilan yang dirahmati Allah,Kecelaruan, kerakusan, ketidakadilan dan kezaliman yang dilakukan oleh UMNO/BN yang memerintah negara dan negeri Johor semakin lama semakin membimbangkan. Rasuah, salahlaku pemimpin, kes jenayah seperti kes ragut, rogol dan bunuh, penindasan rakyat seperti pengusiran rakyat daripada penempatan, kes gejala sosial sudah menjadi barah yang cukup mengerikan.


Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI) yang dilihat kononnya sebagai projek mega yang mampu menjana ekonomi negara sebenarnya masih lagi dibayangi dengan kesamaran yang berpanjangan. Bermula dengan penafian hak YB Dr Mohd Ramli Kari (PAS-Senggarang) daripada memiliki dokumen rasmi WPI ketika sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor membuktikan bahawa pimpinan UMNO/BN di Johor cukup bimbang sekiranya maklumat terperinci berkaitan WPI ini akan diketahui oleh rakyat.


Sehingga kini, rakyat di Johor khususnya masyarakat melayu tertanya-tanya apakah akan berlaku kepada nasib mereka yang terlibat dengan pembangunan WPI ini. Dikatakan bahawa WPI akan meliputi 221,634 hektar tanah yang merentasi bandar raya Johor Baharu, Kawasan Perindustrian Pasir Gudang di sebelah timur, Kulai di utara dan Mukim Serkat, Pontian di sebelah barat dengan membabitkan lima pihak berkuasa tempatan iaitu Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), Majlis Perbandaran Johor Baharu Tengah (MPJBT), Pihak Berkuasa Tempatan Pasir Gudang (PBTPG); Majlis Perbandaran Kulai (MPKu) dan Majlis Daerah Pontian yang diketahui umum bahawa ia melibatkan tanah-tanah kepunyaan orang melayu.Dikhabarkan, warga asing diberikan ruang untuk membeli yang harganya lebih RM 250,000 tanpa melalui FIC (Foreign Invesment Counsel). Ini memudahkan warga asing khususnya Singapura boleh membeli rumah dan tanah di WPI sewenanag-wenangnya. Yang tersepit adalah bumiputra di Malaysia kerana mereka tidak lagi mampu membeli rumah tersebut. Maka akan banyaklah taman-taman perumahan di WPI di kuasai oleh warga asing. Kita mungkin akan berbangga dengan kemajuan yang dicapai daripada WPI tetapi akhirnya pembangunan itu dinikmati oleh orang lain. Bak kata pepatah, ‘Menang Sorak Kampung Tegadai’.


Dua lokasi Zon Akses Bebas yang membenarkan pergerakan keluar masuk rakyat asing tanpa menggunakan pasport dicadang diwujudkan di Johor bagi membantu pembangunan WPI bertujuan memudahkan rakyat asing khususnya warga Singapura memasuki negara ini tanpa membawa dokumen perjalanan sangat membimbangkan rakyat Johor. Sikap kerajaan UMNO/BN yang lebih mementingkan kemajuan dan kebendaan akan menyebabkan nasib bangsa Melayu akan terus tergadai kerana rakyat asing akan dibenarkan untuk melabur dan membangunkan wilayah ini tanpa dikenakan apa-apa syarat.


DPPNJ cukup bimbang WPI akhirnya akan menjadi ‘Singapura kedua’ selepas ini.Pembinaan taman tema ala ‘Disneyland’ di Nusajaya yang diwujudkan untuk menarik minat pelancong dengan alasan untuk menjana ekonomi negeri adalah alasan yang paling dangkal sedangkan mendidik rakyat kepada hiburan memudahkan mereka terleka dan mereka lupa pada ajaran dan peraturan agama. Allah S.W.T telah mengingatkan kita bahawa kehidupan dunia ini penuh dengan tipu daya.


Firman Allah ;Dan tidak (dinamakan) kehidupan dunia melainkan permainan Yang sia-sia dan hiburan Yang melalaikan: dan Demi Sesungguhnya negeri akhirat itu lebih baik bagi orang-orang Yang bertaqwa. oleh itu, tidakkah kamu mahu berfikir?

