Ucaptema Ketua DPPNJ 2009 - Pemuda Penggerak Perjuangan
0 comments Posted by Khairul Faizi bin Ahmad Kamil at 3:02 AMMuqaddimah
Yang Berbahagia Pengerusi Majlis,
Yang Berhormat Tuan Haji Salahuddin Bin Ayub, Ketua Dewan Pemda PAS Pusat selaku Perasmi Muktamar,
Ybrs Datuk Dr Mahfodz Bin Mohamed, Pesuruhjaya PAS Negeri Johor merangkap Ahli Majlis Syura PAS Pusat,
Ybrs Timbalan-timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Johor,
Ybsr Ketua Dewan Ulama’ PAS Negeri Johor serta jawatankuasanya,
Ybrs Ketua Dewan Muslimat Negeri Johor serta jawatankuasanya,
Yang Dikasihi Timbalan dan Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Johor,
Ybrs Setiausaha Dewan Pemuda PAS Negeri Johor merangkap Pengarah Panitia Muktamar kali ke 36 ini,
Ybrs Ahli Jawatankuasa Dewan Pemuda PAS Negeri Johor,
Para perwakilan dan tetamu yang saya hormati sekelian.
Firman Allah,
“Pergilah kamu beramai-ramai (untuk berperang pada jalan Allah), sama ada Dengan keadaan ringan (dan mudah bergerak) ataupun Dengan keadaan berat (disebabkan berbagai-bagai tanggungjawab); dan berjihadlah Dengan harta benda dan jiwa kamu pada jalan Allah (untuk membela Islam). Yang demikian amatlah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui.”
At-Taubah :41
Pertamanya, saya melahirkan rasa kesyukuran yang tinggi ke hadrat Allah S.W.T kerana dengan keizinannya kita dapat bertemu di dalam perasmian muktamar DPPNJ kali yang ke 37 pada malam ini. Muktamar kali ini agak unik kerana ia diadakan selepas melalui beberapa PRK di Permatang Pauh (Permatang Pauh), Kuala Terengganu (Trengganu), Bukit Selambau (Kedah) , Bukit Gantang (Perak) dan Batang Air (Sarawak).
Kini kita berhadapan dengan kerasukan UMNO/BN yang mahu mempertahankan sisa kuasa yang masih ada. Mereka cuba sedaya upaya agar kuasa itu tidak terlepas dari gengaman mereka. Perampasan kuasa ke atas Negeri Perak membuktikan dakwaan ini. Walaupun rakyat secara terang-terang membenci pimpinan UMNO/BN namun apa mereka peduli itu semua. Ibarat kerbau yang disembelih menghampiri mautnya, segala kudrat yang masih ada dihamburkan ke serata tempat. Amukannya tiada perkiraan dan perhitungan.
Peralihan kuasa akhirnya telah termeterai pada 3 April 2009 apabila Tun Abdullah Ahmad Badawi telah menyerahkan kuasa sebagai Presiden UMNO dan Perdana Menteri Malaysia kepada Datuk Seri Najib Tun Abd Razak dengan agenda “One Malaysia”. Kehadiran semula Tun Dr Mahahir ke pangkuan UMNO sudah tentu akan merubah lanskap politik Malaysia yang memerlukan kebijaksanaan kita merencana dan seterusnya mengerakkan parti dan pakatan agar terus ralevan di persada politik Malaysia.
Adalah satu kesilapan besar, jika kita beranggapan amuk sedemikian merupakan menifestasi kekuatan. Ini adalah menifestasi kehilangan rasionaliti kepimpinan yang sarat dengan emosi dan kehilangan kuasa. Hilang imbangan kuasa yang sebenarnya mudah untuk rebah dalam kegoyahan.
Ia kadang kala seperti telah mengekang gerakan dakwah kita. Kekangan ini tidak setakat menyekat pergerakan jemaah tetapi memungkinkan fenomena ahli yang kehilangan stamina dan mod perjuangan sehingga meminggirkan diri atau tersingkir dari arus gerakan. Samada mereka akan menjadi golongan ‘silent politic’ ataupun ‘silent majority’.1
Ini merupakan satu peringkat saringan dalam memastikan kelompok yang masih terus kukuh pada jalan perjuangan memiliki kualiti perjuangan yang mantap dan teruji. Firman Allah yang berbunyi :
Maksudnya : Dan sesungguhnya kami benar-benar akan menguji kamu agar kami mengetahui orang-orang yang berjihad dan bersabar di antara kamu dan agar kami menyatakan (baik-buruknya) keadaan kamu
Muhammad : 31
Peristiwa Hijratur Rasul S.A.W adalah satu proses penyaringan dan peningkatan martabat perjuangan baginda Nabi Muhammad S.A.W. Hasil daripada pengorbanan meninggalkan kampung halaman, harta kekayaan, kedudukan dan keluarga semata-mata memenuhi perintah Allah S.W.T. Akhirya Allah S.W.T mengurniakan negeri yang subur dengan dakwah iaitu Madinah Al-Munawwarah. Di sini Islam tidak lagi dalam ruang lingkup peribadi ataupun sekelompok kecil dalam masyarakat tetapi telah menjadi sebuah kerajaan yang berkuasa & berdaulat. Memiliki kekuatan dalam menentukan dasar dan perlaksanaan pemerintahan. Nabi bukannya pemimpin puak sebagaimana yang difikirkan oleh para orientalis dan anak-anak muridnya dalam menilai kepimpinan Nabi Muhammad S.A.W. Nabi adalah pemimpin ummah. Persetujuan kaum Yahudi untuk mengikat pada Piagam Madinah mencerminkan keupayaan kepimpinan Islam yang melangkau perbezaan agama dan budaya.
Kepimpinan seperti baginda telah berjaya kita buktikan ketika pemerintahan di Perak. Meskipun ianya hanya mengambil tempoh selama sebelas bulan tetapi menurut Pengerusi DAP Perak, , Dato’ Ngeh Koo Ham –
“Nizar sudah lepasi Isu agama, bangsa dan parti.”
Ini bermakna , kita telah berjaya mengubah persepsi masyarakat berbilang kaum terhadap PAS dan agama Islam.
TERUSKAN JIHAD & PERJUANGAN
Kesungguhan berjihad dengan sabar merupakan elemen utama dalam teras perjuangan yang senantiasa berhadapan sebarang tribulasi. Apapun tekanan dan rintangan dalam perjuangan tidak dijadikan alasan untuk menangguhkan apatah lagi undur dalam berjuang. Sebaliknya, tekanan dan rintangan inilah yang meningkatkan martabat dan marhalah perjuangan.
Kita diperingatkan oleh Allah S.W.T dalam firmanNya yang berbunyi :
Maksudnya : “ dan diantara manusia ada yang berkata ‘kami beriman kepada Allah; maka apabila disakiti(kerana dia beriman) kepada Allah, ia mengaggap fitnah manusia itu sebagai azab Allah. Dan jika datang pertolongan dari Tuhanmu , mereka pasti akan berkata; Sesungguhnya kami adalah besertamu’. Bukankah Allah lebih mengetahui apa yang ada dalam dada mereka? Dan Sesungguhnya Allah benar-benar mengetahui orang-orang yang beriman, dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang munafik –
Al-Ankabut 10-11
Ayat ini jelas membayangkan kewujudan golongan yang opportunis dari sebarang keadaan yang dialami jamaah. Mereka ini meminggirkan diri semasa susah sebaliknya menonjol ketika senang. Membiarkan sebahagian kita menjadi korban perjuangan tanpa sebarang pembelaan yang sewajarnya malah menzalimi saudara sejamaah. Apatah lagi bertindak menikam dari belakang ataupun membiarkan jamaah tertekan meraduk dalam kegelapan undang-undang draconian.
Kita seharusnya mengambil iktibar dari kisah sahabat Nabi Muhammad S.A.W, Ka’ab Bin Malik yang tercicir dari menyertai Peperangan Tabuk2. Ka’ab tidak menyertai Perang Tabuk di dalam keadaan dirinya sihat dan mempunyai kemampuan. Sebaliknya Ka’ab terlewat menyahut seruan Nabi Muhammad agar umat Islam mempersiapkan diri terlebih awal dalam berhadapan dengan musuh. Ini kerana, mereka akan berhadapan musuh yang besar dan memiliki kelengkapan yang baik, perjalanan yang jauh dan keadaan cuaca yang sangat panas.
Pilihanraya Umum akan datang yang tidak tahu tarikhnya yang tepat, sepatutnya kita telah memulakan kerja daripada sekarang. Pengumpulan sumber kekuatan kita seharusnya telah berjalan licin. Ini adalah arahan yang tidak memerlukan sebarang alasan untuk kita melewatkan persiapan. Pilihanraya adalah medan peperangan dalam sistem demokrasi. Kita semua memahami musuh di hadapan kita bukan sekadar batang tubuh UMNO/BN tetapi mekanisme kerajaan telah turut diekploitasi bagi berhadapan dengan kebangkitan rakyat.
Jika gertakan polis yang menjadi igauan kita, usah lagi bicara soal perjuangan. Ini bukan risiko tetapi tabi’i perjuangan. Ini semua tidak boleh dijadkan halangan untuk kita balik ke kelambu masing. Kita mesti terus berjuang walaupun dalam kedudukan & keadaan yang berbeza. Kita tidak sesekali membenarkan diri kita bersara atau ‘letak senjata’ dari berjuang. Ini bukan sekadar soal maruah tetapi jauh lebih daripada itu, ia adalah persoalan amanah dan masa hadapan perjuangan.
Bila kita memerhatikan mana-mana regim yang bakal jatuh di dunia akan memperlihatkan bahawa diktator akan melakukan apa cara sekalipun bagi memastikan kuasa terus berada di dalam genggamannya. Fenomena politik yang sedemikian rupa, seharusnya menjadi kekuatan kita kerana kemenangan semakin hampir! . Allah S.W.T tidak akan memberikan kemenangan Islam dengan jalan yang mudah tanpa perjuangan dan jihad sehingga melepasi garis kualiti yang telah ditetapkan oleh Allah. Konsep Istiqamah janganlah disempitkan pengertiannya sebagai terus tetap menjadi ahli PAS dari awal pendaftaran hingga ke akhir usianya tanpa memberikan sebarang sumbangan bermakna dalam perjuangan ini.
SEJARAH PERJUANGAN PEMUDA
Maksudnya (Setelah melihat kejadian itu) mereka bertanya: "Siapakah yang melakukan perbuatan yang demikian terhadap tuhan-tuhan kami? Sesungguhnya adalah ia dari orang-orang yang zalim". (Setengah dari) mereka berkata: "Kami ada mendengar seorang anak muda bernama Ibrahim, mencacinya". (Ketua-ketua) mereka berkata: "Jika demikian, bawalah dia di hadapan orang ramai supaya mereka menyaksikan (tindakan mengenainya). (Setelah ia dibawa ke situ) mereka bertanya: "Engkaukah yang melakukan demikian kepada tuhan-tuhan kami, hai Ibrahim?"
Ia menjawab: "(Tidak) bahkan yang melakukannya ialah (berhala) yang besar di antara mereka ini! Maka bertanyalah kamu kepada mereka kalau-kalau mereka dapat berkata-kata". Maka mereka (penyembah berhala) kembali kepada diri mereka (memikirkan hal itu) lalu berkata (sesama sendiri): "Sesungguhnya kamulah sendiri orang-orang yang zalim". Kemudian mereka terbalik fikirannya kepada kesesatan, lalu berkata: "Sesungguhnya engkau (hai Ibrahim), telah sedia mengetahui bahawa berhala-berhala itu tidak dapat berkata-kata (maka betapa engkau menyuruh kami bertanya kepadanya)? "Nabi Ibrahim berkata : Jika demikian, patutkah kamu menyembah yang lain dari Allah? Sedangkan perkara yang kamu sembah itu, tidak boleh mendatangkan sebarang faedah mahu pun mudharat pada kamu?”
Al-Anbiya’ : 59 - 66
Ayat di atas mengisahkan kepada kita ‘Debat Perdana’ antara Nabi Allah Ibrahim sebagai anak muda berdepan dengan pemimpin angkuh di zamannya. Berani melangkah tanpa mempedulikan risiko yang bakal dihadapi, berani mencaci dan mengkritik! Semuanya adalah berpunca jiwa pemuda yang bersinar dengan cahaya jihad. Debat perdana ini berkisar mengenai Aqidah. Namun demikian, debat yang berkisar mengenai aqidah tidak pernah dibangkitkan oleh Pemuda sama ada di peringkat Pusat mahu pun negeri. Sedangkan ianya adalah isu utama yang dibangkitkan oleh para anbiya’ dan ulama zaman dahulu kala. Isu yang tidak pernah selesai sehingga hari ini. Sewajarnya isu ini menjadi topik yang penting kepada pemuda bagi mengorak langkah membuka gelanggang dakwah kepada UMNO/BN.
UMNO telah berjaya menutup isu persoalan aqidah yang menjadi permusuhan utama antara PAS dan UMNO dengan mengajak kita agar berdebat dengan isu-isu ranting dan cabang yang hanya panas dalam tempoh tertentu. Sedangkan isu aqidah adalah isu yang terus relevan sehingga hari kiamat. Kalau tidak, kenapa perlu Allah merekodkan kisah “Debat Perdana’ Nabi Ibrahim dalam kitab akhir zaman iaitu Al-Quran?
Kisah masyhur mengenai Pemuda Ashabul kahfi juga merujuk isu yang sama iaitu mempertahankan aqidah. Kisah ‘Pemuda Ghulam Ashabul Ukhdud’ juga berkenaan persoalan aqidah. Amat malang bagi pemuda PAS sekiranya apabila disebut mengenai kisah-kisah ini, kita terpinga-pinga, tidak tahu sehingga tertanya-tanya tentang kisah tersebut malah lebih malang lagi tidak ada hasrat langsung untuk bertanyakan kisah tersebut.
PAS/PAKATAN RAKYAT MEMERINTAH JOHOR
Badan Perhubungan PAS Negeri Johor melalui konvensyen PAS Johor telah membuat satu resolusi yang cukup penting dalam sejarah perjuangan 55 tahun PAS di Johor iaitu kita akan memenangi majoriti kerusi DUN di Johor dalam pilihanraya umum ke 13 nanti bersama Pakatan Rakyat dan seterusnya menubuhkan kerajaan yang baru. Ini bukan angan-angan Mat Jenin yang cuba ditaburkan ke deria kita agar tetapi ia perlu disambut dengan tindakan. BBPPNJ telah meletakkan harapan yang tinggi kepada DPPNJ di dalam merealisasikan matlamat ini. PAS Johor letakkan harapan kepada DPPNJ untuk mendekati anak muda dengan mempunyai jentera, perlaksanaan program dan perlaksanaan visi.