Al-An’am:32


Dalam kekeliruan rakyat menghadapi persoalan terhadap WPI, tiba-tiba diumumkan bahawa kuota 30 peratus terhadap penguasaan bumiputera digugurkan sedangkan umumnya kita telah pun mengetahui bahawa DEB masih berlegar disekitar 18 peratus sahaja penguasaan bumiputera. DPPNJ mempersoalkan apakah rasionalnya kuota ini digugurkan?


Paling malang, pemimpin UMNO terutamanya pemimpin UMNO Johor terus membisu seolah-olahnya merestui pengguguran ini.Pengambilan pekerja asing tanpa had oleh syarikat daripada dalam dan luar negara yang bernaung di bawah WPI terutamanya dalam bidang Teknologi Komunikasi Maklumat (ICT) telah menimbulkan kemarahan sedangkan hakikatnya di Malaysia ketika ini pengangguran kedua teramai adalah mereka yang lahir dalam pendidikan ICT.


Apakah kerajaan yang ada pada hari ini tuli dan buta terhadap masalah pengangguran rakyat? Justeru apa perlunya pusat pengajian tinggi awam dan swasta berlumba-lumba melahirkan pakar dalam bidang ICT sekiranya pekerja asing diberikan peluang terlebih dahulu?. Jika inilah sikap kerajaan UMNO/BN maka dalam muktamar DPPNJ pada malam ini saya mencabar supaya agar semua Fakulti Komputer yang ada di Universiti di negara ini ditutup sahaja. Apa gunanya kita melahirkan pakar-pakar ICT tetapi akhirnya mereka merempat di negara sendiri.Para perwakilan yang saya hormati sekelian,VCD dan bahan lucah semakin tidak terkawal. Penjualan bahan lucah amat mudah didapati di mana-mana seperti mana didedahkan bagaimana seorang bapa terkejut apabila mendapati tiga anaknya yang berusia antara tiga sehingga sembilan tahun leka menonton cakera padat video (VCD) lucah yang dijual secara terbuka di pasar malam berhampiran kediamannya di Taman Perling, Johor Bahru. Rampasan demi rampasan telah dilakukan tetapi masalah penjualan VCD lucah semakin tidak terkawal. Tahun 2006 sahaja sebanyak 73,653 keping VCD lucah dalam 1357 kes yang telah dirampas oleh PDRM di bawah Akta Penapisan Filem.


Jenayah yang melibatkan golongan kanak-kanak dan remaja semakin membimbangkan. Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (YPJM) pernah mendedahkan bahawa perlakuan jenayah membabitkan kanak-kanak atau pelajar bukan sahaja kesalahan ringan seperti mencuri atau pecah rumah malah jenayah berat termasuk bunuh, rogol, samun bersenjata api dan keganasan, malah dalam tempoh tujuh bulan pertama tahun 2005 sahaja, kanak-kanak terbabit dengan 27 kes rogol, bunuh (3), keganasan yang menyebabkan kecederaan parah (76), kesalahan yang menyebabkan kecederaan ringan (33), samun berkumpulan (2), samun bersenjata api (1) dan 10 kes samun tanpa senjata api.


Selain daripada itu, 246 kes membabitkan kes curi kenderaan, curi malam hari (112), curi siang hari (29), ragut (18) dan 188 kes jenayah lain.Statistik juga menunjukkan bahawa kanak-kanak yang terlibat dengan jenayah ini seawal usia tujuh tahun. Dalam tempoh tujuh bulan pertama, 76 kes melibatkan mereka yang berusia 7 tahun, 668 kes melibatkan di antara 13 dan 15 tahun manakala 1,008 kes melibatkan pelajar yang berusia 16 sehingga 18 tahun. Daripada 1,591 kes yang dilaporkan, 1,295 kes atau 79 peratus melibatkan pelajar melayu dan majoriti kes ini berlaku di dalam negeri Johor.


Jenayah seperti bunuh, rogol dan samun semakin meruncing keadaannya. Sepanjang tahun 2006 terdapat 604 kes bunuh, 2,435 kes rogol dan 18,446 kes samun/ragut tanpa senjata api telah berlaku diseluruh negara sedangkan pada tahun 2005 hanya terdapat 497 kes bunuh, 1,887 kes rogol dan 13,210 kes samun/ragut yang berlaku.


Kes kecurian kenderaan pada tahun 2006 yang melibatkan motosikal (64,858 kes) dan kereta (11,101 kes) berbanding pada tahun 2005 yang jumlah kecuriannya adalah lebih rendah iaitu motosikal (51,709 kes) dan kereta (9,711 kes). Kes pecah rumah pula dicatatkan bahawa terdapat 27,313 kes yang berlaku pada tahun 2006 berbanding 24,465 kes pada tahun 2005.


Dalam kepayahan mengawal jenayah yang berlaku ini, kehadiran ribuan generasi baru anak muda bergelar Mat Rempit terus subur dan tidak pernah jemu melakukan aktiviti perempitannya. Pelbagai pihak bingung dan celaru untuk menyelesaikan masalah ini sehingga akhir-akhir ini pelbagai nama dan cadangan dibincangkan secara umum. Ada yang tidak bersetuju dengan istilah Mat Rempit tetapi mencadangkan ditukar kepada Katak Rempit, Dajal Rempit, John Rempit dan John Pit. Ada yang mencadangkan agar kesalahan Mat Rempit dibayar dengan penggantungan lesen memandu seumur hidup, hantar mereka ke PLKN dan sebat pesalah rempit. Namun, masalah rempit berterusan sehingga telah menjadi barah.


Paling utama, kita sedang berhadapan dengan krisis penghinaan terhadap agama Islam. Akhir-akhir ini dilihat seolah-olahnya Islam adalah agama yang menindas, mengongkong, melanggar hak asasi manusia, tidak adil, lemah dan menyusahkan. Tokoh-tokoh agama diperlekeh bukan sahaja diperlekeh oleh mereka yang bukan beragama Islam tetapi juga ianya datang daripada manusia yang mengakui bahawa mereka beriman dengan Allah S.W.T. Apabila timbul isu pertembungan di antara agama di Malaysia yang melibatkan agama Islam, sudah terbayang bagaimana isu ini akan menunjukkan ketidakadilan terhadap Islam.


Kenapa ini berlaku? Tidak lain ianya berpunca daripada sikap pemimpin UMNO yang kononnya memperjuangkan Islam tetapi merekalah yang menjadi juara dalam memperlekehkan Islam. Barangkali, ia amat bersesuaian dengan pendekatan Islam Hadari yang menjadi ‘pegangan baru’ pemimpin-pemimpin UMNO.


Tidak bersungguh-sungguhnya kerajaan Johor untuk menangani masalah agama Islam di Johor dibuktikan dengan ketidakseriusan mereka mengatasi masalah kekurangan pegawai penguat kuasa untuk menjalankan dan menguatkuasakan Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor 1997 di seluruh negeri. Apa yang mampu dilakukan sekiranya bilangan pegawai penguat kuasa JAJ ketika ini hanya 76 orang berbanding jumlah penduduk Islam di Johor iaitu seramai lebih 2.1 juta? Adakah ini menggambarkan bahawa UMNO/BN sangat serius untuk menangani masalah yang membelengu umat Islam di Johor.


Dalam masa yang sama, masjid dan surau semakin lama semakin tidak menjalankan fungsi sebagai pusat ibadah dan kemasyarakatan, hanya terkadang program-program tertentu sahaja yang dapat dilaksanakan sekadar mahu memperlihatkan kononnya masih terdapat aktiviti yang dilaksanakan. Masjid dan surau semakin sepi dan menyepi, agar sukar pada zaman kita ini untuk melihat masjid dan surau diimarahkan seperti zaman kita kecil-kecil dahulu.


Ini semua terjadi kerana pemilihan jawatankuasa masjid dan surau yang ada di semua 2,528 masjid dan surau di negeri Johor yang sedia ada pada hari ini ditentukan oleh kerajaan UMNO/BN atas alasan AJK masjid di Johor dipilih untuk melaksanakan Islam Hadari seperti mana yang diumumkan dalam sidang DUN Johor.


Saudara-saudara yang saya hormati sekelian,


Persoalannya, apakah kita masih sanggup membiarkan kehancuran terus melanda negeri kita disebabkan kerakusan tangan-tangan pemimpin UMNO/BN?. Sudah tentu kita mengatakan TIDAK tetapi apakah dengan hanya menggeleng-gelengkan kepala sahaja mampu membuat perubahan kepada kerajaan yang ada. Justeru, kitalah yang mesti melakukannya, bukannya mengharapkan kepada orang lain atau sekadar menadah tangan tanpa kita melakukan apa jua tindakan. Kita mesti terkehadapan untuk menangani masalah yang sedang melanda ummah ketika.