Bagaimananakah pendekatan yang terbaik kepada pemuda ini untuk kita menerangkan kepada mereka tentang Islam yang sebenarnya. Mahu atau tidak elemen aqidah seperti ini mesti diberikan penekanan terhadap golongan muda. Apa yang perlu kita fikirkan ialah pendekatan yang terbaik bagi kita bersama-sama dengan mereka. Kita jangan hanya sekadar bermain motor tetapi gagal untuk memberikan tarbiyyah yang sewajarnya kepada golongan muda yang kosong jiwanya ini. Jangan hanya suka main pancing tetapi tiada pengisian dakwah terhadap golongan ini.
Kita yakin Islam adalah agama fitrah, jika disampaikan dengan pendekatan yang terbaik ia akan mudah untuk diterima. Jika kita masih gagal, ini bukan bererti ianya perlu dihentikan, bahkan perlu diteruskan. Ini bermakna ulama muda perlu belajar dengan konsep ‘try & error’ Lama-kelamaan, kita akan menjadi matang dalam menghadapi situasi yang semakin mencabar. Pendekatan dakwah kepada golongan ini mestilah dinaiktarafkan mengikut zaman milenium dan bukan zaman 60-an.. Di sini pentingnya golongan ulama muda yang boleh merasai jiwa anak muda yang terkini membuat persiapan yang terbaik untuk mengajak mereka kepada Islam. Pertumbuhan teknologi-teknologi terkini mestilah dimanfaatkan sepenuhnya kepada golongan ini, agar mereka berminat dengan gerakan kita.
Golongan-golongan ini mestilah difahami selera mereka, fokus kepada minat mereka, apa yang mereka mahukan, seterusnya kita mesti memanipulasi untuk kepentingan Islam. Semua jentera di bawah Pemuda di semua peringkat mestilah bersedia untuk membuat program yang berlainan setiap masa. Yakinlah! Jiwa anak muda kosong! Jika kita berjaya memberikan sesuatu program dan aktiviti yang bersesuaian kepada mereka, dengan mudah mereka mengikut kita.
USLUD DAKWAH BERBEZA SEIRING DENGAN PERBEZAAN ZAMAN
Tidak pernah terlintas di fikiran kita selama ini bahawa perubahan zaman akan membawa satu gelombang yang begitu berkuasa. Tempias gelombang digital ini dapat dirasai kesannya pada gaya kita bermasyarakat mahupun bersosial. Evolusi teknologi mudah alih melalui sistem pesanan ringkas (SMS) adalah satu bentuk media digital baru. Ia dilihat sebagai mempunyai kuasa capaian yang ampuh dalam sistem sosial dan politik.3 Hal ini telah sedikit sebanyak dapat dilihat kesannya pada Pilihan Raya Umum ke 12 (PRU-12) yang lalu. Kehangatan teknologi SMS sebagai salah satu alat dalam kempen pilihanraya telah berjaya mempengaruhi pemikiran dan undi rakyat. Trenda semasa juga menunjukkan kecenderungan rakyat yang sudah serasi dengan media mudah alih ini. Namun kuasanya menjadi lebih terserlah selepas keputusan PRU-12 diumumkan.
Kita tidak mendapat layanan sama rata di media arus perdana seperti televisyen dan akhbar nasional. Namun kita tidak mudah melatah. Sebagai jalan alternatif, teknologi SMS dipilih untuk menagih sokongan rakyat. Ia merupakan alternatif yang dilihat lebih ampuh pengaruhnya daripada segi kadar capaian. Perkara ini diakui sendiri oleh Dr. Sapora Sipon dari Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) yang berpendapat bahawa media seumpama ini telah dimanfaatkan sepenuhnya oleh kita.
5 tahun dahulu kempen kita masih menggunakan cara tradisional seperti ceramah-ceramah, kuliah-kuliah,. kunjungan calon dari rumah ke rumah. Perang saraf juga diadakan melalui sepanduk, poster dan bendera. Namun peralihan zaman sudah jauh berubah.
Kempen menggunakan SMS ini telah dipermudahkan lagi dengan kadar penetrasi penggunaan telefon bimbit dalam kalangan rakyat Malaysia. 4. Ini tambah menarik bila di sebalik kepelbagaian teknologi telekomunikasi yang boleh digunakan menerusi telefon bimbit, rata-rata rakyat negara ini lebih memilih untuk menggunakan sistem SMS. Statistik dari pembekal perkhidmatan telekomunikasi menunjukkan lebih 200 juta SMS dihantar sepanjang tempoh berkempen pada musim pilihanraya tersebut. Trend berkempen melalui SMS sudah terlebih dahulu dipraktikkan di pilihanraya di universiti-universiti tempatan.
Mungkin 5 tahun daripada sekarang variasi SMS yang mungkin juga lebih mantap dan melekat di hati bakal pengundi adalah dalam bentuk khidmat mesej multimedia (MMS). Gambar atau video kempen boleh dihantar untuk memancing undi. Teknologi yang sangat efektif ini perlu dimanfaatkan segera justeru satu kursus khas bagaimana menghantar SMS secara pukal dan murah di peringkat kawasan mesti dilakukan segera bagi mendepani kempen zaman melinium ini. Lajnah IT perlu pro-aktif untuk menangani perkara ini dengan sebaiknya.
SASARAN KITA ADALAH GOLONGAN MUDA
Anak muda seringkali dikaitkan dengan kegilaan berhibur, berpesta, ber’telefon bimbit’ dan pelbagai aktiviti anak muda yang kadang-kadang tidak masuk dek akal kita ini. Golongan muda ini mudah terpengaruh dengan dunia teknologi yang semakin baru yang banyak mencorak & mewarnai kehidupan mereka. Kuasa teknologi zaman kini telah berjaya memindahkan segala-galanya daripada komputer ke telefon bimbit mereka.
Saya yakin dan percaya golongan ini memiliki forum-forum maya mereka sendiri, sebelum segala-galanya mereka pindahkan ke telefon bimbit mereka. Forum-forum yang mereka bina secara maya ini memilki rangking yang tertinggi di Malaysia. Oleh yang demikian, kita bukan sahaja memerlukan blogger yang ramai, bahkan kita juga memerlukan tenaga forumer yang ramai bagi mengajak anak-anak muda ini berfikir secara positif mengenai perkembangan politik negara serta menyelamatkan mereka daripada terus hanyut tenggelam dalam arus maksiat yang tiada kesudahan.
Agak sukar untuk kita mengajak mereka mendengar ceramah-ceramah serta kuliah-kuliah kita, namun kita boleh mengajak mereka kepada Islam dengan menyertai forum-forum yang menjadi tumpuan mereka dengan berlatarbelakangkan multimedia, sama ada gambar keinsafan, gambar yang menakutkan, serta gambar-gambar yang boleh membawa mereka sedar akan tanggungjawab mereka sebagai seorang muslim seterusnya mengajak mereka ke arah islam yang sebenar. Video yang membina dan berlatarbelakangkan pembinaan jiwa seperti hormat kepada ibu bapa, hormat pada orang tua, yang diselangi dengan muzik yang shahdu mesti diperbanyakkan di youtube.com atau pun di ruang forum-forum mereka. Inilah yang menjadi kegilaan remaja-remaja masa kini. Maka adalah tidak pelik jika laman youtube ini tersenarai dalam rangking yang ketiga daripada jutaan laman web di dunia! Ini menunjukkan teks serta bacaan tidak menjadi minat kepada remaja kita, sebaliknya mereka lebih berminat kepada benda yang bergerak, live, segar , tidak statik serta kaku dan beku. Inilah hakikat yang mesti kita terima.
Membuat kajian serta mengenal pasti laman web, blog serta forum tumpuan mereka perlu dijadikan agenda kita bermula daripada sekarang. Sekali lagi saya meminta kepada Lajnah IT agar dapat memberikan kursus kepada pemuda-pemuda kawasan agar mahir dalam bidang IT . Kursus berforum, kursus membuat grafik, kursus membuat video mesti dipertingkatkan sejajar dengan perkembangan IT di peringkat remaja masa kini.
PEMUDA BERGERAK KEHADAPAN
Tahun 2008 baru sahaja melabuhkan tirainya. Walaupun dalam tempoh yang singkat, namun pemuda Johor telah berjaya bergerak ke hadapan sejajar dengan Ucaptema Dewan Pemuda Pas Johor yang lalu. Waktu berlalu terlalu pantas, walaupun pelbagai agenda masih belum mencapai objektifnya. Ini menunjukkan bahawa
“Tanggungjawab yang perlu ditunaikan lebih banyak daripada waktu yang memberikan ruang kepada kita”
Tahniah kepada Sekretariat DPPNJ kerana berjaya meningkatkan prestasi kerja dengan baik. Respon penambahan keahlian UKJ nampaknya semakin memberangsangkan. Seharusnya peningkatan ini tidak terhenti dengan hanya menambah keahliannya sahaja, ianya perlu ditingkatkan dengan memprogramkan mereka agar menerima segala maklumat yang terkini.Data keahlian ini sewajarnya dimanfaatkan dengan semaksima mungkin. Ledakan kebangkitan rakyat yang terbukti dengan perhimpunan BERSIH dan PPSMI baru-baru ini sewajarnya tidak dihentikan dengan begitu sahaja. Saya melihat perkembangan politik di negeri Johor ini agak terkebelakang sedikit berbanding dengan negeri-negeri lain. Oleh yang demikian, satu perubahan perlu dilakukan bagi memastikan golongan muda di negeri Johor ini.
Jika diteliti program yang lalu, realitinya, kurang aktiviti mendekatkan diri kita kepada pemuda, Lajnah/Jabatan masih kurang mendekatkan diri dengan golongan muda. Kita lebih banyak membuat kerja-kerja ‘orang lain’ setelah ‘orang lain’ itu gagal berperanan sebagai organinasi parti yang mampu mendepani cabaran. Sewajarnya kita perlu melakukan kerja khusus kita iaitu ‘golongan muda’. Terasa mahu sahaja saya berkata “Biarkan sahaja golongan yang benak hatinya ini menyokong UMNO/BN tetapi jangan membiarkan golongan muda ini terpinggir jauh daripada kita”. Kita perlu dilihat menjadi bahtera penyelamat & kasih sayang. Mengembalikan mereka ke arah aqidah Islam yang sebenar perlu menjadi agenda kita.
Kita sebenarnya sering tergelincir bila suasana politik mengusai minda rakyat. Tenggelam dengan susana politik tanpa menyedari sebenarnya kita telah meminggirkan elemen-elemen penting perjuangan Islam adalah suatu perkara yang perlu dijadikan sebagai medan muhasabah. Mursyidul Am Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat perlu dijadikan contoh di dalam mendepani politik islam yang berteraskan aqidah Islam seperti mana turut diperakui sendiri oleh Datuk Siti Norhaliza dan Amy Search baru-baru ini.
Kemunculan Datuk Seri Ir Nizar Jamaluddin pula telah dilihat sebagai ‘ikon baru’ Dunia politik Islam Malaysia apabila dalam tempoh 11 bulan berjaya memberikan gambaran islam secara positif kepada golongan bukan islam tanpa sebarang paksaan. Orang-orang bukan Islam termasuk pimpinan DAP dan pimpinan Kelab Penyokong PAS telah pandai membaca ayat-ayat al-Quran di depan pemimpin UMNO yang beragama Islam.
Persoalannya sekarang ialah adakah ini menjadi agenda utama kita bila berdepan dengan golongan muda ini? Adakah terlalu sukar bagi kita untuk merubah golongan muda ini? Mereka bukan orang tua. Bahkan kita adalah yang lebih tua daripada mereka. Dari sudut teorinya kita berhadapan dengan mereka lebih mudah berbanding berhadapan dengan orang tua. Golongan muda terlalu mudah untuk kita pengaruhi minda dan persepsi mereka.
Justeru saya menegaskan agar Kem Remaja Islam ataupun Kem Anak Soleh perlu dihidupkan semula. Kem-kem pembentukan aqidah perlu ditingkat di semua kawasan. Jiwa mereka yang kosong ini mesti diisi dengan kepelbagaian pendekatan yang menarik.
PERTEGUH KEMENANGAN
Saya ingin menyorot kembali Ucaptema Ketua DPP Pusat pada tahun lalu yang bertemakan Perteguh Kemenangan yang telah menyentuh banyak perkara bagi memperteguh kemenangan yang telah kita capai dalam pilihanaraya umum 8 Mac yang lalu. Namun saya hanya mahu menekankan empat perkara yang perlu diberikan perhatian oleh kita khususnya Dewan Pemuda Pas Johor. Semoga dengan memberikan penumpuan kepada 4 perkara ini, kita dapat perteguh kemenangan kita di Negeri Johor.
PERTAMA: TARBIYAH PAS – REVOLUSI KEDUA
Ketua DPP Pusat telah memperingatkan kita bahawa PAS telah melalui revolusinya yang pertamanya dalam institusi Tarbiyyah yang telah melahirkan ramai kader-kader yang berjiwa kental. Ramai di antara kader-kader kita dahulu sanggup untuk mengorbankan apa sahaja demi sebuah perjuangan Islam. Namun, beliau masih belum berpuashati terhadap peningkatan fahaman tarbiyyah di kalangan ahli Pemuda. Salah faham terhadap ‘aqidah perjuangan’ menyebabkan mereka gagal melaksanakan misi dan visi perjuangan kita.
Bagi merealisasikan revolusi ini maka seruan berterusan perlu dibuat untuk membangkitkan semula tenaga nuqaba’ muda yang mungkin sudah semakin jauh daripada kita untuk kembali semula memainkan peranan mereka sepertimana yang pernah mereka baiahkan satu ketika dahulu. Tenaga yang sedia ada perlu digemblengkan dengan semaksimumnya dan tenaga baru yang akan bersama dengan perjuangan ini perlu dikenalpasti bila kehadirannya kelak.
Sepertimana kata Ketua DPPP, “Jika kita daripada generasi muda, tidak serius dalam hal ini, saya yakin dan percaya kita gagal untuk memperteguh kemenangan.”
KEDUA : MEMBINA KEPIMPINAN KOMPETEN DAN BERTAQWA
Perkara yang kedua disentuh oleh beliau adalah berkenaan dengan peranan Pemuda untuk melahirkan para pemimpin yang bersedia menganjak paradigmanya dengan mengambil iktibar daripada kewarakan Abu Musa Al-Asyaari dengan kelicikan ‘Amru Bin Al-Asr.
Apa yang perlu kita lakukan adalah untuk mencantumkan semula pemisahan yang telah dilakukan oleh UMNO/BN melalui ideologi sekularismanya yang telah menjalar di segenap urusan pentadbiran kerajaan. Oleh kerana kita bakal menjadi ‘goverment in waiting’ atau ‘kerajaan menunggu’ sewajarnya usaha-usaha merapatkan semula mesti digandakan semaksima yang mungkin bagi menjayakan usaha ini. Ini bererti para ulama muda mesti meneroka ilmu duniawi sementara golongan profesional pula mesti meneroka ilmu ukhrawi agar kita dapat melahirkan generasi pemimpin yang seimbang disamping memiliki syahsiyyah yang cemerlang. Kita terkenal kerana kecemerlangan akhlak & kebolehan agamanya, tetapi kita tidak diyakini dalam aspek keupayaan mengurus negara.