Adakah kita masih mampu lena dibuai mimpi sedangkan pada setiap malam anak-anak muda berterusan melakuan dosa dan maksiat. Adakah kita masih tertawa sedangkan anak-anak kecil seperti Nor Syafikah Borhan dan Nurulhuda Abd Ghani terus dirogol dan dibunuh? Adakah atas nama pejuang Islam kita masih boleh bersantaian sedangkan berbondong-bondong orang Islam murtad?.Kitalah yang perlu melakukannya. Kitalah yang harus menjadi benteng untuk menyelamatkan ummah dan benteng mempertahankan akidah. Pemuda-pemuda Islam bukan sekadar sanggup mengorbankan harta tetapi pemuda-pemuda PAS sanggup menggadaikan nyawa untuk perjuangan ini.Membina Keyakinan.


Para perwakilan sekelian,


Bertepatan dengan tema muktamar DPPNJ pada kali ini, pemuda perlu memfokuskan untuk membina keyakinan seterusnya menjana kemenangan. Membina keyakinan yang dimaksudkan di sini adalah keyakinan penyokong PAS, keyakinan pakatan BA dan keyakinan rakyat.


Sebelum kita bergerak lebih jauh dalam persada politik Johor khususnya bagi menghadapi pilihanraya yang akan datang, saya ingin menekankan kembali betapa kita perlu memulihkan kembali keyakinan penyokong PAS yang ada di seluruh Johor. Kita tidak dapat menafikan dengan tekanan yang telah dilakukan oleh UMNO/BN dan ‘gula-gula’ yang ditaburkan selama ini berjaya memudarkan hati dan keyakinan penyokong kita. Semakin lama semakin jauh, sekadar menyerahkan undi ketika hari pembuangan undi tetapi tidak tidak mampu bersama-sama seperti dulu membantu kita menggerakkan aktiviti yang dirancang.Begitu juga dengan peranan kita membina keyakinan terhadap pakatan BA di Johor ini. Tahun lalu, saya telah menyatakan di dalam ucaptema muktamar ini bahawa dasar perjuangan PAS dan PKR adalah berbeza tetapi matlamatnya sama. Namun, hambatan-hambatan inilah yang mesti dihapuskan demi mencapai kesepaduan yang lebih kolektif.


Himpunan Pemuda BA Johor yang telah diadakan di lokasi yang sama di sini pada 22 April 2007 yang lalu meperkukuhkan lagi hubungan pakatan Pemuda BA Johor. Hasrat untuk melebarluaskan lagi pakatan ini di peringkat Parlimen perlu digerakkan untuk memperkukuhkan kerjasama ini.Walaupun sepanjang tempoh setahun yang lalu, kita hanya mampu untuk mengadakan beberapa program sahaja secara bersama namun ia setidak-tidaknya telah berjaya mempereratkan kerjasama ini. Saya sangat berharap agar ‘roadshow’ Pemuda BA Johor akan digerakkan untuk menjelajah ke seluruh pelusuk negeri selepas daripada muktamar DPPNJ ini.


Para perwakilan sekelian,


Saya mengucapkan tahniah kepada seluruh jentera pemuda di semua peringkat atas komitmen membantu mangsa banjir ketika Johor dilanda banjir besar sebanyak dua kali. Sama ada kita berada dalam masyarakat atas nama PAS ataupun Unit Amal, kesungguhan pemuda-pemuda khususnya telah berjaya merubah persepsi rakyat Johor terhadap PAS. Pendekatan kebajikan inilah juga menjadi gerakerja utama yang dilakukan gerakan Islam di negara lain untuk memenangi hati rakyat seperti Parti Keadilan Sejahtera (PKS) di Indonesia.


Terlalu banyak peristiwa manis dan pahit kita rasai bersama sepanjang operasi banjir tersebut yang tak mampu saya nyatakan pada malam ini namun apa yang penting untuk kita adalah sejauh manakah kerja kebajikan ini berjaya dilahirkan sebagai tanda sokongan rakyat kepada kita.


Cuba renungkan sejenak, sepanjang kita menghulurkan bantuan kepada rakyat atas nama bantuan banjir, berapa ramaikah di kalangan mereka adalah daripada kaum bukan melayu berbanding dengan kaum melayu? Bukankah mereka juga adalah pengundi dan kehadiran mereka juga adalah penentu kepada kejayaan kita? Saya tidak mempersoalkan kerja buat kita terhadap mangsa di kalangan orang melayu tetapi kita sering berada dalam kepompong dan sasaran yang sama.Sebenarnya, masyarakat bukan melayu di luar sana bukan tidak mahu memberikan sokongan kepada kita tetapi kita yang masih jauh daripada mereka. Kita masih lemah dalam perkara ini, kita perlu memperakui kelemahan kita ini. Kita masih sukar untuk bersama mereka dalam waktu-waktu terluang. Agak keberatan untuk kita mempelajari ucapan dalam bahasa mereka, justeru bagaimana untuk benar-benar menjiwai mereka?.


Menjana Kemenangan


Teman-teman seperjuangan sekelian.


Gendang pilihanraya telahpun dipalu. Bermakna, tumpuan kerja kita perlu dijuruskan kepada gerakerja pilihanraya. Segala persiapan mesti digerakkan dengan segera di semua peringkat. Muktamar ini menggariskan 5 perkara utama yang perlu diberikan perhatian yang sewajarnya oleh DPPK agar gerakerja kita akan lebih terarah.


a. Gerakerja Pilihanraya


Pertamanya, dalam proses untuk menjana kemenangan ini, DPPNJ akan memberikan tumpuan kepada gerakerja pilihanraya. Tumpuan kita adalah kepada pengundi muda sama ada pengundi muda melayu ataupun bukan melayu. Bukan hanya untuk menyeru mereka supaya dengan PAS/BA tetapi juga kita perlu pastikan bahawa anak-anak muda telah pun mendaftarkan diri mereka sebagai pengundi.


Amat malang bagi kita apabila SPR telahpun mengumumkan bahawa terdapat 400 ribu rakyat Johor yang layak mengundi masih belum mendaftarkan diri mereka sebagai pemilih tetapi kita hanya berdiam diri sahaja. Perkara ini perlu diberi perhatian dengan serius. Mereka ini mungkin terdiri daripada keluarga kita, jiran tetangga kita, rakan kita dan mungkin juga anak-anak ahli PAS yang tidak peka untuk menunaikan tanggungjawab mereka.


b. Pemerkasaan Tarbiyah.


Keduanya, Seperti yang telah dinyatakan tadi bahawa kita perlu memperkukuhkan tarbiyah dalam diri kita. Sejarah perjuangan Islam terbukti bahawa kemenangan dan kegemilangan Islam di sepanjang zaman telah diwarnai oleh perjuangan dan pengorbanan yang cukup hebat sehingga mengorbankan harta, tenaga, darah dan nyawa demi perjuangan.Lajnah Tarbiyah dan Kepimpinan perlu diperkasakan semula.


Sahabat-sahabat pemuda sekelian.


Sebenarnya, terlalu tinggi pengharapan kita terhadap ulama’-ulama’ muda yang pulang daripada pengajian di timur tengah untuk melaksanakan peranan mereka dalam menggerakkan pentarbiyahan terhadap anak-anak muda yang ketandusan ilmu. Namun, saya masih lagi belum dapat menarik nafas kelegaan kerana harapan yang diletakkan kepada ulama’-ulama’ muda ini masih berkisar di sekitar kelompok yang sama sahaja.Apakah kekangan yang mereka hadapi? Apakah hambatan-hambatan seperti pekerjaan, perniagaan, kehidupan ataupun tekanan keluarga menyebabkan ramai dikalangan golongan ini hilang dalam kesamaran takkala kaki mula memijak bumi Malaysia?.


Pesanan saya kepada ulama’ muda yang masih bersedia untuk menyerahkan diri kepada perjuangan ini melalui sepotong ayat Allah,


Wahai orang-orang Yang beriman! mengapa kamu, apabila dikatakan kepada kamu: "Pergilah beramai-ramai untuk berperang pada jalan Allah", kamu merasa keberatan (dan suka tinggal menikmati kesenangan) di tempat (masing-masing)? Adakah kamu lebih suka Dengan kehidupan dunia daripada akhirat? (Kesukaan kamu itu salah) kerana kesenangan hidup di dunia ini hanya sedikit jua berbanding Dengan (kesenangan hidup) di akhirat kelak.

(Al Maidah - 38)


Sampaikanlah salam perjuangan kepada sahabat-sahabat ulama’ muda yang masih teragak-agak untuk mengorbankan diri mereka untuk perjuangan Islam ini. Kata seorang sahabat, perjuangan adalah perlaksanaan kata-kata.


c. Pemerkasaan Organisasi.