Bagaimana kita hendak melahirkan kepimpinan yang kompeten dan bertaqwa? Justeru bagi mencapai hasrat ini maka DPPNJ mendesak agar DPP Pusat segera mengerakkan peranan Pusat Latihan Akademi Kepimpinan Pemuda (AKP) di Kelantan yang telah lama ditubuhkan namun masih belum menampakkan hasilnya.
KETIGA : PEMERKASAAN RAKYAT
Menghuraikan tentang pemerkasaan rakyat, Ketua DPPP menyatakan bahawa sudah banyak isu-isu besar yang berlaku semenjak 2003 dan perubahan sikap komponen BN di Sabah membuktikan bahawa rakyat sudah hilang percaya kepimpinan BN hari ini. Namun, ia masih lagi tidak mencapai hasrat kita untuk memberikan kesedaran sivil kepada masyarakat yang masih lagi lemah. Tanpa kesedaran sivil ini, rakyat akan mudah diperkotak-katikkan oleh UMNO/BN seperti mana mereka telah menggunakan isu Derhaka dan isu Tanah Melayu untuk menarik sokongan pengundi Melayu di Bukit Gantang kepada UMNO/BN.
Ini bermakna, tanggungjwab untuk memberikan kesedaran tersebut terletak di atas bahu kita, para Pemuda PAS di semua peringkat khususnya akar umbi supaya menjadi nadi dalam memperkasakan rakyat menerusi institusi-institusi masyarakat sivil di peringkat terkecil.
KEEMPAT : MISI DAKWAH : MEMAHAT PAS DALAM JIWA RAKYAT MALAYSIA
Perkara yang keempat adalah untuk memahatkan PAS dalam jiwa rakyat Malaysia melalui Misi Dakwah. Kita telah menyaksikan peristiwa yang sangat unggul dalam sejarah politik tanahair dalam Pilihanraya Umum ke 12 pada 8 Mac 2008 yang lalu. Ini adalah merupakan kesempatan terbaik untuk mengorak langkah ke hadapan bagi menjelaskan apakah sebenarnya Islam yang menjadi dasar dan matlamat perjuangan PAS.
UMNO/BN telah berjaya mengelirukan orang bukan Islam bahawa PAS adalah parti keganasan, fanatik , ekstrem dan sebagainya sehinggakan Hudud yang diturunkan oleh Allah juga ditakrifkan sebagai undang-undang zalim. Yang digemburkan ialah hukum Islam sebagai hukum yang kejam dan menindas orang bukan Islam. Namun kini telah berubah. Allah telah memberikan ruang yang seluas-luasnya kepada kita untuk meperjelaskan kepada orang bukan islam tentang makna Islam, agenda keadilan, persamaan dan univesalnya islam.
PAS, melalui Lajnah Perpaduan Nasional telah menubuhkan Kelab Penyokong PAS di peringkat PAS Pusat dan Kelab Penyokong Muda PAS di peringkat DPPP. Kemasukan seramai lebih daripada dua puluh ribu ahli KPP yang bukan beragama Islam telah membuktikan bahawa PAS sudah mula diterima oleh semua kaum dan agama, bersesuaian dengan moto “PAS UNTUK SEMUA”.
Selain itu juga, Lajnah Pembangunan Remaja dan Jabatan Pembangunan Mahasiswa mestilah prihatin terhadap masalah kesedaran Islam di kalangan remaja. Peningkatan gejala sosial remaja pada hari ini bukan satu perkembangan yang boleh dipandang sebelah mata tetapi mestilah diambil tindakan yang sewajarnya.
TINDAKAN KITA
Bagi memastikan bahawa Pemuda akan berada pada landasan perjuangan untuk memastikan kemenangan PAS dan PR di Johor maka kita perlu mempersiapkan diri kita dengan sebaik mungkin terutamanya dalam mendekatkan kita dengan anak-anak muda.
i. Melaksanakan Pelan Tindakan DPPNJ 2008 – 2012.
Kita telah masuk ke tahun kedua pelan tindakan DPPNJ yang telah kita sama-sama persetujui bersama pada tahun lalu untuk kita laksanakan. Berbekalkan visi “Menjana Kemenangan Rakyat Johor” kita telah mulakan perlaksanaan sasaran kita dalam suasana kemelut politik yang sedang melanda negara kita pada hari ini. Walaupun masih jauh lagi perjalanan ini namun kita harus memastikan bahawa tugas kita perlu kita laksanakan dengan sedaya-upaya mengikut pelan yang telah kita tetapkan.
Sebenarnya, jika kita benar-benar menghayati dan memahami apa yang ingin kita capai bersama dalam pelan tindakan ini, maka kita tidak punya ruang masa yang banyak untuk menjayakan hasrat kita ini. Justeru setiap Exco DPPNJ yang bakal terpilih di dalam muktamar ini serta kepimpinan baru di peringkat DPPK perlu segera menghadami pelan tindakan tersebut.
ii. Program Memperkasa Pemuda
Pelancaran kempen Jom Sertai PAS! dan penubuhan Kelab Penyokong Muda PAS memberikan gambaran bahawa PAS cukup terbuka untuk menerima sebanyak mungkin keahlian daripada seluruh masyarakat berbilang kaum dan agama. Tahniah kepada sekretariat DPPNJ kerana telah berjaya mencapai sasaran keahlian UKJ seperti mana yang telah ditetapkan dan saya menggesa agar penambahan keahlian pemuda perlu dipertingkatkan kerana sasaran kita menarik anak muda di Johor bersama dengan kita masih jauh lagi daripada jumlah peratusan anak muda.
Kita juga perlu menyegerakan proses untuk menaiktarafkan status DPPK yang masih belum layak untuk menyertai muktamar kita yang hadir sebagai Penaja. Walaupun usaha telah dilakukan oleh secretariat namun ia masih lagi gagal untuk diselesaikan secara keseluruhannya. Tempoh tiga bulan pertama selepas muktamar ini perlu diberikan masa secara serius untuk sekretariat merealiasasikan harapan ini.
iii. Memperkasa Jentera Pilihanraya Pemuda
Memperkasa jentera pemuda juga bermaksud bahawa kita akan memberikan tumpuan secara serius terhadap DUN-DUN sasaran kita. Persiapan bakal calon Pemuda, penubuhan Pusat Aduan Rakyat (PAR) dan gerakerja perancangan MTD berkaitan perlulah diberikan perhatian dan tindakan. Tahniah kepada PAR Kempas dan PAS Permas kerana telah berjaya membuktikan bahawa melalui gerakerja PAR seperti membela penduduk setinggan di sekitar Kempas dan pembelaan terhadap nasib penduduk Kampung Pelentong Tengah dapat mendekatkan PAS dengan masyarakat di Johor dan membuktikan bahawa PAS komited untuk memperjuangkan nasib rakyat.
iv. Memperkasa Manhaj Tarbiyah
Kita tidak pernah meninggalkan persoalan tarbiyah di dalam muktamar dan dalam agenda perjuangan kita walaupun kadang-kadang Lajnah Tarbiyah mengeluh kerana masih lagi terdapat ketidakseriusan DPPK menjalankan aktiviti ini. Kesungguhan Lajnah Tarbiyah mewujudkan Manhaj Tarbiyah yang dijadikan panduan tarbiyah Pemuda di seluruh negeri Johor perlulah dikemaskini perlaksanaannya.
Bagi memastikan bahawa peranan tarbiyah di dalam pemuda dapat diperhebatkan maka saya mencadangkan agar Kuliah Perdana Pemuda dapat dilaksanakan di peringkat negeri secara berkala sejurus selepas muktamar ini kerana tenaga ulama’ muda di dalam DPPNJ mempunyai kemampuan untuk melaksanakannya.
v. Memperhebat Peranan ADUN Maharani dan ADUN Sungai Abong.
Kita berbangga kerana walaupun kita berada di sebuah negeri yang terkenal dengan jolokan “Negeri UMNO terkuat di dalam dunia” namun di atas usaha dan kebergantungan kita terhadap Allah maka kita telah diberikan kemenangan dalam dua kerusi DUN di Johor. Kemenangan PAS melalui Dr Mohamad Bin Taslim (Maharani) dan Dr Sheikh Ibrahim Sheikh Mohamad (Sungai Abong) sememangnya telah berjaya melonjakan nama parti kita di Johor lebih-lebih lagi BN telah kehilangan enam kerusi DUN dan satu kerusi Parlimen pada pilihanraya umum yang lalu.
Namun, Pemuda masih belum begitu mengambil peluang daripada kemenangan ini untuk menjana gerakerja Pemuda. Mungkin kerana kita belum mahu mengganggu peranan kedua-dua ADUN di kawasan mereka namun bagi memastikan bahawa penerusan perjuangan ini bagi kepentingan dakwah, politik dan hubungan kita di antara kaum maka DPPNJ akan merangka aktiviti bersama kedua-dua ADUN di dalam sesi yang baru ini.
MENDEKATI ANAK MUDA
Pernah di dalam muktamar ke 34 yang lalu, saya telah melontarkan pandangan melalui ucaptema ini dengan menyarankan agar gerakerja untuk mendekati pemuda melalui Rakan Motor, Rakan Sukan, Rakan Sukan dan beberapa Rakan yang lain dilaksanakan. Namun, ketidakupayaan untuk melaksanakan saranan dan harapan ini bukan bermakna kita tidak berminat untuk mendekati golongan ini kerana sememangnya mereka adalah golongan sasaran utama kita di Johor.
Bagi memastikan bahawa gerakerja mendekati anak muda dapat dilaksanakan maka Jabatan Sukan dan Kesenian hendaklah dinaiktaraf sebagai jabatan utama dalam DPPNJ bukan sekadar berlegar-legar di sekitar kelompok yang sama ataupun sekadar untuk memenuhkan ruangan aktiviti.
Tahniah kepada sdr Azhan Atan kerana telah berjaya menjadi IKON BARU DUNIA NASYID bermula dengan kemenangan di dalam Akademi Nasyid yang dianjurkan oleh TV9. Kita perlu berusaha untuk melahirkan ikon baru pemuda yang terlibat di dalam pelbagai “KUMPULAN” sama ada di dalam politik, kesenian, aktivis rakyat, sukan dan sebagainya. DPPNJ mendoakan agar beliau akan terus berada di landasan perjuangan dan tidak akan terpesong dengan tawaran nikmat duniawi.
Begitu juga dengan pendekatan kita terhadap Anak Muda bukan Melayu yang masih belum cukup dekat di hati kita. Justeru saya menggesa agar Lajnah Perpaduan Nasional melalui Kelab Penyokong Muda PAS dapat bertindak segera untuk memperkemaskan seterusnya memperbanyakkan aktiviti bersama anak-anak muda ini.
Jabatan Pembangunan Remaja melalui Teen Ceria yang seakan-akannya sudah seperti ‘nyawa-nyawa ikan’ perlu dihidupkan kembali peranannya walaupun ia tidak lagi wujud di peringkat Pemuda Pusat. Jabatan Amal yang semakin besar keanggotaannya di Johor perlu lebih gigih lagi mempelbagaikan aktiviti mendekati anak-anak muda di Johor. Pendekatan bersama masyarakat seperti ekspedisi dakwah menaiki keretapi daripada stesyen Kluang ke Labis seperti yang dilakukan sebelum ini perlu diperluaskan ke kawasan-kawasan berkaitan.
Tahniah kepada PASTI yang telah berjaya mencapai jumlah pelajar teramai dan jumlah cawangan terbanyak pada tahun ini sejak ia mula ditubuhkan pada tahun 1989. Saya percaya, ia adalah satu gambaran komitmen yang ditunjukkan oleh penggerak PASTI di semua peringkat yang terus memberikan penumpuan yang sebaiknya terhadap perkembangan ini. Oleh itu, Sambutan 20 tahun PASTI Johor yang akan diadakan selepas daripada muktamar ini akan menjadi medan untuk kita memperkukuhkan lagi kedudukan PASTI di Johor. Alumni PASTI mesti dilancarkan untuk menjayakan hasrat DPPNJ untuk mendekati anak muda dan mereka inilah yang akan menjadi ‘agen’ kita nanti.
MEMPERKASA SEMULA PEMUDA PAKATAN RAKYAT
Mengimbau kembali kejayaan kita menggerakkan Pemuda Barisan Alternatif (BA) Johor sejak beberapa tahun yang lalu bersama Angkatan Muda Keadilan (AMK) Negeri Johor mendepani cabaran politik dan isu rakyat secara bersama sebenarnya telah memberikan kesan terhadap perkembangan politik kita di Johor. Lebih-lebih lagi, kini kita sedang bersedia untuk memerintah negeri Johor di atas nama Pakatan Rakyat. Perpaduan gerakan politik anak muda PAS, PKR dan DAP perlu kita jana kembali untuk dilihat sebagai satu gerakan politik yang mampu menawarkan alternatif kepada masa depan rakyat Johor.
Saya mencetuskan pada malam ini agar lanskap baru Pemuda PR Negeri Johor perlu disegerakan dengan penubuhan Sekretariat Pemuda PR Johor dan DPPNJ bersedia untuk menjadi tuan rumah kepada Konvensyen Tahunan Pemuda Pakatan Rakyat Negeri Johor yang kita akan adakan pada tahun ini. Jika ia benar-benar terjadi, maka kita (Pemuda PR Johor) akan menjadi pencetus kepada perpaduan gabungan pemuda yang terdiri daripada pelbagai bangsa dan warna kulit yang setakat ini, masih gagal di peringkat UMNO dan Barisan Nasional.
PENUTUP
Sebelum saya mengakhiri ucapan ini, saya ingin mengingatkan seluruh kepimpinan Pemuda PAS di Johor termasuklah kepada seluruh rakan seperjuangan daripada PR bahawa dalam langkah kita bergerak untuk mencapai kemenangan kita tidak boleh memandang ringan terhadap strategi musuh politik yang sudah pastinya akan berusaha dengan segenap sumber untuk memastikan bahawa mereka akan kekal memerintah negeri dan negara kita.
Mereka mungkin akan melakukan apa jua tindakan dan perkara yang di dalam dan di luar pemikiran kita seperti mana yang telah mereka buktikan ketika berhadapan dengan gelombang reformasi rakyat sebelum daripada ini. Oleh itu, kita perlu bersedia untuk menghadapi apa jua rintangan dan cabaran walaupun kita terpaksa mempertaruhkan masa, harta dan nyawa kita untuk mencapai kemenangan ini.
Pemuda PAS perlu meletakkan keyakinan dan kebergantungan penuh kepada Allah secara total kerana Dialah yang lebih berkuasa untuk menentukan sama ada kita akan mencapai kemenangan ataupun tidak.
Firman Allah dalam ayat 25 al-Taubah yang bermaksud :
"Sesungguhnya Allah telah menolong kamu (wahai orang mukmin) di medan peperangan yang banyak. Dan ingatlah peperangan Hunain iaitu di waktu kamu merasa bangga kerana ramainya jumlahmu. Maka jumlah yang ramai itu tidak memberi manfaat kepadamu sedikit pun. Dan bumi yang luas itu telah terasa sempit olehmu kemudian kamu lari ke belakang dengan bercerai-berai”
Akhir kalam, marilah kita bersama-sama memohon pertolongan daripada Allah S.W.T semoga kita sentiasa dikurniakan kekuatan dan kebijaksaan di samping konsisten mendukung perjuangan berlandaskan kebenaran, kebaikan dan keindahan abadi yang sentiasa diredai Allah S.W.T.
Nota kaki :-
- ‘Silent majority’ bermaksud menyembunyikan pendirian politiknya kerana tekanan yang kuat sehingga memaksa mereka menyembunyikan pendirian . Namun pendirian mereka terus kekal dan dibuktikan dalam kertas undi. Sebaliknya , ‘silent politic’ membawa maksud tiadanya reaksi politik dari sebarang perkembangan politik semasa. Mereka terus mendiamkan diri bukan sekadar takut pada tekanan tetapi telah lahir rasa jenuh , putus asa dan letih dalam perjuangan.
- Perang Tabuk berlaku ketika hasil tanaman di Madinah sedang masak untuk dituai dan orang ramai lebih suka berehat di rumah kerana cuaca yang sangat panas. Ka’ab melambat-lambatkan persiapan sehingga beliau langsung tertinggal menyertai tentera Nabi di dalam peperangan tersebut. Ka’ab ibn Malik menerima hukuman iaitu pemulauan umat Islam selama 40 hari yang dianggap satu hukuman yang amat menekan jiwa. Bahkan Nabi Muhammad S.A.W enggan bercakap dengannya. Seorang lagi sahabat Ka’ab yang tertinggal dalam peperangan itu, Hilal Ibn Umayyah menangis kekesalan sehingga hampir merosakkan penglihatannya. Kesal atas kecuaian diri dalam menyahut saranan Rasulullah S.A.W.
Rujuk juga buku Fiqh Al-Harakah dari Sirah Nabawiyah karangan TG Abdul Hadi Awang terbitan HARAKAH, 2006.
- Rujuk Dewan Masyarakat bulan Mei 2008, muka surat 40-41
- Menurut statistik semasa yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), pada suku keempat tahun 2007, kadar penggunaan telefon bersel dalam kalangan rakyat Malaysia telah mencecah 85 peratus. Angka ini merupakan yang tertinggi bagi tempoh 2006 hingga 2007.
KHAIRUL FAIZI BIN AHMAD KAMIL dilahirkan pada 11 Januari 1973 di Kampung Masjid Lama, Kluang Johor. Mendapat pendidikan di Sekolah Kebangsaan Simpang Renggam (1980) Sekolah Kebangsaan Kampung Melayu Kluang (1981-1985) Sekolah Tuanku Abdul Rahman, Ipoh (1986-1990). Memperolehi Diploma Kejuruteraan Elektrik Perhubungan di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Diploma Tasawur Islam daripada Institut Latihan Perkaderan (ILHAM). Ketika ini, beliau sedang mengikuti pengajian dalam bidang Sains Kemanusiaan (Sains Politik) daripada sebuah universiti tempatan di peringkat Sarjana Muda. Telah mendirikan rumah tangga dengan Puan Monaliza Musa dan telah dikurniakan seramai lima orang cahayamata.
Pernah berkhidmat sebagai Juruteknik Kanan, Penolong Jurutera dan Jurutera Muda di Samsung Electron Devices (Seremban) dan Asahi Industries (M) Sdn Bhd (Kluang) selama lima tahun dan mula menceburi bidang politik sepenuh masa bermula pada 23 Mac 2000 apabila dilantik sebagai Exco Dewan Pemuda PAS Negeri Johor dan Pengarah Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) Negeri Johor.
Mendaftarkan diri sebagai ahli Parti Islam SeMalaysia (PAS) pada bulan Januari 1997 dan terus bergerak aktif bersama PAS sebagai Ketua Jawatankuasa Pemuda PAS cawangan Kampung Melayu Kluang dan Setiausaha Dewan Pemuda PAS Kawasan Kluang.
Diamanahkan sebagai Setiausaha PAS Kawasan Kluang (1999-2001), Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Kluang (2001-2005), Naib Yang Di Pertua PAS Kawasan Kluang (2005-2007) dan Ketua Penerangan PAS Kawasan Kluang (2007-2008). Pernah diamanahkan sebagai Setiausaha Dewan Pemuda PAS Negeri Johor (2001-2005).
Beliau terlibat aktif dengan PASTI sebagai Pengarah PASTI Johor (2000-2005) Pengerusi Bahagian Penaziran PASTI Pusat (2003-2005) Setiausaha PASTI Pusat (2005-2006) dan Timbalan Ketua Pengarah Sektor Pengurusan PASTI Pusat (2006-2007). Pernah diamanahkan oleh Jabatan PASTI Pusat sebagai pembentang kertas kerja dalam Seminar Pra-Sekolah peringkat Kebangsaan anjuran Kementerian Pelajaran Malaysia di Maktab Perguruan Sultan Mizan, Trengganu (2005).
Pernah diamanahkan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pemuda Barisan Alternatif (BA) Negeri Johor (2005-2008). Pernah diamanahkan sebagai calon PAS dalam Pilihanraya Umum ke 11 dan ke 12 bagi kerusi DUN Mahkota, Johor.
Ketika ini diamanahkan sebagai Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional Dewan Pemuda PAS Pusat (2007 – sekarang) dan beliau telah mengasaskan penubuhan Kelab Penyokong Muda PAS (KPMP) pada tahun 2008. Pengerusi Lajnah Pengguna dan Alam Sekitar PAS Johor (2005 – sekarang) Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Johor (2005 – sekarang) Pengerusi Pusat Aduan Rakyat (PAR) zon Mahkota (2008 –sekarang).
Beliau adalah seorang yang aktif dalam sukan dan persatuan sejak daripada bangku sekolah lagi. Pernah mewakili pasukan Hoki Negeri Perak ke peringkat MSSM dan menjadi Pengurus/Pemain Pasukan Bola Baling UTM. Pernah diamanahkan sebagai Timbalan Presiden Majlis Perwakilan Pelajar UTM. Disamping itu juga, beliau berkebolehan bermain 17 instrumen/alat muzik sehingga kini.
Beliau juga adalah merupakan seorang blogger (www.minda-kembara.com) sejak tahun 2005 dan telah pun menubuhkan sebuah NGO yang bergiat dalam bidang perpaduan kaum di Malaysia.
KALI KE-36
12-13 Julai 2008
PEMUDA BERGERAK KEHADAPAN
YOUTH MOVING FORWARD
-----------------------------------------------------------------
MUKADDIMAH
Yang Berbahagia Pengerusi Majlis,
Yang Berbahagia Ustaz Haji Idris Bin Haji Ahmad, Ahli Jawatankuasa PAS Pusat,
Ybrs Tuan Haji Dzulkifli Bin Ahmad, Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Johor
Ybrs Hajah Atiah Ahmad, Ketua Dewan Muslimat PAS Negeri Johor serta jawatankuasanya,
Yang Dikasihi Timbalan dan Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Johor,
Ybrs Setiausaha Dewan Pemuda PAS Negeri Johor merangkap Pengarah Panitia Muktamar kali ke 36 ini,
Ybrs Ahli Jawatankuasa Dewan Pemuda PAS Negeri Johor,
Para perwakilan dan tetamu yang saya hormati sekelian.
Firman Allah,
“pergilah kamu beramai-ramai (untuk berperang pada jalan Allah), sama ada Dengan keadaan ringan (dan mudah bergerak) ataupun Dengan keadaan berat (disebabkan berbagai-bagai tanggungjawab); dan berjihadlah Dengan harta benda dan jiwa kamu pada jalan Allah (untuk membela Islam). Yang demikian amatlah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui.”
At-Taubah :41
Pertamanya, saya melahirkan rasa pesyukuran yang tinggi ke hadrat Allah S.W.T kerana dengan keizinannya kita dapat bertemu di dalam perasmian muktamar DPPNJ kali yang ke 36 pada malam ini.
Saya mengalu-alukan kehadiran para pimpinan disemua peringkat khasnya kepada perasmi muktamar DPPNJ pada kali ini iaitu Ustaz Idris Bin Ahmad yang saya kira sebagai seorang kekanda kepada pemuda PAS di Johor kerana beliau yang seangkatan dengan sdr Mazlan Aliman telahpun lama berkecimpung di dalam gelanggang kepemudaan PAS. Sudah tentu, pandangan daripada beliau terhadap masa depan gerakan Pemuda PAS di Johor ini sangat ditagih untuk menyemarakkan lagi semangat dan jati diri pemuda.
Saya juga mengalu-alukan kehadiran kepimpinan Angkatan Muda Keadilan Johor dan kepimpinan Pemuda Sosialis DAP Johor dan kepimpinan Badan-badan Bukan Kerajaan (NGO’s) yang turut hadir memeriahkan lagi upacara perasmian muktamar DPPNJ pada kali ini.
Para perwakilan sekelian,
Kita bermuktamar pada kali ini dalam situasi dua situasi yang berbeza. Pertamanya, perubahan rakyat yang menolak Barisan Nasional dan memberikan sokongan kepada Pakatan Rakyat dalam pilihanraya umum yang lalu. Keduanya, rakyat telah mula dizalimi hasil daripada keputusan pilihanraya dengan kenaikan harga petrol/diesel yang melambung tinggi sehingga menyebabkan pelbagai kos perkhidmatan dan harga barangan telah naik hasil daripada kenaikan harga minyak ini. Sudah pasti, dua suasana ini akan merangsang kita untuk bergerak dengan lebih cergas bagi menggerakkan pemuda PAS di semua peringkat.
PAS telah berjaya memenangi kerusi DUN Maharani dan DUN Sungai Abong manakala DAP telah berjaya menawan Parlimen Bakri serta di peringkat DUN pula DAP telah memenangi kerusi Mengkibol, Senai, Bentayan dan Skudai. PKR walaupun masih belum memenangi sebarang kerusi di Johor namun telah menerima sokongan yang tinggi semasa pilihanraya umum yang lalu.
Gabungan Pakatan Rakyat telahpun menggegarkan sidang DUN Johor yang pertama yang bermula pada 19 Jun 2008 yang lalu. Jika pada sesi yang lalu Dr Mohd Ramli Bin Mohd Kari berseorangan diri berhadapan dengan ADUN BN namun pada kali ini PR telah berjaya menampilkan 6 ADUN yang mempunyai kemahiran tersendiri. ADUN-ADUN daripada Pakatan Rakyat telah berjaya memainkan peranan mereka dengan berkesan sehingga kehadiran mereka di dalam sidang DUN cukup dirasai oleh parti pemerintah.
Harapan untuk menambahkan kerusi pembangkang di dalam sidang DUN Johor telah berjaya dilakukan dengan kerjasama yang cukup padu di kalangan parti dalam PR. Maka, proses untuk mengisi kemenangan perlu dilakukan dengan sebaik mungkin agar ia tidak menjadi bahana kepada kita pada masa akan datang.
Pengumuman kenaikan harga minyak pada 5 Mac 2008 telah mengejutkan pelbagai pihak. Tiada siapa yang menjangka bahawa kerajaan akan berani untuk menaikkan harga minyak dengan kadar yang menggila sehinggakan ia jauh daripada logik akal kita. Kebimbangan pengguna bukan hanya kerana harga bahan api tersebut naik tetapi kerunsingan para pengguna adalah kesan daripada kenaikan tersebut yang sudah pasti akan memberikan kesan kepada kos perkhidmatan dan harga barangan.
Belum selesai kita memperjuangkan nasib dan masa depan tanah dan masa depan Melayu di Johor hasil daripada pembangunan Iskandar Malaysia atau pun dikenali sebagai Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI) sebelum daripada ini, tiba-tiba kita dikejutkan dengan terlepasnya hak kedaulatan kita ke atas Pulau Batu Putih yang mana sekarang ni Pulau Batu Putih telahpun terlepas kepada Singapura. Kekesalan ini bukan hanya dirasai oleh seluruh rakyat di Johor tetapi juga dirintihi oleh Sultan Negeri Johor dan dizahirkan ketika ucapan perasmian sidang Dewan Undangan Negeri Johor pada 19 Jun 2008 yang lalu.
Kerana terdapat banyak isu yang perlu ditangani di dalam negeri Johor serta terdapat banyak lagi tugas yang perlu dilakukan oleh Pemuda PAS di Johor, maka, muktamar ini memilih tajuk Pemuda Melangkah Kehadapan untuk menjana satu bentuk kekuatan pemuda yang diharapkan dapat melaksanakan impian dan harapan semua pihak.
MENYOROT KEPUTUSAN PILIHANRAYA UMUM KE 12
Para perwakilan yang dirahmati Allah sekelian,
Muktamar pada kali ini kita tidak dapat lari daripada membicarakan persoalan berkaitan dengan pilihanraya umum ke 12 yang lalu. Menghilangkan majoriti dua pertiga kerusi BN di Parlimen, menjatuhkan UMNO/BN di Negeri Pulau Pinang, Perak, Kedah dan Selangor serta mempertahankan Kelantan untuk penggal yang ke lima sudah tentu memberikan satu kepuasan kepada para pejuang daripada Pakatan Rakyat. YAB Tuan Guru Nik Abdul Aziz, YAB Ust Azizan Razak, YAB Lim Guan Eng, YAB Ir Mohd Nizar Jamaluddin dan YAB Tan Sri Khalid Ibrahim kini diamanahkan sebagai Meteri Besar dan Ketua Menteri di negeri masin-masing. Secara tidak langsung, ianya telah membuka episod baru kepada politik tanahair.
Pakatan Rakyat yang pada mulanya dilihat sebagai pakatan rapuh yang boleh tumbang dalam masa yang singkat kini telah membuktikan bahawa PR yang dianggotai oleh PAS, DAP dan PKR mampu melaksanakan tugas dengan penuh tanggungjawab.
Di Johor, kita telah berjaya memenangi satu kerusi Parlimen dan enam kerusi DUN di atas nama PR. DAP memenangi kerusi Parlimen Bakri dan DUN Bentayan, Mengkibol, Skudai, Senai manakala PAS memenangi kerusi DUN Sungai Abong dan Maharani. Walaupun PAS tidak berjaya mempertahankan DUN Senggarang namun dengan jumlah 6006 undi yang mewakili 38.9 peratus undi yang diperolehi oleh Dr Ramli membuktikan bagaimana wakil rakyat PAS telah dapat diterima di Senggarang.