Perkara ketiga yang perlu diberikan penekanan adalah terhadap pemerkasaan organisasi. Kita dengan penuh sedar mengakui bahawa pengurusan DPP Johor amat jauh daripada negeri yang lebih ‘advance’ seperti DPP Kelantan dan DPP Kedah jika dibandingkan daripada sudut pentadbiran dan organisasi yang sangat tersusun namun ia bukanlah alasan untuk tidak menyahut seruan dan arahan daripada DPP Pusat agar meningkatkan pentadbiran dan organisasi pemuda di semua peringkat.


Penambahan ahli pemuda perlu dipertingkat, Jawatankuasa Pemuda Cawangan (JPC) perlu diperteguhkan, Unit Kerja Jamaah (UKJ) perlu diperkasakan semula diperingkat cawangan-cawangan, sistem pemfailan dan senarai keahlian perlu dikemaskini dan peralatan pejabat perlu dilengkapkan.


Saya mengharapkan agar DPPNJ dapat bergerak ke arah melaksanakan Total Quality Management (Pengurusan Kualiti Menyeluruh) dalam sistem pentadbiran yang menitikberatkan terhadap sistem Fail yang sistematik, sistem komunikasi yang cekap, persekitaran pejabat yang sempurna dan kecekapan pengurusan. Kursus pengurusan mesti dilaksanakan dalam tempoh terdekat bagi mendedahkan kepada Setiausaha-setiausaha di peringkat DPP kawasan kepada perlaksanaan TQM ini.


Bagi meransang DPP kawasan untuk terus istiqamah membina kekuatan sebenar ini, maka tahun ini DPPNJ telah bersetuju untuk menghidupkan kembali Anugerah Pengurusan DPPK Terbaik.d. Penerangan.DPPNJ meletakkan perkara ke empat yang perlu diberi perhatian adalah penerangan. Tugas memberikan penerangan perlu dilihat sebagai tugas yang amat penting kita lakukan bertepatan dengan firman Allah,


Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak Yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat Segala perkara Yang baik, serta melarang daripada Segala Yang salah (buruk dan keji). dan mereka Yang bersifat demikian ialah orang-orang Yang berjaya.

(Ali Imran : 104)


Jentera penerangan DPPNJ agak kurang mendapat sambutan sejak kebelakangan ini sedangkan kepincangan kerajaan UMNO/BN terlalu banyak berlaku. Rakyat kurang mendapat maklumat daripada PAS kerana pelbagai batasan yang menyekat kebebasan kita. Sikap terlalu mengharapkan ‘penceramah import’ sering menghalang kita untuk mengadakan ceramah sedangkan ramai dikalangan pemimpin pemuda di Johor yang berkemampuan untuk menyampaikan ceramah dengan baik.


Sasaran ceramah dan lokasi ceramah juga perlu dikenal pasti. Kita perlu elakkan ceramah diadakan ditempat yang sama seperti markas PAS kerana akhirnya pendengar ceramah adalah peminat setia yang sama. Beberapa PAS diperingkat kawasan seperti di Muar telah pun memulakan aktiviti penerangan ini di kampung-kampung dan lokasi yang berlainan.


Saya mencadangkan pada sesi yang akan datang penerangan akan menjadikan agenda terpenting dan perlu diaktifkan semaksimum mungkin. Kita perlu pastikan bahawa pengundi-pengundi di seluruh ceruk kampung akan dapat menerima maklumat daripada kita.e. Pendekatan kepada anak muda.DPPNJ meletakkan perkara ke lima dalam usaha menjana kemenangan adalah pendekatan terhadap anak muda. Sahabatku sekelian, jika kita lihat kecenderongan anak-anak muda ketika ini, minat terhadap perkembangan politik agak meruncing. Kebanyakkannya terarah kepada hiburan, sukan dan rekreasi. Lihatlah bagaimana masjid dan surau bukan lagi menjadi pusat aktiviti golongan anak muda Islam.