Daripada 34 kerusi DUN yang PAS tandingi di Johor, 19 kerusi telah mencatatkan undian melebihi 30 peratus keseluruhan undi yang diterima. Manakala daripada 9 kerusi Parlimen yang ditandingi oleh PAS, tidak ada satupun kerusi yang PAS kehilangan deposit calon.
PAS Johor bukan sekadar melakar satu sejarah yang gemilang dengan memenangi dua kerusi di DUN Johor tetapi berjaya bersinar apabila telah meletakkan calon bukan Melayu/Islam sebagai calon di kerusi DUN Tiram, Cik Kumutha a/p Rahman. Kemunculan Cik Kumutha bukan sekadar memanaskan suasana pilihanraya umum yang lalu tetapi kehangatannya dirasai sehingga ke hari ini apabila beliau terus menerima undangan di seluruh negara.
Namun, disebalik kemeriahan meraikan kemenangan ini, saya mengajak para perwakilan untuk melihat secara mendalam terhadap keputusan penuh pilihanraya supaya ia akan menjadi panduan kepada gerakerja kita selepas daripada muktamar ini.
Para perwakilan yang saya hormati sekelian,
Sedar ataupun tidak bahawa tidak ada satu kerusi pun di Johor yang PAS berjaya mendapat undi daripada pengundi teras iaitu pengundi Melayu melebihi 50 peratus? Mengikut statistik daripada analisa keputusan piliharaya umum yang lalu, DUN Maharani memperolehi 48.9 peratus undi melayu, DUN Sungai Abong (48.0 %), DUN Permas (46.6 %) DUN Sungai Balang (39.1 %) dan DUN Senggarang (38.7%). Manakala yang lain-lain kebanyakkannya berada di bawah 30 peratus sahaja.
Masih ada lagi DUN yang memperolehi peratusan undi di bawah 15 peratus seperti DUN Buluh Kasap (14.6 %), DUN Penawar (10.4 %) DUN Sedeli (8.1%). Malah kita telah hilang deposit calon di DUN Penawar dan DUN sedeli.
Sebaliknya PAS telah memperolehi undi yang cukup luar biasa daripada kaum Cina dan India. Kita lihat sahaja bagaimana DUN yang telah dimenangi oleh PAS. DUN Sungai Abong memperolehi 63.5 peratus undi kaum Cina dan DUN Maharani memperolehi 58.4 peratus undi kaum Cina. DUN Sungai Balang (51.1 %), DUN Tenang (49.5 %) DUN Jorak (47.0 %) dan DUN Buluh Kasap (45.9%)
Secara keseluruhannya, dua DUN memperolehi undi lebih daripada 50 %, dua DUN memperolehi undi di antara 40 % - 49 %, lima belas DUN memperolehi undi di antara 30- 39%, sebelas DUN memperolehi undi di antara 20 – 29 % dan bakinya terdiri daripada empat DUN dibawah 20%.
Melihat kepada statistik yang saya sebutkan tadi, maka apakah sebenarnya faktor yang memberikan kemenangan dan anjakan undi kepada kita di Johor? Saya ingin menyebut bahawa Jabatan Pilihanraya PAS Johor konsisten menyebut bahawa bagi PAS pengundi terasnya adalah pengundi Melayu. Itu jugalah yang menjadi garis panduan di peringkat nasional yang diamalkan di negeri-negeri yang lain.
Itu faktor pengundi, bagaimana pula dengan faktor jentera PAS di semua peringkat? Terdapat suara-suara yang hampir-hampir membawa kepada kesumbangan yang menyebut bahawa tanpa culaan pun ada DUN yang PAS mampu untuk mencapai kemenangan.
Para perwakilan sekelian,
Saya merujuk kepada kenyataan yang dibuat oleh Pegawai Eksekutif Jabatan Pilihanraya PAS Kelantan, Ust Wan Nik Wan Yusuf yang menyebut bahawa gerakerja yang efisien dan istiqamah serta bersungguh-sungguh yang melepasi 75 peratus gerakerja yang disasarkan selain daripada komitmen pengundi muda yang tinggi dan sokongan daripada pengundi atas pagar termasuklah pengundi bukan Melayu telah memberikan kemenangan kepada PAS.
Saya yakin dan percaya sekiranya kita melihat kepada faktor kekuatan jentera seperti mana yang digerakkan di Kelantan, maka kita akan terperosok jauh daripada apa yang telah sahabat-sahabat kita lakukan di sana.
Kita meraikan kemenangan di Johor di dalam suasana secara realitinya kita masih lemah di segenap sudut sama ada yang tersurat dan tersirat. Kita berbangga dengan perolehan undi yang tinggi tetapi realitinya kita sendiri tidak mampu menggerakkan jentera di peringkat DUN.
Pemuda dalam Pilihanraya
Para perwakilan sekelian,
Dewan Pemuda PAS Negeri Johor ingin merakamkan ucapan tahniah kepada kesemua calon Pemuda yang telah dipilih untuk mewakili parti di dalam Pilihanraya Umum kali ke 12 yang lalu.
Calon Pemuda, Khairul Faizi Ahmad Kamil (N29 – Mahkota), Suhaizan Bin Kaiat (N47 – Kempas), Firdaus Bin Mas’od (N1 – Buloh Kasap), Syed Osman Bin Syed Abdullah (N43 – Permas) dan Mohd Badzihar Bin Mohd Basri (N50 – Bukit Permai) walaupun belum mencapai kemenangan tetapi telah mendapat jumlah undi lebih daripada 30 peratus. Syed Osman sebagai contohnya telah berjaya mendapat peningkatan undi sebanyak 7,000 undi dan kalah kerana undi pos.
Satu kajian rambang sebanyak 20 respondan majoritinya Melayu telah dilakukan oleh JPN Johor pada 8 April 2008 (30 hari selepas PRU12) di sekitar Bandar Batu Pahat mendapati bahawa 80% tidak menyukai BN dengan 15% sahaja yang menyukai Pembangkang.
DPPNJ telah mengambil inisiatif di dalam mendaftarkan Pengundi Muda yang baru namun hanya berjaya mendaftarkan sekitar 140 orang sahaja secara berpusat. Maklumat-maklumat di atas seharusnya dapat menyedarkan dimanakah kedudukan PAS di masyarakat Johor secara jujurnya. Sebab itu, DPPNJ mensasarkan untuk mendaftarkan seramai 2000 Pengundi Muda di setiap DUN sasaran dalam tempoh lima tahun ini.
Saya ingin menyentuh berkaitan dengan keputusan pilihanraya di DUN Permas yang mana PAS telah mendapat undian 46.6 peratus sokongan dari orang melayu sendiri dengan pertambahan undi kepada PAS sebanyak 7000 undi sokongan berbanding tahun 2004. Ini adalah merupakan satu perkembangan yang cukup menarik dalam sejarah politik PAS di negeri Johor.
Kenapakah di Permas trend sokongan Melayu begitu baik? Apakah faktor yang berbeza berbanding dengan 4 Dun lagi? Beberapa faktor perlu dilihat secara lebih kritikal seperti penguasaan gerakkerja Pilihanraya, sosioekonomi masyarakat, pendaftaran pengundi baru/muda, isu setempat dan Isu Nasional, ketrampilan calon dan media Alternatif.
Dalam membicarakan soal strategi kemenangan, saya ingin mengajak para pemuda PAS agar kita mengimbau kembali sejarah perjuangan Islam sehingga tentera Islam berjaya menawan Kota Konstantinople
Nabi Muhammad saw pernah bersabda,
“Constantinople itu pasti akan dibebaskan. Sebaik-baik pemimpin adalah pemimpin (penawanan)nya dan sebaik-baik tentera adalah tentera (yang menawan)nya”
[Hakim, Bukhari]
Nabi Muhammad saw telah menyatakan kepada tentera Islam bahawa pada suatu hari nanti, tentera Islam akan berjaya menawan Kota Constantinople. Jika ingin dibandingkan kekuatan tentera Islam dengan tentera Constantinople, amat sukar tentera Islam untuk menewaskan mereka. Hanya selepas 800 tahun barulah tentera Islam berjaya dalam misi menawan Kota Constantinople.
Tahun 44 Hijrah, Muawiyah bin Abi Sufian Radhiyallahu ‘anhu menghantar delegasi pertama umat Islam ke arah menundukkan Constantinople. Ramai sahabat yang menyertainya, termasuk Abu Ayyub al-Ansari dan Ibn Abbas sendiri. Mereka pergi dengan keyakinan yang tinggi terhadap janji Nabi SAW, bahawa Constantinople yang gah, sombong dan bongkak itu akan tunduk kepada Islam, bukan terjajah tetapi untuk dibebaskan dari perhambaan sesama mereka sendiri.
Bagaimanakah kekuatan Constantinople? Bagaimana cuaca di sana? Bagaimana sosio politik penduduknya? Sahabat Nabi SAW tidak mengetahuinya. Namun kerana yakin dengan janji Baginda SAW bahawa kemenangan adalah untuk Islam, mereka teruskan jua.
Misi tidak berhasil. Bukan gagal, tetapi belum berjaya. Abu Ayyub al-Ansari radhiyyallahu ‘anhu terbunuh syahid. Biar pun mereka itu generasi sahabat yang dididik sendiri oleh Rasulullah SAW, namun Allah belum mengizinkan kemenangan kerana ada pelajaran besar yang perlu ditekuni oleh Ummah. Usaha diteruskan lagi di zaman Sulaiman bin Abdul Malik, di zaman Harun al-Rashid dan terus dicuba dan dicuba sehingga ke era Sultan Yildirim Beyazit (1389-1403) dan Murat Ke-2 (1421-1451) di era Othmaniyyah namun janji Nabi SAW belum tertunai.
Hinggalah muncul era pemerintah Kesultanan Othmaniyyah, Sultan ke-7 bergelar Sultan Muhammad bin Murad II menaiki takhta. Beliau insan biasa yang luar biasa. Sultan Muhamamad al-Fatih mengkaji aspek ketenteraan, aspek politik dan sosial Constantinople. Beliau mengetahui serba serbi tentang kekuatan dan kelemahan kota yang bakal ditundukkan itu lantas bertindak selaras dengannya. Malah bukan sahaja beliau yang hebat, tentera-tenteranya juga sama tinggi.
Semasa beliau bersama ribuan tenteranya bergerak menuju Constantinople, mereka telah melintasi ladang anggur. Sultan Muhammad telah berpura-pura jatuh gering. Lalu beliau telah menyebut bahawa hanya anggur sahaja yang mampu menyembuhkan sakit tersebut. Tetapi tidak ada seorang pun daripada tenteranya yang mempunyai buah anggur. Ladang anggur yang bukan milik mereka itu tidak disentuh dan tidak pernah menjadi salah satu daripada pilihan penyelesaian kepada masalah yang ada.
Akhirnya, beliau menyatakan bahawa beliau telah sembuh hanya semata-mata untuk menguji tentera-tenteranya. Ternyata tenteranya adalah sebaik-baik tentera. Sultan Muhammad ’sembuh’ dengan ketinggian Syariatullah pada taqwa tenteranya, di samping Sunnatullah yang telah diperlengkapkan.
Setelah tawaran perdamaian di saat akhir ditolak, serangan dilancarkan bertubi-tubi. lebih sebulan pertempuran berlangsung dan akhirnya tibalah saat yang dijanjikan Allah dan Rasulnya, Constinople rebah di tangan insan biasa yang luar biasa, Sultan Muhammad bin Murad II, Sultan Muhammad al-Fatih.
Sabda Nabi SAW tentang kemenangan Islam di kota Constantinople bukan berlaku di tangan generasi sahabat. Ia berhasil di tangan sebaik-baik ketua dan sebaik-baik tentera, lebih 800 tahun selepas janji itu dilafazkan Baginda SAW.
Itulah formula kemenangan Islam. Islam tidak menang hanya kerana nama perjuangan itu adalah perjuangan Islam. Kemenangan adalah untuk kesempurnaan usaha melengkapi syarat kemenangan.
SEJARAH PENGLIBATAN PAS JOHOR DALAM PILIHANRAYA
Para perwakilan sekelian,
Saya ingin mengambil peluang di dalam muktamar DPPNJ pada kali ini untuk mengimbau kembali sejarah PAS ditubuhkan di Johor dan perkembangannya, melibatkan PAS Johor di dalam pilihanraya umum bermula daripada tahun 1959.
Menurut laporan Utusan Melayu keluaran 20 Mac 1954, cawangan PAS yang pertama di Johor telah ditubuhkan di Johor Bahru pada 19 Mac 1954 iaitu kira-kira tiga tahun selepas PAS ditubuhkan. Haji Ariffin Alias dipilih menjadi Yang Dipertua, Sdr Othman Abdullah dilantik menjadi Setiausaha manakala Penyimpan Wang diamanahkan kepada Sdr Yusuf Abdul Rahim. Seramai lapan orang Ahli Jawatankuasa telah dilantik bagi menerajui PAS cawangan.
Liputan berita penubuhan PAS cawangan Johor Bahru telah disiarkan oleh Utusan Melayu. Ekoran dari berita itu, satu rombongan masyarakat Bugis dari Benut telah bertemu dengan pimpinan PAS Cawangan Johor Bahru dan pada 6 Mei 1954 cawangan kedua PAS Johor telah ditubuhkan di Benut.
Menurut laporan Utusan Melayu pada 7 Mei 1954, Haji Abdul Razak telah dipilih menjadi Yang Dipertua manakala Sdr Muhamad Tahir dilantik menjadi Setiausaha dan jawatan Bendahari dipegang oleh Haji Yusuf Abdul Rahim. Seramai enam orang Ahli Jawatankuasa cawangan turut terpilih.
Walaupun usia PAS cawangan ini masih mentah, namun ia berjaya mengumpulkan suara dan pandangan yang lebih progresif. Dalam mesyuaratnya pada 30 Julai 1954, satu keputusan muktamad telah dipersetujui untuk membawa egala cadangan dan usul ke Muktamar Agung PAS di Krian Perak. Antara usul yang dipersetujui ialah meminta PAS Pusat mengadakan pendidikan politik Islam kepada ahli-ahli di semua cawangan PAS dalam negara ini. Juga meminta PAS Pusat mengadakan disiplin parti untuk mengawasi ahli-ahli PAS supaya bersedia menyerahkan tenaga mereka kepada PAS dan mendesak PAS Pusat agar menerbitkan majalah `Al-Islam’. Menurut Haji Mohd Said, keahlian PAS cawangan Benut pada waktu ini ialah kira-kira 750 orang.
Dalam tahun 1955, PAS Johor gagal untuk menyertai Pilihanraya Umum Persekutuan yang diadakan. Kegagalan ini disebabkan masalah kewangan yang begitu runcing. Walaupun hasrat untuk menyertai pilihanraya telah berputik sejak penubuhan cawangan PAS Johor Bahru lagi, namun cita-cita itu terpakasa dibatalkan memandangkan kos perbelanjaan menyertai pilihanraya agak tinggi.
Menjelang Pilihanraya Umum 1959, penngaruh PAS begitu pesat meluas dalam masyarakat Johor. Cawangan-cawangan PAS terus tumbuh bagaikan cendawan selepas hujan terutamanya di daerah Pontian dan Batu Pahat. Pada 24 Mei 1959 cawangan PAS telah ditubuhkan di Sungai Tempayan, Pontian. Pada 3 Ogos 1959, cawangan PAS ditubuhkan di Pulai Sebatang dan pada 4 Ogos, cawangan Parit Karimon ditubuhkan.
Pada penghujung bulan Julai, sebuah cawangan PAS di Kampung Parit Jatuh, Batu Pahat diwujudkan. Dalam majlis penubuhannya, ketua penerangan PAS Johor ketika itu, Haji Muhamad Taib Haji Ahmad telah memaklumkan bahawa PAS Johor akan menubuhkan 10 cawangan lagi di seluruh negeri. Pada 14 Ogos 1959, sebanyak 15 cawangan PAS telah diwujudkan di Batu Pahat.
Menjelang Pilihanraya Umum Persekutuan itu juga, PAS Kawasan Muar telah melantik pegewai-pegawai pilijhanrayanya pada 4 Ogos. Di Segamat, pengaruh PAS juga terus meluas. Ini telah terbukti dengan satu kempen pilihanraya telah diadakan di Jementah, Segamat pada 3 Ogos 1954. terdapat juga laporan yang menyatakan bahawa PAS telah melebarkan sayapnya ke Mersing sebelum tahun 1964 manakala Air Hitam, dipercayai sebagai tapak awal berkembangnya pangaruh PAS di Kluang. Sehingga tahun 1959, PAS telahpun mempunyai ahli-ahli dan penyokongnya di Air Hitam dan hal ini terbuktu apabila PAS turut bertanding dalam Pilihanraya Umum 1959 di kerusi Dewan Undangn Negeri Air Hitam.
Pengaruh PAS di Kota Tinggi mula terserlah pada awal tahun 1964 atau lebih awal dari tahun tersebut, PAS turut meletakkan calonnya di kawasan Johor Lama. Daripada maklumat yang tersebut, bolehlah dibuat rumusan bahawa PAS mula berkembang dan bertapak di Johor secara keseluruhannya menjelang pertengahan tahun 1964.
Dalam pilihanraya Umum Persekutuan 1959, PAS Johor telah meletakkan seramai tiga orang calonnya bertanding di peringkat parlimen Pontian Utara, Muar Selatan dan Segamat Utara. Seramai sembilan lagi calonnya diletakkan diperingkat Dewan Undangan Negeri Pontian Dalam, Benut, Rengit, Air Hitam, Tanjung Semberong, Parit Jawa, Parit Bakar, serom dan Jorak. Dalam pilihanraya ini, PAS gagal mendapatkan sebarang kerusi di Johor. Inilah pengalaman yang sering dialami oleh PAS di Johor.
Pada keseluruhannya, undi yang diperolehi oleh PAS bagi tiga kawasan parlumen yang ditandingi ialah 4992 daripada jumlah keseluruhan iaitu 216 027 undi. Bagi sembilan kerusi Dewan Undangan Negeri yang ditandingi, PAS berjaya memungut undi sebanyak 5471 daripada undi keseluruh yang berjumlah 214 496. inilah ukuran sokongan masyarakat terhadap PAS pada masa itu. Peratusan undi yang diterima oleh PAS begit kecil sekali iaitu diperingkat Peringkat Parlimen sebanyak 2.3% manakala di peringkt DUN 2.6%.
Dalam Pilihanraya Umum Persekutuan 1964, PAS Johor telah mengemukakan dua orang calonnya bertanding diperingkat parlimen Pontian Utara dan Johor Timur. Manakala sebelas lagi calonnya bertanding diperingkat Dewan Undangan Negeri. Ketika itu PAS Johor dianggap sebagai parti nyamuk oleh komponen Perikatan. Saingan hebat perikatan di Johor pada masa itu ialah Barisan Sosialis. Dalam pilihanraya ini juga, parti-parti pembangkang Johor terpaksa bertanding sesama sendiri setelah hasrat untuk bergabung dalam satu barisan [front] gagal dilakukan.
Pilihanraya 1964 ini juga telah membuka era baru bagi PAS Johor. Ia telah bertanding ditujuh kawasan baru bagi peringkat Dewan Undangan Negeri dan mengosongkan enam kawasan yang pernah ditandinginya dalam pilihanraya 1959. tujuh kawasan baru yang ditandingi oleh PAS ialah Endau, Gelang Patah, Mersing, Pelentong, Simpang Kiri dan Tampoi. Kawasan lama yang turut ditandingi ialah Air Hitam, Tanjung Semberong, Parit Jawa, Jorak dan Parit Bakar.
Dalam pilihanraya ini juga PAS Johor tidak meletakkan calon-calonnya bertanding di kawasan parlimen Muar Selatan dan Segamat Utara sebaliknya mencuba kawasan baru iaitu Johor Timur dan mengekalkan Pontian Utara yang pernah ditandinginya dalam pilihanraya tahun 1959. PAS tidak bertanding di kawasan perlimen Muar Selatan walaupun pengaruh PAS kuat di sini dalam pilihanraya umum 1959. Di Muar Selatan PAS tidak hilang wang pertaruhan berbanding dengan kawasan Pontian Utara. Undi yang diperolehi oleh PAS kawasan Muar Selatan dalam pilihanraya 1959 ialah 2508 undi dan terselamat wang pertaruhan. Sebaliknya di Pontian Utara, PAS hilang wang pertaruhan dan mendapat jumlah undi yang kecil iaitu 1567 undi.
Keputusan pilihanraya umum 1964 menyaksikan satu lagi keputusan untuk penilaian PAS Johor. Secara keseluruhannya, PAS mendapat 7873 undi bagi sebelas kawasan Dewan Undangan Negeri yang ditandinginya dan 7673 undi lagi bagi tiga kawasan parlimen.
Tahun 1969 pula telah memperlihatkan kemalapan bagi PAS Johor. Dua orang tokoh dan pimpinan PAS telah bertindak keluar parti. Mereka ialah Pesuruhjaya PAS Negeri, Puan Khadijah Sidek [1966 – 1969] dan bekas Pegawai Penerangan PAS Negeri, Kiai Saifullah bin Zamzam. Dalam pilihanraya ini, PAS Johor kelihatan lesu. Ia hanya mengemukakan dua orang calonnya untuk bertanding di kawasan parlimen Pontian Utara dan Johor Timur. Manakala sembilan orang lagi bertanding diperingkat Dewan Undangan Negeri. PAS terus kecundang. Sudah tiga kali berturut-turut PAS Johor tidak memungut sebarang kerusi yang ditandinginya.
Dalam tahun 1974, PAS telah bertindak menyertai komponen Barisan Nasional. Yang Dipertua Agung PAS, Dato’ Haji Mohd Asri Haji Muda dengan sebulat suara telah menyeret PAS dalam kerajaan. Walaupun tidak ada protes secara besar-besaran dilakukan oleh ahli-ahli PAS di seluruh negara, namun manifestasi tersebut telah digambarkan melalui tindakan personal secara individu. Di Johor sahaja, dua orang calon PAS telah mengistiharkan diri sebagai calon bebas walaupun akhirnya tewas di tangan calon perikatan.
Peristiwa pahit, PAS ditendang dari menjadi komponen Barisan Nasional telah memberikan banyak iktibar. Ini diikuti dengan kekalahan teruk PAS dalam pilihanraya Mac 1978 apabila PAS gagal mengekalkan kuasanya di Kelantan, walaupun sudah menguasai kelantan hampir 18 tahun lamanya. Tragedi yang menimpa PAS itu telah memberi kesan kepada perkembangan PAS di seluruh negara. Dalam pilihanraya ini, PAS hanya berjaya mempertahankan lima kerusi daripada 14 kerusi yang dimenangi sebelum ini dalam tahun 1974 disamping mempertahankan 9 kerusi Dewan Undangan Negeri berbanding 50 kerusi yang dimenanginya dalam pilihanraya sebelumnya.
Bagi PAS Johor, kekalahan sudah menjadi asam garam dalam perjuangannya. Ia sudah menduga kekalahan teruk itu. Walaupun PAS sudah lama bertapak di Johor, namun selera pengundi masih belum membenarkan PAS bertapak di hati mereka. Sebaliknya hasil dari penyingkiran PAS itu, berbagai insiden politik berlaku secara negatif di Johor. Seramai 300 orang ahli PAS telah menyertai UMNO pada bulan Julai 1978 iaitu menjelang pilihanraya umum. Turut dilaporkan juga seramai 60 orang guru-guru agama yang simpati dengan PAS berpaling tadah menyertai UMNO.
Di Johor, bekas aktivis-aktivis ABIM telah berpeluang mengambil alih teraju pimpinan PAS Johor dalam tahun 1982 iaitu dilakukan dalam proses yang amat sihat sekali. Peralihan ini bukan dibuat secara revolusi tetapi sebaliknya melalui amalan biasa PAS iaitu dengan cara pemilihan. Haji Hasan Hussein telah dilantik menjadi Pesuruhaya PAS yang baru bagi menggantikan Haji Yusof Hakim yang sudah uzur. Beliau adalah salah seorang pengasas ABIM Johor. Disamping beliau beberapa orang aktivis ABIM turut dilantik menjadi Ahli Jawatankuasa Perhubungan PAS Negeri.
Tahun 1983 PAS Johor meletakkan seramai sembilan orang calon di peringkat Dewan Undangan Negeri dan tiga orang di peringkat parlimen. Menurut pegawai penerangan PAS Johor ketika itu, Sdr Ahmad Kantan, sokongan PAS telah meningkat sejak pilihanraya umum 1978 terutama di kawasan Batu Pahat, Segamat, Tenggaroh dan Simpang Renggam. Inilah perkembangan yang menguatkan lagi PAS Johor.
Jumlah undi yang berjaya diraih dalam pilihanraya itu ialah 18 234 undi untuk enam kawasan parlimen yang ditandingi manakala untuk 10 kawasan Dewan Undangan Negeri PAS berjaya meraih undi sebanyak 11 232 undi. Dalam pilihanraya umum 1978 PAS Johor telah mendapat undi sebanyak 25 915 bagi 23 kawasan Dewan Undangan Negeri dan 32 512 undi bagi 12 kawasan parlimen yang ditandinginya.
Walaupun jumlah calon-calon PAS bertanding merosot dalam Pilihanraya Umum 1982 berbanding pilihanraya umun 1978, namun kedua-dua pilihanraya telah menemukan kegagalan yang berulang. Peratusan undi yang diterima oleh PAS dalam pilihanraya umum 1982 tidak jauh berubah dengan peratus undi pilihanraya tahun 1978.
Dalam pilihanraya 1982 peratus undi peringkat parlimen ialah 4.1% dan peringkat Dewan Udangan Negeri ialah 7.9% manakala dalam pilihanraya umum 1978 peratus undi peringkat parlimen ialah 4.1% dan peringkat Dewan Undangan Neger 2.3%.
Pada tahun 1986, sekali lagi pilihanraya umum diadakan. Pada kali ini PAS meletakkan 10 orang calon diperingkat Parlimen dan 20 oramg lain diperingkat Dewan Undangan Negeri. Inilah pilihanraya pengukur bagi kumpulan pimpinan baru PAS Johor dalam Era Kepimpinan Ulama. Keputusan pilihanraya 1986 telah menunjukkan ciri baru sokongan pengundi kepada PAS. Ia berjaya memperolehi undi sebanyak 28 493 undi bagi 10 kawasan parlimen dan 47 184 undi untuk 20 kawasan Dewan Undangan Negeri. Walaupun tewas, tetapi jumlah undi yang diterima merupakan satu kemenangan yang besar bagi kumpulan pimpinan baru PAS Johor yang telah menguasai tampuk pimpinan parti kira-kira lima tahun.
Pilihanraya Umum Oktober 1990, telah menyaksikan suatu penyatuan di kalangan pembangkang apabila PAS bersama Semangat 46 berjaya bergerak di bawah Angkatan Perpaduan Ummah (Angkatan) dan Semangat 46 bersama parti-parti lain berjaya membentuk Gagasan Rakyat. Inilah pertarungan paling sengit dihadapi oleh Barisan Nasional apabila pembangkang bersatu dalam pilihanraya. Dalam pilihanraya kali ini, PAS Johor telah meletakkan tiga orang calonnya bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri iaitu Endau dalam parlimen Mersing, Rengit dalam parlimen Batu Pahat dan Benut dalam parlimen Sungai Benut.
Jumlah calon PAS pada kali ini agak kecil berbanding pilihanraya umum 1959, 1954, 1969, 1978,1982 dan 1986. ini adalah disebabkan persepakatan antara PAS dan Semangat 46 dalam Angkatan di mana kuota kerusi telahpun dipersetujui bersama mengikut kekuatan pengaruh sesebuah parti disesuatu kawasan.
Ketiga-tiga calon yang terpilih ialah Dr Sheikh Ibrahim Salleh [Endau], Ungku haji Mohd Noor Ungku Mahmood [Rengit] dan Haji Ambok Masek Haji Abdul Latif [Benut]. Dalam pilihanraya ini, PAS berjaya meraih 33% undi di Endau, 29.8% undi di Rengit dan 32.7% undi di Benut. Dalam pilihanraya umum 1986, PAS telah meletakkan seramai 10 orang calonnya diperingkat parlimen dan 20 orang lagi diperingkat Dewan Undangan Negeri. Pilihanraya Umum 1990 juga telah mengulangi kekalahan PAS Johor.
Begitulah sejarahnya PAS berhadap dengan Pilihanraya Umum di Johor pada tahun 1995, 1999 dan pada tahun 2004, di atas kesilapan teknikal yang dialkukan semasa pencalonan oleh calon BN maka PAS Buat pertama kalinya dalam sejarah di Johor telah dianugerahkan seorang wakil Rakyat di DUN Senggarang iaitu Dr Mohd Ramli Bin Mohd Kari.