Secara jujurnya, tanyalah diri kita apakah aktiviti harian kita telah betul-betul dapat dirasai oleh masyarakat setempat khususnya dikalangan anak-anak muda. Atau, kita hanya berlonggok semasa kita sedangkan kita biarkan sahaja anak-anak muda ini terus hidup dalam kegelapan dan fikiran mereka diracuni dengan propaganda UMNO/BN.Saya ingin menegaskan bahawa setiap DPPK perlu mewujudkan pusat komuniti dan pusat aktiviti untuk digunakan bersama golongan pemuda di kawasan kita. Setiap DPPK mesti menyediakan satu aktiviti khas kepada anak muda dalam tempoh terdekat. Terpulanglah kepada DPPK untuk memilih apa jua bentuk aktiviti sama ada sukan seperti badminton, futsal, bolasepak, hoki, sepaktakraw, bola baling, bowling, sukan bermotor, sukan air atau yang seumpamanya. Apa yang penting pendekatan kepada anak muda mesti djelmakan dalam bentuk aktiviti yang saya nyatakan ini.


Lihatlah pendekatan DPP Kelantan yang berjaya menghimpunkan pemuda-pemuda Mat Rempit ataupun dikenali di sana sebagai Sahabat Motor. Apakah kita di Johor tak berupaya melakukan apa yang dilakukan oleh DPP Kelantan?


Sudah tentu kita mampu tetapi terpulanglah kepada kita.Bila berbicara tentang pendekatan terhadap anak-anak muda ini, saya terkenang bagaimana dalam satu perlawanan bolasepak sempena 50 tahun Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP) di Sungai Pau, Sik Kedah yang menemukan DPPN Johor dan DPPN Kedah yang dibarisi oleh bintang-bintang bolasepak negara seperti Radhi Mat Din, Nizam Adha Yusof, Feriza Ismail, Farouk Ismail dan ramai lagi. Saya cukup mengimpikan bahawa satu hari nanti perkembangan seperti ini akan berlaku di Johor namun kita masih jauh lagi untuk mencapai hasrat ini.


Apa yang lebih utama sekarang ini adalah tugas kita untuk mendekati golongan muda. Untuk itu, DPPNJ akan melancarkan Pusat Komuniti Muda PAS Johor dalam tempoh terdekat sebagai langkah awal dalam merealisasikan hasrat ini.PENUTUP BICARASidang muktamirin sekalian,Pada kesempatan ini, saya ingin merakamkan ucapan jutaan terima kasih kepada semua EXCO DPPNJ dan AJK DPPK kerana telah memberikan kerjasama yang sebaiknya sepanjang saya diamanahkan sementara sebagai Ketua DPPNJ.


Saya juga ingin mengucapkan jutaan terima kasih dan selamat ‘bersara’ kepada Ketua-Ketua DPPK yang telah menamatkan tempoh kepemudaan mereka seperti Sdr Samsudin Jaafar (DPP Pontian) Sdr Mohd Hatta (DPP Tebrau), Sdr Musa Abd Wahab (DPP Gelang Patah) Sdr Mohd Jahid Bin Zaini (DPP Air Hitam) Sdr Nor Mohamad (DPP Kota Tinggi), Sdr Ghazley Bin Ayub (DPP Tanjung Piai) dan Sdr Mohd Shabri Bin Mubin (DPP Ledang) di atas amanah yang telah berjaya mereka pikul selama ini dan pemergian mereka daripada organisasi DPPNJ sangat dirasai. Saya mengharapkan agar ‘pemergian’ mereka daripada pemuda bukan menjadi penyentap semangat kepemudaan.


Biar usia kita meningkat tetapi jiwa tetap selamanya muda.Akhir kata, saya bagi pihak seluruh ahli Dewan Pemuda PAS Negeri Johor sekali lagi mengucapkan jutaan terima kasih kepada YBhg Tuan Haji Mahfuz Bin Omar yang sudi merasmikan muktamar kita pada malam ini, dan terima kasih juga kepada semua tetamu kita yang memberikan komitmen menjayakan majlis ini.


Marilah sama-sama kita memasang tekad dan azam untuk terus bangkit membina keyakinan dan seterusnya menjana kemenangan. Berazamlah dengan sepenuh keyakinan untuk kita membina kekuatan sebenar yang mampu membentuk jati diri pemuda Islam yang beriman dengan perancangan yang tersusun rapi.


Semoga Allah SWT berkenan memberikan kekuatan dan kesabaran kepada kita dalam memacu perjuangan ini.


Sekian, wassalam.


Allahu Akbar! Allahu Akbar! Allahu Akbar!

;;