PAS MEMIMPIN PERPADUAN
Para perwakilan sekelian,
Suka saya pada malam ini mengajak para tetamu dan para perwakilan sekelian untuk memperhalusi semula ucapan dasar yang pernah disampaikan oleh Almarhum Datuk Ust Fadzil Mohd Noor di dalam muktamar PAS kali ke 46 pada tahun 2000. Ucapan dasar ini yang bertajuk PAS Memimpin Perpaduan telah disampaikan dalam suasana PAS/BA mencapai kemenangan yang memberansangkan di dalam Pilihanraya Umum ke 10. Mempertahankan Kelantan dan menawan Trengganu, menawan 27 kerusi Parlimen dan berpuluh-puluh kerusi DUN di seluruh negara telah membuka satu era baru kepada masa depan PAS.
Kenapa saya memilih untuk membicarakan ucapan dasar ini? Almarhum Ustaz Fadzil telah menyentuh sejarah perjuangan PAS bermula sejak daripada tahun 1951 bagaimana PAS telah melalui pelbagai liku-liku perjuangan untuk sampai ke tahap yang mungkin tidak pernah terlintas di dalam fikiran umum seperti mana yang saya telah sebutkan sejarah jatuh bangun PAS di Johor.
Almarhum menyebut ;
”Pengalaman pahit manis perjuangan yang dilalui PAS telah menguatkan daya juang, daya sabar, daya fikir dan daya ujinya. PAS terus membaiki kelemahannya, menyusun kebangkitannya dengan memperbaharui tekad, meroboh semua tembok yang mengepung kegiatan dan kehadirannya ke ceruk, teluk, kubang, permatang, tanjung, bukit, gunung, kota dan seterusnya. Kini PAS sudah tidak lagi dilihat sebagai sebuah parti kenegerian atau kedaerahan tetapi ia adalah sebuah parti nasional yang bersedia memikul amanah dan tanggungjawab, memimpin negara dan memandu rakyat berbagai kaum, agama dan kebudayaan menikmati kehidupan, kesejahteraan dan keadilan di bawah payung langit yang terbuka ini.”
Begitu besar harapan Almarhum terhadap masa depan PAS di dalam politik negara ini. PAS disokong bukan kerana kepimpinannya semata-mata tetapi kerana dasar perjuangannya. PAS telah berjaya meletakkan dirinya di dalam satu keadaan yang bersedia untuk menerima amanah untuk memerintah negara ini.
Muktamar DPPNJ pada kali ini mengajak para perwakilan sekelian untuk menghayati ucapan dasar muktamar yang sudah tentu mempunyai harapan yang tinggi selepas kita menerima kemenangan pada tahun 1999 dahulu.
MEMBINA KEYAKINAN, MENJANA KEMENANGAN
Seakan baru sahaja kita meninggalkan muktamar DPPNJ di lokasi yang sama di sini tahun yang lalu. Dengan tajuk Membina Keyakinan, Menjana Kemenangan saya telah membentangkan ucaptema kepada para perwakilan dengan menyebut lima perkara yang perlu diberikan perhatian dalam proses DPPNJ membina kekuatan dalaman dan luaran. Saya telah menekankan bahawa aktiviti Gerakerja Pilihanraya, Pemerkasaan Tarbiyah, Pemerkasaan Organisasi, Penerangan dan Pendekatan Kepada Anak Muda perlu diberikan keutamaan oleh pemuda disemua peringkat. Lajnah dan jabatan digerakkan dengan semaksimumnya khususnya kita menjangkakan bahawa pilihanraya umum akan berlangsung dalam tempoh terdekat ketika itu.
Berpadukan kepada ucaptema DPPNJ ini, aktiviti-aktiviti untuk mendekati anak muda diberikan tumpuan maksimum. Jabatan Pilihanraya Pemuda telah memberikan penekanan untuk mendaftarkan pengundi muda serta telah turun padang mengikut giliran tiga DUN sasaran iaitu Dun Maharani, Dun Sungai Balang dan Dun Senggarang. Pelbagai program yang telah kita lakukan sebelum ini mengambil kira bahawa ia perlu diadakan di DUN Sasaran ini. Aktiviti mingguan diadakan secara berkala kesetiap DUN tersebut.
Lajnah Sukan dan Rekreasi telah mengadakan program mendekati anak muda dengan aktiviti seperti bengkel bolasepak dan konvoi bermotor. Jabatan PASTI meneruskan aktiviti pra sekolahnya sama ada program kurikulum dan ko-kurikulum. Lajnah Penyelidikan menyediakan maklumat kajian terhadap isu yuran tambahan, isu harga barang dan pelbagai isu yang berlaku di dalam negeri Johor.
Lajnah Tarbiyah telah bergerak dengan baik, berpandukan perancangan yang teliti, gerakerja pentarbiyahan telah berjaya sampai keperingkat kawasan-kawasan. Lajnah Perpaduan Nasional pada sesi ini menunjukkan peningkatan yang baik dengan terlaksananya pelbagai program mendekati golongan bukan Melayu/Islam di Johor.
Jabatan PASTI dan Jabatan AMAL yang merupakan dua jabatan DPPNJ yang berperanan untuk mendekati masyarakat telah berjaya meneruskan kecemerlangnya.
Begitu juga dengan lajnah dan jabatan lain yang saya tidak sebutkan di sini telah memberikan komitmen yang tinggi dalam menggerakkan hasrat DPPNJ ini. Walaupun sebenarnya masih banyak lagi yang tidak dapat dijalankan namun penglibatan DPPNJ di dalam memantapkan lagi PAS di Johor telah dapat dirasai.
PEMUDA DAN ANAK MUDA
Para perwakilan yang saya hormati sekelian,
Kita menyedari bahawa Dewan Pemuda adalah merupakan wadah kepada anak-anak muda. Kita bergerak dalam satu kelompok yang melibatkan anak-anak muda yang berusia 40 tahun dan kebawah.
Peranan Dewan Pemuda sebenarnya cukup besar bukan sekadar menjana aktiviti yang merapatkan kita dengan anak-anak di dalam parti tetapi peranan kita untuk menjalin hubungan terhadap anak-anak muda yang berada di seluruh negeri Johor ini perlu dipertingkatkan.
Gerakerja untuk mendekati anak-anak muda perlulah kita rancang dengan teliti kerana anak-anak muda ini terdiri daripada pelbagai kelompok anak-anak muda yang berbeza.
Selain daripada itu, Dewan Pemuda adalah merupakan kilang untuk melahirkan kepimpinan generasi pada masa akan datang. Ramai dikalangan kepimpinan di peringkat negeri dan kawasan-kawasan lahir daripada proses latihan secara langsung atau tidak langsung Dewan Pemuda. Sebab itu saya fikir, jika kepimpinan pada masa akan datang lemah maka ia adalah merupakan satu bentuk kegagalan yang perlu dipertanggungjawabkan kepada Dewan Pemuda.
Bagi saya, beruntunglah kita kerana telah berada di dalam saf kepimpinan PAS sejak daripada usia pemuda ini kerana ilmu kepimpinan dan kepolitikan cukup besar jika ianya diukur melalui proses pengalaman ini. Ketika di usia muda ini kita sudah didedahkan dengan pelbagai bentuk aktiviti parti maka ketika usia kita sudah melepasi garisan pemisah usia ini, tidaklah menjadi sesuatu yang sukar untuk kita menggantikan kepimpinan yang telahpun beransur-ansur meninggalkan kita.
Maka, melalui dewan pemuda saya mengharapkan agar para pemuda khususnya mereka yang telah memikul tanggungjawab sebagai kepimpinan menggunakan kesempatan ini untuk mendapatkan ilmu dan pengetahuan yang secukupnya.
Pemuda harus sedar bahawa kita menjadi harapan kepada anak muda di Johor. Sama ada ianya disedari oleh kita atau tidak tetapi masih ramai lagi anak muda yang terumbang-ambing dilanda fenomena kesesatan dan kekeliruan yang mengharapkan golongan seperti kita untuk membimbing mereka, membantu mereka dan membawa mereka kembali ke jalan yang benar. Justeru muktamar ini perlu benar-benar merasai, menyelami dan menjiwai hasrat anak-anak muda ini.
MEMPERKASA KEKUATAN SEBENAR PEMUDA
Para perwakilan yang saya kasihi sekelian,
Di dalam Muktamar DPPNJ tahun 2006, saya telah menyentuh bahawa kita perlu membina kekuatan sebenar pemuda PAS yang mencakupi pengukuhan Tarbiyah dan Pengukuhan Organisasi Pemuda.
Program tarbiyah yang dilaksanakan oleh Dewan Pemuda mestilah memenuhi dua matlamat yang besar iaitu mengabdikan diri kepada Allah dan menjadi khalifah Allah dimuka bumi ini. Saya telah menyarankan agar Madrasah Tarbiyah DPPNJ dapat disegerakan kewujudannya. Alhamdulillah, Lajnah Tarbiyyah DPPNJ berjaya menghasilkan sebuah buku panduan Manual Pelaksanaan Tamrin Pemuda Kawasan & Negeri di atas tajuk Manhaj Madrasah Tarbiyah DPPNJ yang telah dilaksanakan di semua peringkat.
Dengan kekuatan 27 orang Nuqaba’ yang bertaraf pemuda, gerakan tarbiyah telah berjaya digerakkan dengan semaksimum mungkin.
Bagi memastikan para nuqaba’ ini bijak memainkan peranan mereka dalam proses pentarbiyyahan ahli dan juga masyarakat umum, Lajnah Tarbiyyah DPPNJ telah pun menerbitkan sebuah buku khas buat nuqaba’ yang bertajuk Peranan Nuqaba’ Dalam Menjana Kebangkitan Politik Semasa.
Para perwakilan sekelian,
Kita perlu sedar bahawa perjuangan kita adalah perjuangan Islam. Dalam apa jua keadaan, sama ada kita bersendirian ataupun berada dalam sebuah pakatan, kita jangan lupa bahawa Fasal ke 3 Perlembagaan PAS menyatakan bahawa dasar kita adalah Islam dan Fasal ke 4 pula menyatakan bahawa seruan kita adalah Allahu Akbar.
Fasal ke 5 (1) pula menyatakan bahawa Tujuan PAS diwujudkan adalah untuk memperjuangkan wujudnya di dalam negara ini sebuah masyarakat dan pemerintahan yang terlaksana di dalamnya nilai-nilai hidup Islam dan hukum-hukumnya menuju keredhaan Allah.
Saya menyeru kepada seluruh pemuda PAS di Johor agar meletakkan diri anda semua sebagai pemuda Islam yang sejati. Pemuda yang sanggup mengorbankan segala-galanya untuk memastikan bahawa Islam akan terus berdaulat.
Firman Allah,
“Sesungguhnya mereka itu orang-orang muda yang beriman kepada Tuhan mereka, dan kami tambahi mereka dengan hidayah petunjuk. Dan Kami kuatkan hati mereka (dengan kesabaran dan keberanian), semasa mereka bangun (menegaskan tauhid) lalu berkata: "Tuhan kami ialah Tuhan yang mencipta dan mentadbirkan langit dan bumi; kami tidak sekali-kali akan menyembah Tuhan yang lain dari padanya; jika kami menyembah yang lainnya bermakna kami memperkatakan dan mengakui sesuatu yang jauh dari kebenaran."
Al-Kahfi : 13 & 14
Persoalan yang ingin saya timbulkan di dalam muktamar ini, apakah sudah ada kelonggaran terhadap prinsip perjuangan apabila kita sudah mula berada di dalam pakatan? Sebelum ini kita cukup sensitif dengan isu murtad tetapi sejak akhir-akhir ini kelihatan ada sedikit kelonggaran yang cukup disorokkan daripada kepimpinan yang sedia ada. Saya mengambil contoh kes yang berlaku di Pulau Pinang, apabila Mahkamat Tinggi Syariah Pulau Pinang telah menerima permohonan keluar Islam ataupun murtad daripada seorang yang beragama Islam, Siti Fatimah Tan Binti Abdullah kerana alasannya beliau tidak mengamalkan kehidupan sebagai seorang Islam sejak beliau menganut agama suci ini pada tahun 1998 kerana alasan perkahwinan. Namun, apakah yang telah kita lakukan untuk mendepani persoalan ini?
PAS bukan anti kepada mana-mana agama tetapi pengistiharan keluar Islam sebenarnya merupakan satu episod penghinaan terhadap agama Islam di Malaysia. Memang tidak dinafikan bahawa alasan yang diberikan oleh hakim ada kebenarannya tetapi apakah selama-lamanya kita akan berada di dalam keadaan seperti ini, memeluk Islam hanya kerana ingin berkahwin? Maka, selepas ini tidaklah menjadi satu perkara yang luar biasa sekiranya ada dikalangan penganut Islam yang akan memohon untuk keluar daripada agama ini kerana alasannya tidak mengamalkan cara hidup Islam sejak menganuti agama Islam ini.
Persoalannya, apa tindakan kita terhadap perkara ini? Apakah sudah cukup dengan berdiam diri maka perkara ini akan dapat diselesaikan? Sejarah membuktikan bahawa Pemuda PAS Johor cukup serius dengan isu murtad dan penghinaan terhadap agama Islam. Bertekadlah kita bahawa dalam apa jua keadaan, dalam soal mempertahankan agama Allah ini, Pemuda PAS Johor bersedia untuk jadi benteng terakhir di dalam perjuangan.
Firman Allah,
Wahai orang-orang yang beriman! Mengapa kamu memperkatakan apa yang kamu tidak melakukannya! Amat besar kebenciannya di sisi Allah - kamu memperkatakan sesuatu yang kamu tidak melakukannya.
As-Saff : 2-3
Saya menyeru kepada para perwakilan sekelian agar memperbahaskan perkara yang berkaitan dengan tarbiyah kerana ini adalah merupakan asas kekuatan kita.
HUBUNGAN PEMUDA PAKATAN RAKYAT JOHOR
Sejak beberapa tahun yang lalu, DPPNJ dan AMKNJ telah berjaya menubuhkan Pemuda BAJ yang saya kira menjadi contoh terbaik satu pakatan pemuda di seluruh negara. Bersama Pemuda BA, kita telah berjaya mengadakan konvensyen, himpunan pemuda, program turun padang, hari keluarga malah kita juga dapat mengadakan kenyataan media bersama.
Kini, Pemuda BAJ sudah menjadi satu sejarah kerana kita sudah berada dalam sebuah pakatan yang dianggotai oleh PAS, PKR dan DAP. Namun sejak Pakatan Rakyat ditubuhkan selepas pilihanraya umum ke 12 yang lalu, Pemuda PR Johor masih lagi belum berjaya mengadakan apa-apa pertemuan rasmi.
Pertemuan ini perlu disegerakan kerana pelbagai agenda perlu kita putuskan bersama, lebih-lebih lagi kita telahpun mempunyai enam ADUN yang telahpun memainkan peranan mereka di dalam sidang DUN Johor.
Jika tiada halangan, selepas daripada muktamar ini dilaksanakan, Pemuda Pakatan Rakyat Johor akan mengadakan pertemuan pertama dan akan dipanjangkan ke peringkat kawasan/Parlimen.
PEMUDA SEBAGAI ’CHECK AND BALANCE’
Para perwakilan sekelian,
Sebagai sebuah organisasi yang mewakili generasi muda di dalam PAS, kita tidak dapat lari daripada berperanan sebagai kumpulan penegur kepada kepimpinan PAS. Bukanlah dinamakan sebagai pemuda sekiranya kita hanya bertindak sebagai Burung Belantuk yang hanya mengangguk segala apa yang dilakukan oleh kepimpinan yang lebih tinggi.
Terbaru, saya mengambil contoh bagaimana Pemuda PAS Pusat telah mengambil keputusan yang cukup drastik dengan menarik diri daripada himpunan PROTES yang dilihat telah lari daripada matlamat asal penganjurannya. Program yang longgar dengan persembahan melalaikan telah dikecam bukan sahaja daripada penyokong Pakatan Rakyat tetapi juga dikecam oleh para penyokong kita.
Pemuda PAS Pusat yang telah mengambil beberapa langkah menegur secara baik di dalam mesyuarat dan mengambil langkah yang proaktif bagi membantu menjayakan himpunan tersebut dikhianati pada saat-saat akhir dengan penampilan kumpulan underground yang sudah tentu akan menimbulkan tanda tanya dikalangan ahli PAS yang datang daripada jauh.
Kerana tidak mahu mengambil kira suara anak muda ini, Pemuda PAS Pusat telah mengambil keputusan untuk meninggalkan program tersebut dengan sifat sebagai pemuda Islam yang ada maruah diri.
Sebenarnya, Pemuda PAS boleh mengambil sikap membiarkan sahaja persembahan tersebut diteruskan, bukan sahaja seluar sahaja seluar dilondehkan tetapi kita juga boleh membiarkan segala-galanya dilondehkan jika sekadar untuk mengambil hati pemimpin yang lebih tinggi tetapi jika itu yang dilakukan maka jangan panggil kami sebagai Pemuda PAS.
Saya menyeru kepada para perwakilan sekelian agar bertindaklah sebagai seorang pemuda, perlu ada keberanian untuk menegur pemimpin. Teguran ini bukannya untuk memecahbelahkan perpaduan jamaah tetapi ia adalah satu tindakan untuk memastikan bahawa kesucian perjuangan ini akan terus diperlihara.
SEORANG PEMUDA SEBUAH BLOG
Para perwakilan sekelian,
Apabila pakatan pembangkang berjaya menidakkan majoriti dua pertiga BN di Parlimen dan berjaya menawan empat buah negeri serta mempertahankan Kelantan untuk penggal ke lima, pemerhati politik melihat bahawa ia berpunca daripada perolehan maklumat yang mudah didapati daripada laman blog.
Sebuah rencana yang disiarkan di dalam media arus perdana pernah menyatakan bahawa serangan terhadap kerajaan melalui laman-laman blog dan Internet sudah wujud sejak pilihan raya 1999, tetapi strategi itu gagal membantu kemaraan pembangkang dengan berkesan, malah tidak efektif langsung dalam pilihan raya 2004. Blog dan laman web hanya menjadi satu medium komunikasi yang berpengaruh pada 2008 apabila mood rakyat terhadap kerajaan bertukar ekoran kenaikan harga minyak selepas pilihan raya 2004.
Fellow Penyelidikan Kanan Institut Kajian Dasar (IPS) Singapura, Tan Tarn How berkata, republik tersebut telah menunjukkan kesungguhan untuk melihat sejauh mana media blog telah mempengaruhi arah aliran pengundian dan sokongan pengundi di Malaysia 8 Mac lalu kerana pada umumnya Singapura mempunyai landskap yang sama dengan Malaysia.
Pengarah Institut Kajian Etnik, Universiti Kebangsaan Malaysia, Profesor Datuk Dr. Shamsul Amri Baharuddin turut menyentuh tentang kemunculan komuniti elektronik , sektor baru dalam politik negara ini tetapi tidak dipandang serius oleh parti kerajaan.
Di Sarawak, Pensyarah Kajian Komunikasi, Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) Dr. Jeniri Amir meramalkan bahawa dengan kewujudan media alternatif seperti blog dijangka memberi kesan kepada pilihan raya di negeri itu dalam tempoh 10 hingga 15 tahun akan datang setelah rakyat mula menyedari pentingnya penggunaan Internet.
.
Maka, di dalam muktamar ini saya ingin menyeru supaya para perwakilan pemuda perlu segera mewujudkan blog peribadi dengan tema ”Seorang Pemuda Satu Blog” disamping pemantauan terhadap blog dan laman web DPPK. Saya mensasarkan pada muktamar DPPNJ pada tahun hadapan, sekurang-kurangnya terdapat lima ratus pimpinan dan ahli pemuda PAS di Johor akan tampil dengan sebuah blog yang mampu menarik minat anak muda di Johor.
Perlantikan Ustaz Zulhilmie Rohani sebagai Pengerusi Lajnah IT DPPNJ yang baru diharapkan dapat membantu mewujudkan blog-blog ini dan seterusnya dapat memantau aliran maklumat diseluruh negeri Johor.
PEMUDA BERILMU DAN BERAMAL
Para perwakilan sekelian,
Saya dapati bahawa kita masih lagi agak lemah dalam memahami ilmu politik. Kehadiran kita ke dalam PAS belatarbelakangkan ilmu dan pengalaman yang berbeza-beza dan sebahagian besarnya bukan di dalam bidang Sains Politik. Rata-rata di kalangan kita hanya mengenali politik mengikut arus perdana.
Sebagai anak muda yang bakal memimpin pada masa akan datang, penguasaan terhadap ilmu sains politik perlu diberikan keutamaan. Perkembangan pengkajian sains politik sebagai satu bidang tersendiri sememangnya mempunyai hubung kait rapat dengan perkembangan ilmu-ilmu falsafah, sejarah serta ilmu kemanusiaan dan ilmu sains tepat.
Kamus Oxford menakrifkan politik sebagai ”Ilmu dan Kesenian; ilmu yang berkait dengan bentuk, organisasi dan pentadbiran negara atau sebahagian darinya dan dengan peraturan perhubungannya dengan negara-negara lain”
Harold Dwight Lasswell, pakar dalam bidang Sains Politik menakrifkan politik sebagai urusan tentang ”siapa mendapat apa, bila dan bagaimana (Politics is who gets what, when, and how)” sebagai pendekatan untuk melihat proses politik.
Memahami sains politik bermakna memahami tahap perkembangan kajian politik dan tokoh-tokoh yang lahir dalam setiap fasa perkembangannya. Sebagai contohnya, Fasa Universal/Trdisional lahirnya pemikir sains politik seperti Plato, Aristotle, Kung Fu Tse, Al-Mawardi, Ibnu Khaladun. Plato melalui buku agongnya Republic, Al-Mawardi melalui bukunya Al-Ahkam al-Sultanniyah dan Ibnu Taimiyyah melalui bukunya Al-Siyasah membicarakan persoalan khas berkaitan dengan kepimpinan yang berakhlak dan bermoral tinggi.
Kita juga perlu memahami fasa-fasa perubahan politik seperti fasa Universalisme, fasa Legalisme, fasa Realisme, fasa Perantara, fasa Behaviouralisme dalam kajian tumpuan kajian tentang soal masyarakat terbaik, bentuk pemerintahan negara, had kuasa, transformasi rakyat, hak asasi manusia dam kesedaran bahawa tingkahlaku, psikologi dan kebudayaan begitu besar peranannya dalam proses politik.
Pemuda PAS perlulah memperkemaskan diri dengan ilmu politik dan saya menyeru kepada para pemuda PAS agar dapat menyelami ilmu sains politik agar kita benar-benar dapat mengusai ilmu ini dan seterusnya dapat menyediakan diri kita bagi mengharungi suasana politik yang semakin mencabar.
PEMUDA BERGERAK KEHADAPAN
Para perwakilan yang dirahmati Allah sekelian,
Bagi merealisasikan harapan untuk melihat tema Pemuda Bergerak Kehadapan dapat dicapai, DPPNJ telahpun menyediakan rangka kerja melalui pelan tindakan kerja lima tahun 2008 – 2013. Dengan visi ’Menjana Kemenangan Rakyat Johor’ dan misi ’Memperkasakan Kekuatan Pemuda Melalui Elemen Tarbiyyah, Politik & Pengurusan’ DPPNJ telah menyediakan satu ’blueprint’ yang mengandungi lima objektif yang akan dilaksanakan oleh Dewan Pemuda PAS di semua peringkat.
Pelan Tindakan ini sangat penting untuk dihayati oleh kesemua ahli Pemuda PAS di negeri Johor ini kerana kita tidak mahu pemuda PAS bergerak hanya berdasarkan isu semata-mata tetapi ia mestilah dilaksanakan dengan perancangan yang rapi agar hasrat untuk menjana kemenangan akan tercapai.
Perbentangan secara terperinci terhadap isi kandung Pelan Tindakan DPPNJ akan disampaikan kepada pemuda PAS secara berperingkat-peringkat bermula daripada peringkat negeri sehinggalah membawa kepada seluruh pemuda PAS di peringkat kawasan dan cawangan.
Firman Allah,
”Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berperang untuk membela ugamaNya, dalam barisan yang teratur rapi, seolah-olah mereka sebuah bangunan yang tersusun kukuh.”
As-Saff: 4
BERKORBANLAH DEMI PERJUANGAN
Para perwakilan sekelian,
Satu perkara yang ingin saya pesan kepada diri saya dan saudara sekelian, betapa pentingnya untuk kita sentiasa meletakkan diri kita sebagai mereka yang benar-benar dapat menghayati erti pengorbanan.
Berkorban bukan beerti kita menyelitkan aktiviti jamaah di dalam ruang waktu yang kosong tetapi kita meletakkannya sebagai satu keutamaan yang tertinggi dalam kehidupan seharian kita.
Tanyalah diri kita, adakah ketika ini kita sudah layak dikategorikan sebagai pemuda yang telah berkorban untuk perjuangan Islam? Apakah setiap detik masa kita telahpun kita lakukan di atas nama pengorbanan?
Lihatlah bagaimana sejarah perjuangan untuk mendaulatkan Islam telah mengorbankan nyawa dan darah para pejuang terdahulu. Yassir syahid kerana dicekik manakala isterinya syahid kerana disula. Pengorbanan yang mereka lakukan ini semata-mata tidak mahu kembali kufur kepada Allah SWT setelah mereka dipaksa untuk meninggalkan agama suci ini.
Bilal bin Rabbah hampir menemui maut apabila disiksa tanpa belas kasihan, diletakkan batu besar di dadanya dan dijemur di bawah terik mentari yang sudah pasti menggugat keimanannya.
Para sahabat bukan sekadar sanggup meninggalkan kemewahan dan perniagaan tetapi mereka juga sanggup menggadaikan nyawa di atas perjuangan. Perjuangan adalah sesuatu yang memerlukan pengorbanan maka pemuda PAS tidaklah layak untuk dipanggil seorang pejuang jika tidak bersedia untuk berkorban.
Firman Allah,
”Dan di antara manusia ada yang mengorbankan dirinya kerana mencari keredhaan Allah semata-mata dan Allah pula amat belas kasiahan akan hamba-hambanya”
Al-Baqarah : 207
Firman Allah,
”Pergilah kamu beramai-ramai (untuk berperang pada jalan Allah), samada dengan keadaan ringan (dan mudah bergerak) ataupun dengan keadaan berat (disebabkan berbagai-bagai tanggungjawab) dan berjihadlah dengan harta benda dan jiwa kamu pada jalan Allah (untuk membela Islam). Yang demikian amatlah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui.”
At-Taubah : 41
PENUTUP BICARA
Para sidang muktamar sekelian,
Di penghujung ucaptema ini, ingin saya mengembalikan ingatan saudara kepada dua tokoh pemuda PAS Johor yang telah meninggalkan kita iaitu mantan Ketua DPPNJ Allahyarham Haji Ismail Ibrahim dan mantan Exco DPPNJ, Ustaz Zakaria Nor yang telah pulang ke rahmatullah pada 21 Mac 2008 dan Ustaz Zakaria pula sehari selepas daripada itu.
Penglibatan kedua-dua di dalam PAS di pelbagai peringkat begitu terserlah sejak daripada usia muda sehinggalah ke saat terakhir mereka berada di dalam perjuangan ini.
Kebetulan, kedua-duanya adalah merupakan jawatankuasa harian PAS Kawasan Bakri yang mana PAS telah memenangi kerusi DUN Sungai Abong di dalam pilihanraya umum ke 12. Lebih mengejutkan kematian Ustaz Zakaria Nor pula berlaku sehari selepas Haji Ismail Ibrahim dan Ustaz Zakaria sendiri terlibat dalam mengkebumikan Haji Ismail.
Mereka telah pergi sebagai seorang pejuang Islam yang tersangat yakin dengan janji Allah SWT. Firman Allah,
”Di antara orang-orang Yang beriman itu, ada Yang bersikap benar menunaikan apa yang telah dijanjikannya kepada Allah (untuk berjuang membela Islam); maka di antara mereka ada yang telah selesai menjalankan janjinya itu (lalu gugur syahid), dan di antaranya ada Yang menunggu giliran; dan mereka pula tidak mengubah (Apa Yang mereka janjikan itu) sedikitpun.”
Al-Ahzab : 23
Mudah-mudahan Allah meletakkan mereka tergolong di kalangan para pejuang Islam.
Di kesempatan ini juga saya ingin mengucapkan terima kasih kepada beberapa exco DPPNJ yang telah melepaskan jawatan kerana berpindah ke negeri lain atas urusan pekerjaan. Mereka adalah sdr Syed Zulkifli Syed Mohamad, sdr Safari Bin Sarodin dan sdr Abdul Ghafur Bin Abdul Rahim. Semoga ketiga-tiga pemuda ini akan dapat meneruskan perjuangan di mana jua mereka berada.
Akhir kata, saya bagi pihak seluruh ahli Dewan Pemuda PAS Negeri Johor sekali lagi mengucapkan jutaan terima kepada Ustaz Idris Bin Haji Ahmad yang sudi meluangkan masa untuk merasmikan muktamar DPPNJ pada kali ini dan terima kasih juga kepada semua tetamu kita yang memberikan komitmen untuk menjayakan majlis perasmian pada malam ini.
Marilah sama-sama kita memasang tekad dan azam untuk terus bergerak kehadapan bagi meneruskan kelangsungan api jihad yang dibakar oleh Rasulullah SAW. Berazamlah dengan sepenuh keyakinan untuk kita membina kekuatan sebenar yang mampu membentuk jati diri pemuda Islam yang beriman dengan perancangan yang tersusun rapi. Semoga Allah SWT berkenan memberikan kekuatan dan kesabaran kepada kita dalam memacu perjuangan ini.
Sekian, wassalam.
Allahu Akbar! Allahu Akbar! Allahu Akbar!



